Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: wirid tarikat ahmadiah


Search This Blog

Showing posts with label wirid tarikat ahmadiah. Show all posts
Showing posts with label wirid tarikat ahmadiah. Show all posts

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin Idris

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin Idris – (1757-1835) radhiAllahu 'anhu

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dilahirkan di Maisur iaitu sebuah perkampungan di dalam daerah ‘Arayish, yang terletak di kota Fez (Morocco) pada bulan Rejab tahun 1163 H (1749-50 Masihi). Namun ada riwayat pula yang menyebut bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1172H (1757-58 Masihi).[1]

Nama penuh beliau adalah Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn ‘Ali [2] ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn ‘Abdul Jabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn ‘Ali ibn Hurmah ibn ‘Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris al-Asghar ibn Idris [3] al-Akbar  ibn ‘Abdullah al-Kamil ibn al-Hassan al-Muthanna ibn Saiyyidina Hassan al-Sibt ibn Saiyyidina ‘Ali dan Saiyyidatina Fatimah al-Zahra’ binti Habibuna Saiyyidina Muhammad Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam . Beliau merupakan ahli keluarga Syarif Hasani Idrisi [4] yang masyhur di Morocco kerana keturunan Imam Idris ibn ‘Abdullah al-Mahd [5] pernah mempunyai kerajaan dinasti di Fez (788-974).

Pada pandangan ahli sufi, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dianggap sebagai seorang wali yang telah mencapai maqam Qutub iaitu martabat yang tertinggi dalam pimpinan kaum sufi dan juga dikatakan meraih maqam Sultan Salatin al-Awliya [6]. Selain daripada itu, beliau juga terkenal sebagai seorang ulama pembaharu (mujadid). Beliau telah banyak menggembara dan berdakwah di jalan Allah serta menyebarkan ajaran Tariqahnya ke merata tempat hingga ke Makkah, Madinah, Mesir, Sudan, Yaman, etc.

Beliau telah wafat pada malam Sabtu di antara waktu Maghrib dan Isya’ pada tanggal 21 Rejab. Anak muridnya Saiyyid al-Soleh Ahmad Uthman al-‘Uqaili [7] dilantik untuk memandikannya dan jenazah beliau telah disembahyangkan oleh al-‘Allamah al-Wali Saiyyid Yahya ibn Muhsin al-Ni’ami al-Hasani radhiAllahu 'anhu [8] . Beliau dikebumikan pada pagi itu, 21 Rejab 1837 Masihi (1253 H)[9] di Sabya. Kota Sabya yang pada masa itu berada di Tanah Yaman, namun sekarang adalah di bawah kuasa Kerajaan Saudi.

*************************************

[1] Kedua-dua tarikh telah disebut oleh Tuan Shaykh Salih al-Ja’afari radhiAllahu 'anhu. A’tar azhar aghsan hazirat al-taqdis fi karamat al-alim … al-sayyid Ahmad b Idris radhiAllahu 'anhu (Cairo, 1394/1974), ms 55 dan 34. Namun, tarikh 1163H dimenangkan oleh keturunan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu di Omdurman (Sudan); interview, Shaykh Idris b Muhammad b ‘Abd al-‘Aal / oleh Ali Salih Karrar, May 1977.

[2] Nasab hingga ke ‘Ali ibn Ahmad termaktub oleh Hamdan Hassan, Tarekat Ahmadiyah Di Malaysia Suatu Analisis Secara Ilmiah, (1990) cetakan Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, ms 24

[3] Nasab yang berkait dari ‘Ali ibn Ahmad ke Idris al-Akbar, sila rujuk Tuan Shaykh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Sayyid Ahmad ibn Idris al-Hasani, (2007) radhiAllahu 'anhu terbitan SOFA Production, ms 2. Selanjutnya nasab daripada Imam Idris ke Hasan al-Sibt termaktub oleh Tuan Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, 1354H/1935M. Majmuk, al-Ahmadiyah Press, Singapura, (Jawi), ms 16. Juga lihat Pauzi Haji Awang, Tariqah Ahmadiyyah History and Development, 2001, cetakan Persatuan Ulama Malaysia, dalam bahasa Inggeris ms 39.

