Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Usaha & Terkerasi


Search This Blog

Usaha & Terkerasi

[Kitab Risalah Al Aqoid Wal Fawaid, Tuan Guru Haji Daud, Bukit Abal]
*
(Usaha . Terkerasi)
Perbuatan seorang itu dua bangsa, pertama, sengaja dibuat. Kedua, tidak sengaja dibuat.
Potong seorang itu dua kali potong dengan qasad hendak potong kayu pada kedua-dua kalinya itu. Kali yang pertama kena kayu sebagaimana qasadnya. Kali yang kedua kena jari menyalahi qasadnya.
Kalau orang bertanya: Kerana apa engkau potong jari? Maka dijawabnya: Aku tidak sengaja, aku tidak pisah. Aku tidak qasad. Aku tidak kehendak, hanya aku qasad hendak potong kayu, tiba-tiba terkena jari.
Maka, didapati potong kayu dan potong jari itu tidak serupa kerana potong kayu itu, ada kehendak sebab itulah mengaku ia dengan perbuatannya dan potong jari itu tidak kehendak sebab itulah tidak mengaku ia dengan perbuatannya.
Maka perbuatan yang ada kehendak itu dinamakan dia usaha dan perbuatan yang tiada kehendak itu dinamakan  terkerasi. .كسبى . اختياري جبرى اضطرارى 

Maka nyatalah daripada yang tersebut itu bahawa makna usaha itu perbuatan yang terbit dari seorang dengan kehendaknya (iradatnya).

Dan makna terkerasi itu perbuatan yang terbit daripada seorang tidak dengan kehendaknya.

Tiap-tiap daripada dua perbuatan itu pada zahirnya itu perbuatan seorang itu kerana terbit ia daripadanya dan pada hakikatnya itu jika perbuatan itu tidak beserta dengan kehendak seorang itu maka iaitu semata-mata perbuatan Allah swt.

Dan jika beserta dengan kehendak seorang itu maka iaitu bukan semata-mata perbuatan Allah swt hanya bersyarikat dengan usaha seorang itu tetapi bersyarikat ini ialah bersyarikat pada rupa jua bukan bersyarikat pada memberi bekas kerana tidak memberi bekas sekali-kali, usaha seorang itu.
Maka barangsiapa iktiqad memberi bekas ia dengan asing sendirinya dan terkaya ia daripada Allah swt nescaya jadi kafir ia.(m/s 42-43)

(Hikmat dibangsakan perbuatan kepada hamba)

Allah swt jadi pada manusia ini akan nafsu yang suka kepada puji dan elok dan baik dan sedap dan seumpamanya dan benci kepada kepada cela dan hodoh dan jahat dan tidak sedap dan seumpamanya.

Allah swt jadi akan makhluk ini dua bangsa, suatu bangsa benda yang bersetuju dengan nafsu iaitu benda yang dipuji dan baik dan elok dan sedap dan seumpamanya.

Apabila memuji seseorang nescaya terkenalah puji itu atas tuhan dan apabila mencela ia nescaya terkenalah cela itu atas itu atas tuhan juga kerana tuhanlah menjadi akan benda yang dipuji dan benda yang dicela itu maka naiklah puji dan cela itu atasnya.

Tatkala menghendaki hikmah Allah swt akan bahwa beradab setengah hambanya itu dengannya, nescaya menjadi ia akan syaitan dan nafsu dan usaha dan seumpamanya seolah-olahnya penyapus tangan bagi hambaNya yang terkena luati benda yang jahat adab dibangsa akandia kepada Tuhannya.

Maka apabila mengenai akan hamba oleh suatu benda yang jahat dibangsa akandia kepada Tuhan maka hendaklah ia bangsa akandia kepada syaitan atau nafsu atau usaha atau seumpamanya supaya beradab ia dengan Tuhannya

Kalau orang tanya: Tidakkah dusta jika dibangsa akan benda itu kepada syaitan, nafsu, usaha dan seumpamanya. Kerana sekeliannya itu tidak memberi bekas ia, maka tidaklah perbuatan baginya hanya perbuatan bagi Allah swt jua.
Maka jawabnya: Tidak dusta kerana muafakat dibangsakan kepada yang tersebut itu dengan zahirnya kerana timbul perbuatan itu pada yang tersebut itu dan kerana bersebabnya dengan yang tersebut, maka dengan iktibar inilah berlaku percakapan syarak dan lainnya pada menyandarkan dan membangsakan perbuatan itu kepada yang lain daripada Allah swt.

Dan pula usaha itu, hasil ia dari takluk 4 sifat: Pertama, kehendak Allah swt. Kedua, kehendak hamba. Ketiga, kuasa Allah. Keempat, kuasa hamba.

