Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Pengertian Tasauf


Search This Blog

Pengertian Tasauf

.
Definisi ilmu tasauf

Dalam kitab Qawaid at-Tasauf, Sheikh Ahmad Zaruq mengatakan tasauf mempunyai dua ribu definisi dan boleh dirujuk kepada kitab-kitab tasauf muktabar untuk mengetahuinya. Beberapa definisi akan diterangkan berikutnya.

Begitu banyak definisi ilmu tasauf adalah kerana keikhlasan untuk menghadapkan diri kepada Allah swt dapat dicapai dengan beramal dengan ilmu syariat. Setiap ulama’ tasauf mempunyai pengalaman kerohanian berbeza-beza dan setiap definisi berdasarkan pengalaman kerohanian masing-masing.

Antara definisi ilmu tasauf oleh ulama' tasauf

Ibnu Ajibah berkata, ”Tasauf adalah ilmu yang dengan nya diketahui cara untuk mengenal Allah, membersihkan hati dari sifat-sifat tercela (mazmumah) dan menghiasi dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Awal tasauf ialah ilmu, tengahnya adalah amal, dan akhirnya adalah kurnia."

Abu Hassan Syazili berkata, ”Tasauf adalah ilmu untuk melatih jiwa, bagaimana bersungguh-sungguh beribadat dan mengembalikannya kepada hukum hakam Allah.”

Ahmad Zaruq berkata, ”Tasauf adalah ilmu yang bertujuan membaiki hati dan menumpukan kepada Allah sahaja.”

Abu Bakar Al-Kattani berkata, ”Tasauf adalah suci dan menyaksikan.”

Dan banyak lagi definisi yang terdapat dalam kitab-kitab tasauf muktabar seperti Ihya’ Ulumuddin oleh Imam Ghazali, Risalah Qushairiah oleh Sheikh Qushairi, Al-Luma’ oleh Al-Tusi dan lain-lain lagi.

Ada yang berpendapat kata tasauf berasal dari kata shifah (sifat), sebab seorang sufi adalah seorang yang menghiasi diri dengan segala sifat terpuji dan meninggalkan sifat tercela.

Ada yang berpendapat bahwa kata tasauf berasal dari kata shafa (bersih), sebab, seorang sufi adalah bersih dari segi zahir dan batin nya.

Ada yang berpendapat bahwa kata tasauf berasal dari dari kata shufah (suffah), sebab seorang sufi mengikut ahlus suffah dalam sifat yang telah ditetapkan oleh Allah bagi mereka, sebagaimana firman Nya dalam surah Al-Kahfi ayat 28, artinya "dan bersabarlah kamu bersama orang-orang yang menyeru tuhan mereka."

Dan ada lagi beberapa akar kata tasauf seperti shafwah (orang suci), shaff (saf), shuf kasyin (bulu yang kasar).

--------o0o0o----------

Terdapat sesetengah ulama’ mengatakan tasauf tidak ada dizaman Nabi saw. Walaupun tidak ada tetapi kandungan ilmu tasauf telah diamalkan di masa Nabi saw dan sahabat baginda seperti ikhlas beribadat, berakhlak mulia, cinta kepada Allah, sabar, tawakkal, zuhud dan lain-lain lagi. Ia seperti juga istilah feqah, usuluddin, nahwu, saraf, tajwid tidak ada di zaman nabi saw, tetapi diterima dan diguna pakai sampai keperingkat Universiti. Tetapi bila sebut sahaja istilah tasauf dan tarekat, segera orang ramai akan mengatakan sesat, karut tidak ada di zaman nabi saw. Rupa-rupa nya masyarakat membicara perkara istilah sahaja dan tidak melihat kepada perkara yang dibicarakan. Oleh itu, lihatlah kepada apa yang dibicarakan dan bukan bertelagah berkenaan istilah bertahun-tahun lamanya.