[4] J.S. Trimingham, The Sufi Orders in Islam, (Oxford At The Clarendon Press, 1971), dalam bahasa Inggeris ms 114

[5] Khairudin al-Zurkaly, (Beirut :1969) al-‘Alam, Jilid 1, Cetakan ke-III, hlm 90

[6] Ahmad bin Idris, (tanpa tarikh), al-Ahzab al-Irfaniyah al-Awrad. ms 1

[7] Muhammad al Yamani, Risalah al Aurad al Idrisiyyah, ms 78-79

[8] Ibid

[9] The Encyclopedia of Islam, vol I, (1960) ms 177

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin IdrisSocialTwist Tell-a-Friend

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAH

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAH

Al-Tariqah al-Idrisiah adalah sebuah Tariqah yang muncul dan berpusat di Asir,(Arab Saudi) pada abad ke-19 M. Ia didirikan oleh Syarif Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris 'Ali al-Mashishi al-Yamlakhi al-Hasmi radhiAllahu 'anhu.

Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf. Sekiranya kita meneliti rantaian sanad yang diperolehi oleh ulama’ dunia seperti al-Muhaddith Tuan Shaykh Yasin al-Fadani radhiAllahu 'anhu, Tuan Shaykh Sayyid Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki radhiAllahu 'anhu, al-Muhaddith Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ibn ‘Alwi al-Maliki radhiAllahu 'anhu dan ulama-ulama lain, kita akan mendapati nama Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu tertera di dalam rijal sanad mereka. Juga, beliau masyhur meriwayatkan hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali [1] misalnya sanad periwayatan di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dan Imam al Bukhari radhiAllahu 'anhu hanya mempunyai 9 perantaraan.

Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi radhiAllahu 'anhu. Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir radhiAllahu 'anhu(Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah) radhiAllahu 'anhu.[2]

Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.[3]

Juga, diriwayatkan oleh Tuan Shaykh Muhammad bin Ali as-Sanusi radhiAllahu 'anhu bahawa sewaktu dia belajar daripada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, beliau telah mengajarinya selain Tariqah Khidiriah juga Tariqah lain seperti Nasiriah, Naqsyabandiah, Uwaysiah, Suhrawardiah, Shadziliah, Hatimiyazamqiah dan Qadariah, sehingga Tuan Shaykh Muhammad As-SanusiradhiAllahu 'anhu menganggapnya "Qutb". [4]

Yusuf bin Ismail al-Nabhani pengarang kitab Jami' Karamat al-Auliya, menggambarkan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu sebagai orang yang berhasil menghimpun dan menguasai ilmu zahir (syari'ah) dan ilmu batin (tasawuf); memiliki kemasyhuran dalam ilmu al-Quran dan Hadiths, suatu ilmu yang diperoleh melalui Kasyf.

Al-‘Arif billah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad al-Sanusi radhiAllahu 'anhu menamakan tariqah ini dengan al-Tariqah al-Muhammadiah. Beliau berkata, “Aku meriwayatkan al-Tariqah al-Muhammadiah ini dari pelbagai sanad. Sanad tertinggi yang kami ambil ialah daripada syeikh kami Qutb al-‘Arifin Imam al-Muhaqqiqin Maulana Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu…”[5]

Dari sudut keistimewaannya, ia merupakan tariqah yang dinisbahkan kepada Nabi shallAllahu 'alaihi wasallam Semua perkara yang terkandung di dalam tariqah ini, merupakan ambilan dan cedokan daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam dan Sunnahnya.

Sementara Shaykh kami, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu pula menamakan tariqah ini dengan Ahmadiah, sempena dirinya sendiri – semoga Allah menyucikan rohaninya – kerana Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam mengkhususkan tariqah tersebut kepada beliau dengan zikir yang lengkap, doa yang penuh rintihan dan sumber yang banyak.[6]

Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam [7]. Dalam pertemuan suri  di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dengan Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam itu, Nabi Allah Khidr 'alaihis salam hadir sama. Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam telah mengarahkan Saiyidina Khidr 'alaihis salam supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam menyuruh Nabi Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. [8] Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu tanpa perantaraan. [9]

Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu ini.