Kehendak dan kuasa Allah swt, memberi bekas. Kehendak dan kuasa hamba, tidak memberi bekas pada hakikatnya, tetapi pada rupa sahaja.

Manakala menakluk kesemua 4 sifat itu pada suatu buatan nescaya timbullah perbuatan itu, perbuatan hamba yang dinamakan usaha dan tersembunyilah perbuatan Allah swt itu di dalam perbuatan hamba itu kerana kalah yang tidak nampak tengok, iaitu Allah swt dan perbuatan Nya dan menang yang nampak tengok, iaitu hamba dan perbuatannya.

Maka dengan iktibar yang demikian itu tidaklah dusta mengaku hamba itu dengan perbuatannya dan mengata orang dengan perbuatannya. Dan timpalah atas hamba dengan sebab yang tersebut itu oleh hukum syarak seolah-olah mengambil salah dengan yang tersebut itu.

Dan manakala menakluk pada perbuatan itu oleh tiga sifat jua dan tidak ada padanya itu kehendak hamba, nescaya tidaklah bernama ia dengan perbuatan hamba itu dan jadilah mengaku hamba dengan perbuatannya dan mengata orang dengan perbuatannya itu dusta jua kerana ia semata-mata perbuatan Allah swt jua. Maka dengan sebab itulah tidak timpa atasnya oleh hukum syarak seperti terkerat jari bagi orang yang qasad hendak kerat kayu itu.

Dua orang yang menengok wayang: Satu yang menengok ia di sebelah luar tabir maka berkata ia: Suara itu suara wayang dan perbuatan pun perbuatan wayang. Dan satu lagi itu menengok ia kepada sebelah dalam tabir, maka berkata ia suara itu suara tok dalang dan perbuatan itu pun, perbuatan tok dalang juga. Maka kedua-dua orang itu tidak dikatakan dusta kerana muafakat perkataan tiap-tiap seorang itu dengan barang yang ia pandang atau dengan hantaran.

Maka nyatalah daripada yang tersebut itu bahwa perkataan seorang: Perbuatan itu perbuatan hamba. Dan perkataan orang lain pula: Bahwa perbuatan itu perbuatan Allah swt, iaitu tidak dikatakan dusta kedua-duanya kerana muafakat perkataan tiap-tiap seorang itu dengan barang yang ia pandang wallahu’alam.

Firman Allah swt: Ma asobaka min hasanati faminallahi wama asobaka min sayya a’ti famin nafsika. (An-Nisa' 79) Ertinya Apa-apa suatu yang mengena ia akan dikau daripada kebajikan maka iaitu daripada Allah dan apa-apa suatu yang mengenai akan dikau daripada kejahatan maka iaitu daripada diri engkau.

Ayat ini membangsakan kebajikan itu kepada Allah swt dan mengatakan kejahatan itu kepada hamba dengan dua iktibar: Pandangan batin dan pandangan zahir.

Allah swt sendiri mengatakan perbuatan kejahatan itu kepada hamba Nya, kerana mengajar mereka supaya beradab dengan Dia dan demikian itu tidak dikatakan berdusta kerana muafakat dengan pandangan zahir dan dengan usaha hamba itu, tetapi memberi keliru ia kepada orang bahwa kejahatan itu barangkali sebenarnya perbuatan hamba, bukan perbuatan Allah swt sebagaimana iktiqad QADARIAH itu. Maka ini keliru menolak oleh firman Nya: Qul kullummin 'ibdillah (An-Nisa' 78). Artinya, katakan oleh mu, bermula tiap-tiap daripada kebajikan dan kejahatan itu dari sisi Allah swt jua. Bukan daripada yang lain pada hakikatnya hanya dibahasa akandia kepada hamba itu mengikut pandangan zahir kerana beradab dengan Allah swt jua.

Dan firmannya pula: Wallahu kholaqokum wama ta’malun. (Ash-Shaffat 96). Ertinya, Dan bermula Allah swt itu menjadi ia akan kamu dan akan perbuatan yang zahir pada kamu.

Ayat ini pula menyandarkan perbuatan itu kepada hamba dan menyatakan perbuatan hamba itu sebenarnya ialah perbuatan yang menjadikannya oleh Allah swt, bukan hamba itu menjadikannya sebagaimana zahirnya itu.
Setengah daripada guna ditimbulkan perbuatan seorang dan di sembunyikan di dalamnya itu akan perbuatan Allah swt itu supaya dapat diletakkan atasnya akan hukum syarak dan dapat diletakkan atasnya akan benda yang jahat adab dibahasakan kepada Allah swt.

