Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Kisah Pengalaman Kesan Amalan Selawat al-Azimiyyah


Search This Blog

Kisah Pengalaman Kesan Amalan Selawat al-Azimiyyah

*Kisah Pengalaman Kesan Amalan Selawat al-Azimiyyah*

Telah diceritakan di dalam sebuah riwayat: Seorang anak murid asy-Syaikh Ahmad ibn Idris telah meninggal dunia di Makkah al-Mukarramah dan telah dikebumikan di perkuburan al-Ma‘la (yang juga disebut sebagai al-Mu‘alla).

Seorang ahli kasyaf daripada kalangan sahabat-sahabat si mati berada di situ sewaktu si mati sedang dikebumikan, dan telah memerhatikan beberapa perkara yang sedang berlaku di alam ghaib. Dia telah melihat seorang malaikat turun ke bumi membawa satu hamparan indah dari syurga dan satu lampu yang sangat terang benderang. Kubur si mati itu telah diluaskan sejauh mata memandang dan hamparan itu telah diberikan kepada si mati dan lampu yang terang benderang itu pula telah didirikan di sisinya. 

Maka si ahli kasyaf itu telah berkata-kata kepada dirinya sendiri, “Apakah sebabnya si mati ini mendapat penghormatan yang sebegitu besar sehingga disuruh malaikat ini turun?” Maka telah dikatakan kepada si ahli kasyaf itu, “Sesiapapun di antara engkau sekelian boleh menerima penghormatan seperti ini dengan mengamalkan Selawat al-‘Azimiyyah, yang telah diajarkan oleh asy-Syaikh Ahmad ibn Idris.”

Sayyid Ahmad ibn Idris r.a. berkata :

"Hendaklah kamu lancarkan membaca salawat yang mulia ini sepertimana kelancaran kamu membaca surah al Fatihah, kerana orang yang telah menghafal salawat ini apabila mati akan diluaskan kuburnya seluas antara langit dan bumi, dibentangkan untuknya beberapa hamparan daripada syurga dan diterangi cahaya sehingga Hari Kiamat."

Telah berkata pula asy-Syaikh Muhammad Thahir ar-Rasyidi al-Ahmadi: 

Kelebihan selawat al-‘Azimiyyah yang telah diajarkan oleh asy-Syaikh Ahmad ibn Idris ialah, jika ia dibaca sebanyak 12 kali dan dihadiahkan pahalanya kepada mayat yang telah berlebih-lebihan ke atas dirinya, nescaya dia akan dipindahkan oleh Allah ke dalam golongan orang-orang yang menerima nikmat daripada Allah, yakni golongan al-anbiya, as-siddiqin, asy-syuhada dan as-solihin, dan mereka adalah sebaik-baik teman, kerana berkat ketinggian martabat selawat ini.

Kesahihannya telah pun dibuktikan oleh mereka daripada golongan ahli kasyaf dan ahlillah, dengan penyaksian dan penglihatan rohani.

Pahala dan ganjaran selawat al-Azimiyyah akan sentiasa berkekalan di dunia dan di akhirat. Tiadalah akan putus pahalanya, dan andaikata seseorang itu sudah masuk ke dalam syurga sekalipun.

Bahkan pahalanya digandakan dengan penggandaan tanpa hisab, kerana kata-kata di dalam selawat itu, “dengan selawat yang berkekalan dengan kekekalan Allah Yang Maha Agung”. Dan sesungguhnya, kekekalan Allah Yang Maha Agung itu tiadalah ia mempunyai akhirnya. Maka selawat ini pun kekal selama-lamanya. Maka penggandaan pahala bagi selawat ini diberikan di dunia, di alam barzakh, di padang mahsyar, dan juga di dalam syurga. Dan ia tidak akan sekali-kali hilang.

Sayyid Ahmad ibn Idris r.a. berkata lagi :

"Di antara keistimewaan membaca salawat ini, ialah orang yang sering dan kerap membacanya akan dapat berjumpa dan berhimpun dengan Rasulullah ﷺ."
.

***

Selawat Azimiah hendaklah dibaca 2,000 kali bagi *mutajarrid* iaitu orang yang tidak mempunyai kesibukan pekerjaan dan 100 kali bagi *mutasabbib* iaitu orang yang berurusan dengan pelbagai asbab. Paksinya ialah mengikut kemampuan.

Kisah Pengalaman Kesan Amalan Selawat al-AzimiyyahSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.