****************************************

[1] Ulama berbangga apabila mendapat sanad daripadanya misal Sayyid Muhammad Ali as Sanusi, Mufti Zabid Yaman Shaykh Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali, Qadhi Hassan ‘Akish. Imam Muhammad bin Ali Syaukani memberi pengiktirafan sedemikian sebagaimana termaktub oleh Shaykh Soleh Al Ja’afari, al-Muntaqa al-Nafis fiManaqib Qutb Dairah al-Taqdis Sayyidi Ahmad ibn Idris, ms 27

[2] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, 1354H/1935M. Majmuk, al-Ahmadiyah Press, Singapura, (Jawi), ms 13

[3] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, (tanpa tarikh). Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rashidiyah al-Dandarawiyah, dicetak oleh Sungai Ujung Press dalam tulisan Jawi, pada Fasal Keempat ms 34

[4] Knut S. Vikor, Sufi and Scholar, hal. 120.

[5] Al-Sayyid Muhammad ibn Ali al-Sanusi al-Khattabi al-Hasani. Kitab Al-Manhal al-Rawiy al-Ra’iq fi Asanid al-‘Ulum wa Usul al-Tara’iq

[6] Al-Shaykh Al-Sayyid Ibnu Idris. Kitab Al-Raksu wal Ghanaa’ was Sima’ ‘indal Thoriqatul Shufiyyah (Tarian, Nyanyian & al-Sima’ dalam Tariqah Tasawwuf, cetakan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, ms 5

[7] Hadhihi Turjumah Sidi Ahmad, (Egypt : Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah, tanpa tarikh) ms 2-4

[8] Ibid.

[9] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu. Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rasyidiyah al-Dandarawiyah, dalam tulisan Jawi, ms 37

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAHSocialTwist Tell-a-Friend

Wasiat Sayyid Ahmad ibn Idris

Berkata Sayyid Ahmad ibn Idris r.a

Hendaklah kamu mengamalkan wasiat ini, kerana nilainya lebih tinggi dan hebat daripada emas dan perak. Dengannya, kamu akan dapat mengalahkan penunggang kuda yang pantas di gelanggang perlumbaan. Bahkan, akan menyampaikan kamu dengan izin Allah kepada apa yang kamu impikan sehingga  kepada suatu  perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas di benak hati manusia. Inilah wasiatnya:

Jika kamu hendak membaca Salawat 'Azimiah atau salawat  al Ahmadiyah yang lain, hendaklah kamu membacanya dalam keadaan berwudhu', duduk berlutut sambil mengadap Kiblat, merendahkan pandangan dengan menghadapkan hati dan ruh kepada Nabi saw sambil membayangkan gambaran Baginda saw dengan pandangan yang hakiki. Dengan cara ini, akan menghapuskan hijab di antara kamu dan yang dilihat iaitu Nabi saw. Maka Baginda saw melihat kamu sebagaimana kamu melihat Baginda saw. Baginda saw mengasihi kamu sepertimana kamu mengasihi Baginda saw dan Baginda saw melimpahkan kepadamu pandangannya yang tinggi dan ruhnya yang jernih bercahaya. Lantas ruh kamu akan bergetar seperti bergetarnya dahan yang hijau apabila disirami air. Lebih-lebih lagi, jika dilakukan di tempat yang sunyi selepas solat Subuh, atau pada pertengahan malam.

Jika dizahirkan sesuatu kepada kamu, maka jangan kamu ceritakan kepada seorang pun melainkan syeikh kamu telah kamu mengambil tariqat di tangannya. Tetapi, jika kamu tidak melihat apa-apa, maka bersabarlah hingga sempurna bagi kamu perkara tersebut, darjat kamu meningkat dan kamu layak untuk menerimanya.

Firman Allah:

"Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami berikan kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Yusuf: 22)

Hendaklah kamu memelihara faedah istimewa yang bernilai tinggi ini. Lebih-lebih lagi, jika kamu berada di dalam Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah kerana tempat itu lebih afdhal, lebih cepat terhasil dan lebih dekat dengan apa yang kamu inginkan. Rasulullah saw adalah tempat tujuan yang paling utama dan tinggi; yang akan menyampaikan kepada Musyahadah Ilahiyyah; perkara yang berada di sebalik aqal dan pancaindera manusia.