Amalan tasauf sudah ada dizaman Nabi saw, buktinya dari hadis Jibril as, bila Jibril as bertanya tentang arti ihsan, lalu Nabi saw menjawab: ”Hendaklah kamu beribadat seolah-olah melihat Allah. Jika kamu tidak dapat melihat Allah, Allah melihat kamu”.
Ihsan itulah tasauf. Asas dari tasauf adalah wahyu samawi yang merupakan bahagian dari ajaran ugama, yang dibawa oleh nabi Muhammad saw. Tasauf adalah maqam ihsan. Ihsan adalah salah satu dari tiga elemen dasar ugama. Inilah Jibril yang datang mengajar kamu tentang ugama kamu. Kata Nabi saw. Tiga dasar ugama itu ialah iman islam & ihsan.

Ihsan itu adalah tasauf. Lihatlah kepada arti ihsan. arti nya ialah, "hendaklah kamu ibadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak mampu melihat Allah, Allah melihat kamu." Di dalam hadis Jibril as itu ada disebutkan ibadat, ini menujukkan bahwa ibadat tidak akan sah jika tidak ada iman dan islam. Seolah-olah itu adalah musyahadah, iaitu ibadat dalam suasana hati yang suci bersih (basirah). Melihat Allah disini bermaksud musyahadah bukan melihat Zat Allah (kunhi zat). Ahli tasauf mengatakan musyahadah ialah dihadirkan rasa (zauk) kebesaran Allah swt kedalam hati yang bersih. Dihadirkan rasa kebesaran Allah itu, membuatkan ahli tasauf itu merasakan sudah melihat Allah. Sebenarnya mereka tidak melihat hakikat Zat Allah, tetapi hanya syuhud sahaja. Kebesaran, kehebatan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah dapat dirasa oleh hati. Bila hati dapat merasakan kebesaran Allah yang amat menggerunkan dan kasih kepada Allah yang amat mengasyikkan, mereka merasakan seolah-olah melihat Allah disebab tahkik atau jelas. Oleh itu pendapat dan pengalaman kerohanian ahli tasauf itu, sesuai dengan arti ihsan seperti dalam hadis Jibril itu. Dalam hadis Jibril, disebut seolah-olah lihat, dan ahli tasauf mengalami syuhud. Oleh itu tidak ada sebarang percanggahan antara ahli tasauf dengan hadis Jibril tentang ihsan .

Di surah al-A’raaf ayat 143, ada sebahagian ayat yang bermaksud, ”Ya tuhanku, tampakkanlah Diri Mu kepada ku, supaya aku dapat melihat Mu.” Adakah ini bukti boleh melihat Allah? Ayat ini menerangkan yang Allah tidak dapat dilihat. Buktinya, Allah berfirman kepada nabi Musa as, "kamu tidak sekali-kali sanggup melihat Ku. Tetapi lihatlah ke bukit (Thursina) itu. Maka jika ia tetap di tempatnya (seperti sediakala), nescaya kamu dapat melihat ku." Di dalam surah al-A’raaf, ayat 143 ini, jelaslah Allah tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun, walaupun nabi Musa as. Yang boleh hanyalah musyahadah sahaja, kerana musyahadah bukan lihat Zat tetapi hanya dihadirkan rasa (zauk) rahsia kewujudan, keagongan, kehebatan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah swt.

Berpandukan kepada surah al-A’raaf, ayat 143 tersebut: "Dan ketika Musa datang untuk munajat dengan kami, pada waktu yang telah kami tentukan dan tuhan telah berfirman kepadanya. Berkatalah Musa as, ”Ya Tuhan ku nampakkanlah diri (Zat ) Mu kepada ku, agar aku dapat melihat Mu.” Tuhan berfirman: ”kamu sekali-kali tidak sanggup melihat ku, tetapi lihat kepada bukit (Thursina) itu, maka ia tetap pada tempatnya, kamu dapat melihatKu. "Tatkala tuhan nya tampak bagi gunung itu, kejadian itu menjadikan gunung itu hancur luluh dan Musa jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar dari pengsan, dia berkata: "Maha suci Engkau, aku bertobat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman."