Dan setengah daripada guna diletakkan hukum syarak atas seorang itu supaya terdiri di dalam alam ini kerajaan yang mengadungi hamba yang berkhidmat kepada tuhannya dengan segala hukum dan adab yang patut dengan kebesaran Nya dan ketinggian Nya dan makmurlah ia dengan dia dan akhirnya pula dibalas akandia di akhirat hingga ma’murlah ia pula dengan berbagai-bagai nikmat dan rahmat dengan kemurahannya di dalam kerajaan Yang Amat Besar yang berkekalan selama-lama, wallahu’alam

Bermula hukum syarak itu lima perkara: Pertama wajib, kedua sunat, ketiga haram, keempat makruh, dan kelima harus.
Wajib itu dapat pahala pada mengerja dan berdosa pada meninggal.
Sunat itu dapat pahala pada mengerja dan tidak berdosa pada meninggal.
Haram itu berdosa pada mengerja dan dapat pahala pada meninggal.
Makruh itu dapat pahala pada meninggal dan tidak berdosa pada mengerja.
Harus itu tidak dapat pahala dan tidak berdosa pada mengerja dan meninggal.(m/s 44-50)

(Segala iktiqad pada usaha )

Perbuatan yang dinamakan akandia usaha itu ada beberapa iktiqad.

Pertama, iktiqadkan perbuatan itu semata-mata perbuatan hamba jua memberi bekas ia dengan sendirinya tidak dengan Allah swt dan tidak dengan qudrat yang dijadikan dia pada hamba itu, iaitu Iktiqad tabaiyyah, maka ini iktiqad kufur.

Kedua, iktiqadkan perbuatan itu perbuatan hamba jua memberi bekas ia dengan qudratnya yakni tatkala menghendaki Allah swt akan menzahir pada hamba itu akan suatu perbuatan, maka menjadi ia padanya akan qudrat, maka berbuatlah hamba itu dengan kudratnya itu dan tidaklah berhajat ia kepada Allah swt kerana memadainya dengan kudratnya itu, maka ini iktiqad menyandarkan memberi bekas hamba itu kepada qudratnya, jikalau dicabut akan qudratnya itu, nescaya tidaklah memberi bekas dan berhajat Allah pada meluluskan kehendaknya itu kepada berlapik (wasitah). Yakni kepada mendahului menjadikan pada hamba itu akan qudrat, maka hasillah perbuatan itu dengan kehendak Allah swt dan dengan qudrat hamba tidak dengan qudrat Allah swt iaitu iktiqad kadariah.

Maka bagi ini iktiqad dua qaul: Pertama tidak mekafir ia akandia iaitu pihak yang berpegang dengan kaedah Iman Al-Asya’ri iaitu tidak pula mekafir akan Ahli Al-Qiblat. Kedua mekafir ia akandia iaitu pihak yang tidak berpegang dengan kaedah itu iaitu qaul daif.

Ketiga, iktiqadkan perbuatan itu semata-mata perbuatan Allah swt dan tidak ada atas hamba itu hukum syarak kerana tiada baginya usaha yang hendak diletakkan hukum itu atasnya, maka jadilah hamba itu seumpama bulu yang dibawa terbang oleh angin jua, iaitu iktiqad jabariah. Maka ini iktiqad kufur kerana menafinya akan hukum syarak.

Keempat, iktiqadkan perbuatan itu semata-mata perbuatan Allah swt jua dan tiada bagi hamba itu usaha tetapi ada di atasnya hukum syarak, maka ini iktiqad tidak kufur tetapi jahil empunya itu akan makna usaha itu hingga nafi ia akan dia dan nafinya akandia itu dusta jua kerana usaha itu ialah kerja iradat hamba dan kudratnya, maka iradat dan qudrat dan kerja keduanya itu tidak diingkar akan sabit sekeliannya itu bagi manusia disisi ‘uqala’ dan jika tidak memberi bekas ia sekalipun.

Kelima, iktiqadkan perbuatan itu bersyarikat ia antara Allah swt dan hamba pada memberi bekas akandia, maka ini iktiqad kufur.

Keenam, iktiqadkan perbuatan itu, perbuatan Allah swt jua memberi bekas ia padanya dan dan iktiqadkan ada bagi hamba itu usaha yang tidak memberi bekas ia padanya sekali-kali dan iktiqadkan ada atas hamba hukum syarak yang diletakkan dia atas usahanya itu. Maka ini iktiqad ialah iktiqad yang betul iaitu iktiqad bagi ahlil sunnah.

Dan bagi ahli ini iktiqad beberapa hal.