Telah diriwayatkan oleh al Bukhari daripada Anas ra, bahawa Nabi saw telah bersabda:

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada dirinya, kedua ibu bapanya dan manusia seluruhnya."

Dengan kecintaan ini, akan mendekatkan kamu dengan pertolongan dan kehendak Allah kepada peningkatan tajalliyaat. Dengannya, kamu akan sampai kepada apa yang telah dikecapi oleh ahli Arifin, kamu akan menceduk apa yang telah diceduk oleh mereka dan kamu akan meminum apa yang telah diminum oleh mereka di dunia dan akhirat. Firman Allah saw:

"Dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci, (serta dikatakan kepada mereka), "Sesungguhnya (segala pemberian) ini untuk kamu sebagai balasan, usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)." (Al Insaan: 21-22)

Betapa aku merinduimu, wahai kekasihku, wahai Rasulullah saw!

Wahai murid! Wajib ke atas kamu sentiasa dan selama-lamanya mengkoreksi dan melihat ke dalam hatimu sejauh mana kecintaanmu terhadap Rasulullah saw, dan menimbangnya dengan neraca al Quran dan al Sunnah; adakah Baginda saw lebih kamu cintai daripada diri kamu, anak-anakmu dan kedua ibu bapamu? Adakah hati kamu merindui Baginda saw? Adakah air matamu pernah mengalir dek menanggung kerinduan terhadap Baginda saw? Adakah lidah kamu pernah memujinya kerana pujian kepadanya adalah ibadah?  Adakah kamu berusaha membanyakkan salawat dan salam ke atas Baginda saw? Adakah hati kamu suka dan redha mengikuti Sunnah Baginda saw?

Jika jawapannya, "Ya", maka bergembiralah kamu dengan dua kegembiraan di dunia dan akhirat.

Wasiat Sayyid Ahmad ibn IdrisSocialTwist Tell-a-Friend

Kelebihan Lafaz Dzikir Fii Kulli Lamhatin

.
Solawat ‘Azhimiyyah telah ditalqinkan oleh Nabi s.a.w. langsung kepada Shaykh Ahmad ibn Idris dengan tanpa perantara, sekali dan dengan perantara Nabi Khidir a.s. sekali.

Sesungguhnya telah dijelaskan oleh Shaykh yang Kamil, orang yang ‘Alim lagi mengamalkan, Sayyidi Shaykh Ismail an-Nawab yang bermukim di Makkah al-Musharrafah, dari Gurunya Barakatul Wujud, Sayyidi Shaykh Ibrahim ar-Rasyid, dari Gurunya yang Agung, Sayyidina Shaykh Ahmad ibn Idris, bahwa beliau ditalqinkan oleh Nabi s.a.w. sendiri awrad Thariqat Syadziliyyah, dan memberinya awrad yang tinggi nilainya serta Thariqat Suluk yang teristimewa (khusus).[1]

Bersabda Nabi s.a.w:
“Barangsiapa yang sampai kepadamu (wasilahnya) maka ia tidak akan tersesat ke daerah yang lain atau kepada jaminan yang lain, tetapi akulah yang menjadi kekasihnya dan dia menjadi tanggunganku”.

 Shaykh Ahmad ibn Idris berkata:
“Aku berkumpul bersama Nabi secara nyata beserta Nabi Khidir. Nabi pun memerintahkan kepada Nabi Khidir agar menalqinkan kepadaku awrad Thariqat Syadziliyyah. Lalu Nabi Khidir mengajarkan dzikir tersebut di hadapan Baginda”.

Kemudian bersabda Nabi s.a.w kepada Nabi Khidir a.s:
“Wahai Khidir, talqinkan (ajarkan) dia awrad yang mencakup seluruh dzikir, solawat dan istighfar, yang lebih utama ganjarannya dan lebih banyak jumlahnya”.

Berkata Nabi Khidir a.s:
“Apakah itu wahai Rasulullah?”