Tentang ayat dari surah ini, saya telah membuat rujukan dari beberapa kitab tasauf dan mendengar penjelasan dari guru saya, murshid tarekat Ahmadiah Idrissiah. Jelas dari ayat ini, kita tidak akan boleh melihat Zat Allah. Sedangkan nabi Musa as, rasul bertaraf ulul ‘azmi pun tak mampu melihat Zat Allah, yang hanya boleh ialah musyahadah sahaja. Mengikut ulama’ tasauf, bukit itu adalah kejadian Allah, dan terdapat ayat-ayat (tanda-tanda wujud nya Allah) yang tersirat disebalik kejadian bukit itu. Ayat-ayat yang tersirat itu tidak dapat dilihat dengan mata kepala kita, tetapi dengan matahati (basirah). Apabila Allah nyatakan (tajalli) Kebesaran Nya pada bukit itu, Musa as pengsan. Bagi ahli tasauf, pengsan itu dipanggil dengan istilah fana. Bukit itu kelihatan bagi Musa as hancur, bukanlah dari segi fizikal hancur. Bukit Thursina itu masih wujud lagi sekarang. Hancur dalam penglihatan mata kepala Musa as, kerana mata telah menjadi lemah, apabila ruhnya menjadi kuat. Pada masa ruh kuatlah basirah Musa as mampu merasakan kebesaraan Allah swt yang ditajallikan. Ayat-ayat yang tersembunyi disebalik kejadian bukit itu, telah dapat dikesan oleh basirah Musa as dan mengalami syuhud. Lantas Musa as pengsan (fana). Apabila Musa as telah sedar dari pengsan (fana), bukanlah Musa as menjadi bingung. Jika pengsan tentulah Musa as kebingungan, tetapi Musa as telah bermusyahadah dengan Allah swt dengan matahatinya (basirah). Ketika musyahadah itulah Musa as telah mengalami fana kerana terlalu asyik kepada Allah swt. Ini dapat dilihat dari ayat itu, Musa as berkata setelah dia sedar dari fana, yang dia adalah awal-awal beriman. Bukanlah sebelum tajalli itu Musa as tidak beriman dengan Allah, tetapi setelah dapat musyahadah, barulah Musa as yakin dengan diperlihatkan rahsia wujud Allah swt. Jika pengsan seperti kita faham, tentulah tidak dapat berkata akulah orang pertama-tama beriman disebab bingung. Sekian, dapat saya jelaskan sekadar kefahaman yang ada. Bagaimana nak kuatkan ruh mengikut kaedah ahli tasauf & tarekat dan takrif musyahadah akan di terangkan nanti.

Sebahagian orientalis dan murid-muridnya mengatakan tasauf berasal dari ajaran ugama Budha, Kristian, Hindu dan lain-lain. Adakah benar dakwaan ini? Jika merujuk kepada hadis Jibril, kehidupan Nabi saw dan para sahabat, tasauf bukanlah ditiru dari ajaran ugama lain tetapi bersumber dari al-quran dan sunnah Nabi saw. Sebab tujuan tasauf ialah mentauhidkan Allah, sedangkan ugama lain syirik kepada Allah. Ahli tasauf sejati tidak melihat berbilang–bilangnya Allah tetapi mentahkik EsaNya Allah swt secara zauki. Ahli usuluddin, mengenal Allah melalui dalil aqli & naqli. Jika ahli usuluddin belajar ilmu tasauf dan beramal dengan amalan tarekat yang muktabar, barulah boleh mengenal Allah secara musyahadah (zauki). Semua ahli tasauf adalah ahli usuluddin juga pada mulanya tetapi mereka telah belajar ilmu tasauf dan beramal dengan amalan tarekat, maka taraf pengenalan mereka (makrifat) telah meningkat dari taraf ilmu yakin kepada taraf ainul yaqin dan haqqul yaqin, seperti yang dialami oleh Imam Ghazali dan digelar Hujjatul Islam pada mulanya (belum lagi bertasauf dan bertarekat). Kisah Imam Ghazali ini boleh dirujuk kepada kitabnya yang bertajuk al-Munqiz min ad-Dalal (pembebasan dari kesesatan). Oleh itu dakwaan mereka itu adalah palsu dan dengki semata-mata.