Pertama, pandang mereka itu kepada zahir jua dan berkata mereka itu perbuatan itu perbuatan hamba serta tidak berubah mereka itu daripada iktiqadkan perbuatan itu perbuatan Allah swt, hanya lupa mereka itu dan lalai mereka itu daripadanya jua maka lupa dan lalai itu seperti tidur juga pada pihak tidak mencedera ia akan iktiqad mereka itu dan tidak jadi ia iktiqad Qadariah yang salah itu.

Kedua, pandang mereka itu kepada batin jua dan berkata mereka itu perbuatan itu perbuatan Allah swt serta tidak tidak berubah mereka itu daripada iktiqadkan ada bagi hamba itu usaha dan ada baginya hukum syara’ yang diletakkan dia atas usahanya itu hanya lupa mereka itu dan lalai mereka itu daripada ingat kepada usaha itu dan kepada hukum itu, maka lupa dan lalai itu tidak mencedera ia akan iktiqad itu dan tidak jadi ia i’tiqad jabariah yang salah itu.

Ketiga, ghaib iradat hamba dan qudratnya dan kerja keduanya itu daripada pandangan mereka itu, maka tiadalah pada pada pandangan mereka itu suatu perbuatan melainkan perbuatan Allah swt jua, maka ini pandangan bukan nafi ia akan usaha dan akan hukum syara’ itu, hanya ghaib kedua-duanya itu daripada pandangan mereka itu jua dan tidak sedar mereka itu kerana mabuk mereka itu dengan minuman itu.

Keempat, pandang mereka itu kepada zahir dan batin yakni berkata mereka itu perbuatan itu perbuatan hamba ingat mereka itu di dalam hati mereka itu akan bahawasa perbuatan itu perbuatan Allah swt, maka ini pandangan ialah pandangan yang sempurna kerana dapat berhimpun antara dua pihak itu dan tidak hampa kedua-duanya.

Kelima, pandang mereka itu kepada menjadi Allah swt akan hamba dan iradatnya dan kudratnya dan menggeraknya akan keduanya pada berbuat dan berusaha dan menjadinya akan perbuatan di sisi bekerja keduanya dan melakunya akan hukum syara’ atasnya, dan lainnya hingga nyatalah bagi mereka itu dengan pandangan itu kebesaran tuhan dan ketinggiannya dan kehairanannya dan lainnya.  Ini pandangan ialah suatu bagi syuhud akan Allah swt, walahu’alam.

Kerana manasabah dengan ini bicara, kami sambungkan di sini akan suatu kaedah bagi membiasakan hati seorang dengan mengingatkan Allah swt di dalam segala bab yang lima, yang dinamakan dia pancaindera yang lima: Iaitu pelihat, pendengar, pencium, pekecap dan perasa supaya jadillah ia seorang yang ada baginya tuhan dan bertuhan ia, kepada Nya di dalam tiap-tiap bab itu dan jika tidak begitu nescaya jadilah ia seorang yang lalai seolah-olahnya tiada ada baginya tuhan yang daripadanyalah datang ia dan kepada Nya lah pulang ia pula, iaitu:

Apabila kamu melihat akan sesuatu maka hendaklah kamu ingat kepada Allah swt. Apabila kamu dengar akan sesuatu maka hendaklah kamu ingat kepada Allah swt. Apabila kamu berbau dengan sesuatu maka hendaklah kamu ingat kepada Allah swt. Apabila kamu kecap akan sesuatu makanan atau minuman maka hendaklah kamu ingat kepada Allah swt. Apabila kamu berasa dengan sesuatu yang bersentuh ia dengan kamu maka hendaklah kamu ingat kepada Allah swt.

Samada ingat yang tersebut itu ingat akan nama Allah swt atau akan zatNya atau akan mana-mana sifat Nya atau akan perbuatan Nya. Dan samada ingat itu dahulu daripada tiap-tiap satu daripada yang lima itu atau kemudiannya atau di dalamnya atau bersertanya. Mudah-mudahan, dengan mengekali ingat yang tersebut itu, berpindahlah engkau daripada kenal akan Allah swt dengan dalil atau dengan taklid sebagaimana kenal mutakalimin ini kepada kenal akandia pula dengan syuhud sebagaimana kenal ariffin radiallahuanhum, maka dapatlah engkau di sana itu rasa beberapa kesedapan pemberian Allah swt yang tidak dapat dibanding akandia dengan kesedapan dunia ini.(m/s 50-56)

[Kitab Risalah Al Aqoid Wal Fawaid, Tuan Guru Haji Daud, Bukit Abal]
Usaha & TerkerasiSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.