Bersabda Baginda:
“Katakan olehmu: Laailaaha illallaahu Muhammadur Rosuulullaah, Fii kulli lamhatin wanafasin ‘adada maa wasi’ahuu ‘ilmullaah.

Sehingga aku pun meniru bacaan setelah keduanya (Rasulullah & Nabi Khidir) selesai mengucapkannya. Diulangi oleh Rasulullah hingga tiga kali.

Lalu Baginda bersabda:
“Ucapkan: Allaahumma innii as-aluka bi nuuri Wajhillaahil ‘Azhiim… … Kemudian bersabda Nabi: “Ucapkan: Astaghfirullaahal ‘azhiim Alladzii laa ilaaha illaa huwal hayyal qoyyuum… … Itulah Istighfar Kabir, lalu diulangi oleh Nabi Khidir a.s, dan aku mengulanginya.

Kemudian Rasulullah bersabda:
“Ya Ahmad, sungguh aku berikan kunci langit dan bumi, itulah dzikir yang khusus, solawat yang agung, dan istighfar yang besar”.

Dikatakan pula oleh Syekh Ahmad:
“Kemudian aku menerima awrad tersebut langsung dari Rasulullah dengan tanpa perantara, sehingga aku talqinkan kepada para murid sebagaimana yang telah ditalqinkan kepadaku”.

Pernah suatu kali Rasulullah bersabda kepada Syekh Ahmad:
“Laailaaha illallaahu Muhammadur Rosuulullah, Fii kulli lamhatin wanafasin ‘adada maa wasi’ahuu ‘ilmullaah. Aku menyimpannya untukmu, wahai Ahmad. Tiada seorangpun yang dapat mendahului keutamaan engkau, wahai Ahmad. Ajarkan pada para pengikutmu, agar mereka menjadi orang pertama yang mengetahuinya”.

Syekh Ahmad berkata:
“Rasulullah membacakan untukku hizib-hizib dari lafazh beliau”. Sehingga, ulama’ pengikutnya merasa kesulitan pada suatu kalimat dalam hizib. Maka ia berkata, “Wahai saudara kami, demikianlah Rasulullah mengucapkan kepadaku”.

Para Guru Sufi mengatakan bahwa dasar Thariqat Syadzili dari Syekh Ahmad ibn Idris. Setiap awrad yang diambil dari beliau bererti berasal dari Nabi s.a.w.[2]

Antara murid Ahmad ibn Idris yang termasyhur, Sayyidi Muhammad ibn Ali as-Sanusi dalam kitabnya Masyariqul Anwar menceritakan bahwa ia pernah ditanya,
“Kepada siapa awrad ini dinisbahkan?”

Beliau katakan bahwa setiap murid yang ditalqinkan oleh Syekh Ahmad ibn Idris pada awalnya, bererti ia ditalqin oleh Nabi.[3]

Apa yang terkandung dalam dzikir ini mencakup segala dzikir seluruh makhluk, baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi. Secercah benda cair maupun padat, yang bernyawa atau tidak merupakan bagian terkecil dari Ilmu-Nya, yang tak lepas dari pengamatan-Nya, kesemuanya terangkum dalam keluasan Ilmu Allah (Wasi’ahu ‘Ilmullaah).

----------------------------------------

[1]. Diceritakan dalam kitab Afdhalus Sholawat karya Shaykh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, hal. 170
[2]. Thariqat-thariqat yang mengambil sumber awrad / ajaran dari Syekh Ahmad adalah Al-Idrisiyyah, Sanusiah, Dandirawiyyah, Rasyidiyyah, Shalihiyyah, Madaniyyah, Ja’fariyyah, Majdzubiyyah, Khatmiyyah, Mirghaniyyah.
[3]. Demikian pula disebutkan oleh Sayyid Muhammad Utsman al Mirghani dalam kitab Ratib dan Sayyidi Shalih Ja’far dalam kitabnya Mafatihus Samawati wal Ardh (Pengantar kitab Majmu’ah Awrad Sayyidil Imam Ahmad ibn Idris r.a)