Zaman sahabat dan para tabi’in adalah zaman terbaik dan ramai ahli tasauf (sufi) yang muncul di zaman tiga kurun terbaik ini (salaf). Benarkah dakwaan ahli tasauf ini? Zaman sahabat Nabi saw, para tabi’in dan pengikut tabi’in adalah masa keemasan dalam islam. Nabi saw bersabda: "Sebaik-baik masa adalah masa ku ini, lalu masa sesudahnya, lalu masa sesudahnya." (HR.Bukhari dan Muslim)

Pada zaman gemilang ini terdapat juga umat islam yang sudah cinta dunia, malas beribadat. Oleh itu ada segolongan umat islam yang cuba menghidupkan kembali amalan al-Quran dan sunnah di masa Nabi saw dan sahabat, lantas mereka digelar ahli sufi atau tasauf.


Beban-beban syariat yang diperintahkan kepada manusia itulah fungsi ilmu tasauf. Kandungan ilmu tasauf merangkumi ilmu tauhid, feqah dan lain-lain. Jika kita merujuk kepada kitab Ihya’ Ulumuddin, karangan Imam Ghazali, terdapat fungsi ilmu tasauf itu.

Amal-amal yang berkaitan dengan fizikal manusia terbahagi menjadi dua jenis. Pertama, perintah seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Kedua, larangan seperti membunuh, berzina, mencuri, minum arak dan lain-lain.

Amal-amal yang berkaitan dengan hati juga terbahagi dua jenis: Perintah dan larangan. Yang berkenaan dengan perintah adalah iman dengan Allah, malaikat Nya, kitab-kitab Nya dan rasul-rasul Nya. Demikian juga perintah supaya ikhlas, ridha, jujur, khusyuk, tawakkal dan sebagainya. Sedangkan yang berkaitan dengan larangan adalah kufur, kemunafikan, sombong, ujub, riya’, menipu, dendam, dengki dan lain-lain lagi. Oleh itu, kata-kata yang menuduh tasauf tidak ikut syariat adalah salah. Tasauf itu lah ruh syariat atau batin syariat. Syariat hendaklah diamalkan dengan hati yang bersih, ikhlas dengan penuh cinta kepada Allah. Ibadat dengan rasa cinta terjadi sebab pengenalan terhadap Allah telah meningkat dari makrifat secara usuluddin kepada makrifat secara tasauf. Maka fungsi tasauf ialah perlaksanaan syariat zahir dan batin dan ia lebih sempurna kerana melibatkan iman, islam dan ihsan.

Amal–amal dengan hati dikatakan lebih penting dan utama dari amal-amal lahir dalam pandangan Allah. Apa kah sebab nya dan berikan dalil-dalil dari al-Quran, hadis dan ijtihad ulama tasauf? Sebab, batin adalah dasar dan sumber kepada amalan lahiriah. Rosaknya amal-amal lahir disebabkan rosaknya amal-amal batin. Seperti firman Allah dalam surah Al-Khafi ayat 110: ”Barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan tuhan nya, dia mengerjakan amal soleh dan tidak mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada tuhan nya.”

Oleh kerana itulah Rasulullah saw menekankan para sahabat untuk memperhatikan masalah pembaikan hati. Baginda saw juga menjelaskan bahwa baiknya seseorang tergantung kepada baik nya hati dan kesembuhan dari penyakit-penyakit yang tersembunyi. Nabi saw pernah bersabda: ”Ingatlah, di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, jika ia baik, baiklah seluruh tubuh nya. Dan jika ia rosak, rosaklah seluruh tubuhnya. Sesunggoh nya, daging itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

a. al-Bajuri, pensyarah jauharah at-Tauhid, mengatakan maksud sifat-sifat tercela adalah semua sifat-sifat tercela yang dilarang oleh Allah swt.

b. Didalam ihya’ ulumuddin, Imam Ghazali ada mensyarahkan bab sifat tercela (muhliqat) dan sifat terpuji (munjiat) ini. Begitu juga beberapa kitab tasauf yang muktabar yang saya baca, seperti Qutul Qulub oleh Sheikh Abdul Talib al-Makki, Risalah Qushairiah oleh Sheikh Al-Qushairi, Sayarus Salikin oleh Sheikh Abdus Samad al-Palembangi dan lain-lain.

