Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: (SIRI 3) KENALI UMDAH TAREKAT


Search This Blog

(SIRI 3) KENALI UMDAH TAREKAT

SIRI 3: KEPERIBADIAN AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris tergolong dalam kalangan lelaki yang segak dan tampan serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia. Memiliki ketinggian yang sederhanan, berkulit putih kemerah-merahan, bermata luas dan dua bulu keningnya bercantum, janggutnya nipis dan terdapat banyak uban. Beliau juga memiliki lisan yang fasih dan hatinya yang kuat.

Beliau diperakui memiliki kecerdikan yang sempurna, sentiasa berlapang dada sehingga orang yang duduk bersamanya tidak pernah berasa jemu. Terkenal sebagai seorang yang pemurah, banyak berdiam melainkan ketika berzikir dan menyampaikan ilmu, petah dan tepat dialeknya.

Sayyid Muhammad al Hasan al Mirghani pernah berkata mengenai ketampanannya: “Kecantikannya bak emas yang berkilauan.”

Pada kebiasaannya, beliau memakai serban di atas ketayapnya dengan meninggalkan ekor di bahagian belakang. Labuh baju yang dipakainya berada di atas buku lali kerana mengikut sunnah Nabi. Beliau merupakan seorang yang wara’ lagi bertakwa. Pada waktu malam, beliau sentiasa bangun malam dan memanjangkan solatnya. Manakala pada waktu siang, beliau sentiasa bergelumang dengan dunia ilmu dan pengajarannya.

Fikirannya sentiasa karam dalam solat yang dikerjakannya hingga beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekitarnya. Apabila berdiri untuk mengerjakan solat, badannya menggigil lantaran berasa gerun untuk menghadap Allah dalam keadaan solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Kekhusyukan solatnya disebut oleh muridnya, al Qadhi Hasan ‘Akish dalam kitabnya yang bertajuk, al Dibaj al Khasrawani, ‘Uquq al Durar dan Hadaiq al Zahr sebagaimana katanya:
“Fikiran Sayyid Ahmad ibn Idris karam dan tenggelam dalam solat yang dikerjakannya ketika bangun malam. Beliau menghadap Allah dengan sepenuh penghadapan sehinggakan beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Apabila hendak berdiri mengerjakan solat, beliau sentiasa menggigil kerana takut hendak menghadap Allah dalam keadaadn solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya. ”

Anak-anak muridnya meriwayatkan, bahawa pernah sekali ketika al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris mengerjakan solat secara berjemaah di rumah, suatu benda di dalam rumahnya telah terjatuh dan kedengaran bunyi yang kuat. Setelah selesai solat, mereka berkata kepada al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris, “Telah terjatuh sesuatu daripada atap rumah ini.” Kata al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Mereka menjawab: “Kami mendengar bunyi suatu benda yang terjatuh.” Maka beliau berkata: “Maha Suci Allah! Ketika kamu sedang solat, kamu boleh mendengarnya ?”

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 3) KENALI UMDAH TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.