Dipetik daripada laman web www.ahmadiah-idrisiah.com

Kelebihan Lafaz Dzikir Fii Kulli LamhatinSocialTwist Tell-a-Friend

AMALAN TAREKAT AL-AHMADIAH AL-IDRISIAH AL-RASHIDIAH AL-DANDARAWIAH

.
Amalan Utama Tarekat Ahmadiah

Tarekat Ahmadiah mempunyai amalan-amalan di waktu siang dan malam. Amalan amalan yang diterima oleh Sayyidi Ahmad bin Idris ialah:

i. Fatihatul Aurad

ii. Al-Tahlil

iii. Al-Salawat al-‘Azamiah

iv. Al-Istighfar al-Kabir

v. Al-Mahamid al-Thamaniah

vi. Al-Ahzab Arba‘ata ‘Ashar

vii. Al-Husun Mani‘ah

viii. Al-Ahzab

Adapun al-Hizb al-Saifi diterima daripada al-Syeikh al-Mujaidiri daripada Qutub al-Jin al-Qafai dari Amir al-Mukminin Ali bin Abi Talib (k.a) dari Rasulullah SAW. Di kalangan ahli Tarekat Ahmadiah amalan-amalan ini terkumpul dalam kitab yang dipanggil nama singkatannya ‘al-Ahzab’. Syeikh Mohd Said telah mencetak semula Ahzab ini yang dinamakan ‘al-Ahzab al-‘Urfaniah wal Aurad al-Nuraniah’. Beliau telah menulis di tepi Ahzab itu karya beliau ‘Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuraniah’ di mana di antaranya beliau menghuraikan amalan-amalan wirid. tu.


Amalan yang dianggap paling utama dan mempunyai banyak kelebihannya serta sangat digalakkan oleh guru-guru tarekat ini membaca dan mengamalkannya ialah:

1-Al-Tahlil ( التهليل )

Lafaznya ialah:-

لاَاِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ

Ertinya:- Bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah.


2-Selawat Azamiah (الصلوات العظمية )

اَللّهُمَّ اِنِّيْ أَسْاَلُكَ بِنُوْرِ وَجْهِ اللهِ الْعَظِيْمِ الَّذِي مَلأ أَرْكانَ عَرْشِ اللهِ الْعَظِيْمِ وَقَاْمَتْ بِهِ عَوَاْلِمُ اللهِ الْعَظِيْمِ أَنْ تُصَلِّىَ عَلَى مَوْلانَا مُحَمَّدٍ ذِي الْقَدْرِ الْعَظِيْمِ وَعَلَى آلِ نَبِيِّ اللهِ الْعَظِيْمِ بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاْتِ اللهِ الْعَظِيْمِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا فِيْ عِلْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ صَلاةً دَاْئِمَةً بِدَوَاْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ تَعْظِيْمًا لِحَقِّكَ يَا مَوْلانَا يَا مُحَمَّدُ يَا ذَا الْخُلُقِ الْعَظِيْمِ وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ مِثْلَ ذَلِكَ وَاجْمَعْ بَيْنِىْ وَبَيْنَهُ كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الرُّوْحِ وَالنَّفْسِ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا يَقَظَةً وَمَنَامًا وَاجْعَلْهُ يَارَبِّ رُوْحًا لِذَاْتِىْ مِنْ جَمِيْعِ الْوُجُوْهِ فِى الدُّنْيَا قَبْلَ الأخِرَةِ يَا عَظِيْمُ

Ertinya:- Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan Nur Wajah Allah yang Maha Besar, yang memenuhi segala penjuru ‘Arasy Allah Yang Besar, dan dengannya berdiri seluruh alam Allah yang Agung. Moga engkau bersalawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W yang mempunyai martabat yang agung dan ke atas keluarga Nabi Allah Yang Besar, dengan kadar kebesaran Zat Allah Yang Maha Besar, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah Yag Maha Besar, dengan salawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya Allah Yang Maha Besar, Penghormatan bagi engkau wahai tuan kami, wahai Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang besar(indah). Salam kesejahteraan daripadaMu ke atas keluarganya seperti yang demikian itu juga. Himpunkanlah di antara aku dan dia (Nabi Muhammad S.A.W ) sebagaimana Engkau menghimpunkan antara roh dan jasad, zahir dan batin sama ada ketika sedar atau tidur. Jadikanlah dia (Nabi Muhammad S.A.W ) wahai Tuhanku, roh bagi zatku daripada sekalian wajah (keadaan) di dalam dunia ini sebelum hari akhirat, wahai Allah yang Maha Besar.