Dalam al-Quran pun ada menyentuh tentang pembaikian hati ini dan bukan rekaan ulama’ tasauf. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 33: "katakanlah, tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang tampak atau pun yang tersembunyi." Dan firman Allah dalam surah al-An'am ayat 15: "Dan jangan kamu mendekati perbuatan-perbuatan keji, baik yang tampak diantaranya ataupun yang tersembunyi.” Yang tersembunyi itulah hati dan sifat-sifat nya.

Baginda saw pernah bersabda: ”Sesungguhnya Allah tidak akan melihat jasad dan bentuk tubuh kamu, tetapi Allah akan melihat hati kamu (HR Bukhari)

Jadi jelas, baik tidaknya hati seseorang itu yang merupakan sumber amal lahiriah, maka dituntut memperbaiki hati dengan membebaskannya dari sifat-sifat tercela yang dilarang oleh Allah dan menghiaskannya dengan sifat-sifat terpuji yang diperintahkan Nya.

Oleh itu hati akan menjadi sihat dan bersih dan dia tergolong dalam orang yang selamat, menang dan beruntung di akhirat. Allah berfirman dalam surah As-Syu'ara ayat 88-89 : ”pada hari saat harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (Qalbun salim)”

Dalam surah As-Syu’ara ayat 88-89 diatas ada disebut Qalbun Salim. Qalbun salim ialah hati yang sejahtera, bersih dari penyakit hati. Hati yang baik dimana dapat memerintahkan anggota jasad menurut segala perintah Allah. Hati itu diumpamakan seperti raja dan anggota badan itu diumpamakan seperti rakyat. Jika raja baik, baiklah rakyatnya, jika raja sejahtera, sejahteralah rakyatnya. Dikatakan sejahtera kerana telah mencapai taraf ihsan dan telah mengenal Allah (makrifat) dengan taraf ainul yaqin dan haqqul yaqin. Qalbun salim adalah hati yang Allah bukakan (tajalli) dengan rahsia wujudNya, keagungan Nya dan kesempurnaan Nya.

Ilmu tasauf & tarekat juga dikatakan fardu ain selain dari ilmu tauhid dan fikih kerana penyakit hatilah yang menyebabkan seseorang itu jauh dari Allah walaupun ibadat lahir seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah, qurban dan lain-lain lagi telah dilaksanakan. Jika ada sebesar zarah sahaja sifat sombong dalam hati, ibadat nya tidak akan diterima Allah swt. Nabi saw bersabda: ”tidak akan masuk syurga, orang yang didalam hati nya ada sedikit saja sifat sombong.” (HR MUSLIM)

Kerap kali orang tidak dapat melihat aib dan penyakit hatinya. Dia beranggapan telah sempurna kerana telah dapat beribadat dengan banyak, pada hal dia masih jauh dari kesempurnaan. Begitu juga orang alim dalam ilmu ugama, masih jauh lagi dari kesempurnaan. Oleh itu ilmu tasauf adalah menjadi fardu ain juga keatas setiap individu muslim, walaupun dia telah banyak ibadahnya, banyak ilmu syariatnya seperti ilmu fikih, mahir dalam ilmu hadis, tahu ilmu tafsir al-Quran, pakar dalam ilmu nahwu dan saraf, bijak dalam ilmu balaghah, ilmu bayan, usuluddin, sejarah islam, tahu sejarah nabi, rasul dan lain-lain lagi. Jika hati masih penuh dengan sifat-sifat tercela seperti dengki, dendam, riya’, sombong, ujub, cinta dunia, cinta harta, cinta pangkat, cinta pujian orang dan lain–lain lagi, Allah tidak akan pandang. Oleh itu kena belajar ilmu tasauf dan beramal dengan wirid-wirid tarekat yang muktabar supaya hati menjadi bersih dari sifat-sifat tercela dan iman & islam akan meningkat ketaraf ihsan sebagaimana disebut dalam hadis Jibril itu.

Rujukan: Muhammad Hizam Al-Ahmadi Idris. Soal Jawab Ilmu Tasauf & Tarekat
Pengertian TasaufSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.