3-Istighfar Kabir (الاستغفار الكبير )

أَََسْتَغفِرُ اللهَ العَظِيْمَ الََّذِيْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ القَيُّوْمَ غَفَّارَ الذُّنُوْبِ ذَاالْجَلالِ وَالاِكْرَامِ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ مِنْ جَمِيْعِ الْمَعَاصِى كِلِّهَا وَالذُّنُوْبِ وَالآثَامِ وَمِنْ كُلِّ ذَنْبٍ أَذْنَبْتُهُ عَمْدًا وَخَطَأً ظَاهِرًا وَبَاطِنًا قَوْلاً وَفِعْلاً فِىْ جَمِيْعِ حَرَكَاتِىْ وَسَكَنَاتِىْ وَخَطَرَاتِىْ وَأَنْفَاسِىْ كِلِّهَا دَائِمًا أَبَدًا سَرْمَدًا مِنَ الذَّنْبِ الَّذِىْ أَعْلَمْ وَمِنَ الْذَّنْبِ الَّذِىْ لاَ أَعْلَمْ عَدَدَ مَا أَحَاطَ بِهِ العِلْمُ وَأَحْصَاهُ الكِتَابُ وَخَطَّهُ القَلَمُ وَعَدَدَ مَا أَوْجَدَتْهُ الْقُدْرَةُ وَخَصَّصَتْهُ الإِرَادَةُ وَمِدَادَ كَلِمَاتِ اللهِ كَمَا يَنْبَغِىْ لِجَلاَلِ وَجْهِ رَبِّنَا وَجمَاَلِهِ وَكَمَالِهِ وَكَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى

Ertinya:- Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Besar, yang bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya. Maha Pengampun bagi segala dosa, wahai yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Aku bertaubat kepada-Nya daripada segala jenis maksiat, dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, sama ada yang zahir mahupun yang batin, sama ada pada perkataan, perbuatan dalam setiap pergerakan atau diamku, yang terlintas dihatiku dan diriku semuanya selama-lamanya. Tidak kira sama ada dosa-dosa yang aku ketahui atau tidak aku ketahui, sebanyak mana yang dicakupi oleh Ilmu Allah, yang dihitung oleh buku amalan dan yang ditulis oleh pena. Sebanyak mana yang diadakan oleh Qudrat dan dituntut oleh Iradat dan sebanyak tinta kalimah-kalimah Allah sepertimana yang selayaknya bagi kebesaran zat Tuhan kami, keelokanNya, kesempurnaannya dan sepertimana yang dikasihi oleh Tuhan kami dan yang diredhainya.


Cara Menerima Talkin Tarekat

Ada dua kaedah untuk menerima Talkin Tarekat ini iaitu:

Pertama: Secara khas iaitu bertemu secara peribadi dengan Syeikh yang diperakukan dan ditalkinkan:



Kedua: Secara am iaitu menerimanya dalam mana-mana majlis zikr atau majlis hol.


والله أعلم


Dipetik daripada buku “Mengenal al-Tarekat al-Ahmadiah” terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan dilancarkan pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1414H.

TAREKAT YANG TELAH DILULUSKAN PENDAFTARANNYA DI BAWAH ENAKMEN TERAKAT TASAWUF(NEGERI SEMBILAN) 2005- TAREKAT AL-AHMADIAH AL-IDRISIAH AL-RASHIDIAH AL-DANDARAWIAH

PENGENALAN TAREKAT AHMADIAH AL-IDRISIAH AL-RASHIDIAH AL-DANDARAWIAH

AMALAN TAREKAT AL-AHMADIAH AL-IDRISIAH AL-RASHIDIAH AL-DANDARAWIAHSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.