KELEBIHAN AURAD SIDI AHMAD IBNI IDRIS
Wirid-wirid yang telah diajarkan oleh asy-Syaikh Ahmad ibn Idris kepada murid-murid beliau mempunyai satu keistimewaan, yakni ia adalah hasil daripada apa yang telah diajarkan kepada beliau oleh rohaniah Rasulullah SAW sendiri .
Telah bercerita asy-Syaikh Ahmad ibn Idris di dalam kitab yang berjudul Kunuz al-Jawahir an-Nuraniyyah Fi Qawa‘id TarÏqah asy-Syazhiliyyah:
Selepas aku mencapai penetapan di dalam tarekat ini di atas tangan guruku Abi al-Qasim al-Wazir, semoga beliau dirahmati Allah SWT, dan naik melalui bimbingannya sehingga sampai ke alam al-ghaib, dan dengan itu aku telah menjadi seorang mukmin yang sebenar-benarnya, maka aku telah bertemu selepas kematiannya, semoga beliau dirahmati Allah Taala, dengan Rasulullah SAW (yakni berlakunya perkara ini di alam al-arwah dan bukan di alam nyata).
Turut serta di dalam perhimpunan suri (yakni perhimpunan yang bukan berbentuk fizikal) itu ialah al-Khaidir ‘alaihissalam. Rasulullah SAW telah menyuruh al-Khaidir ‘alaihissalam mengajarku segala zikir Tareqah Ad Sayidzilliah, maka dia pun mengajarku di hadapanRasulullah SAW.
Setelah itu, Rasulullah SAW telah menyuruh al-Khaidir ‘alaihissalam mengajarku amalan yang dapat menghimpunkan segala zikir dan selawat dan istighfar, dan yang terlebih besar pahalanya, dan terlebih banyak bilangannya (yakni yang terlebih tinggi nilainya).
Dia (yakni al-Khaidir ‘alaihissalam) telah bertanya kepada baginda (yakni Rasulullah SAW), “Apakah ia, wahai Rasulullah SAW?”
Maka baginda telah mengajarku Zikir Al Makhsus yang telah diulangi oleh baginda sebanyak tiga kali. Aku juga telah disuruh mengulangi bacaan itu, maka aku pun melakukannya.
Setelah itu, baginda telah membaca pula selawat Al Azhimiah, dan aku telah mengulangi bacaan baginda itu. Kemudian, baginda telah membaca pula Istighfar Al Kabir , dan aku telah mengulangi bacaan baginda itu . . . .
Aku telah dipakaikan dengan beberapa cahaya serta kekuatan yang bersifat Muhammadiah, dan telah direzekikan juga kepadaku beberapa penglihatan yang bersifat ilahiyyah.
Setelah itu, bersabda baginda kepadaku, “Wahai Ahmad, telah aku berikan kepadamu kunci-kunci tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan ia adalah Zikir Al Makhsus dan Selawat Al Azhimiah dan Istighfar Al Kabir. Satu kali membacanya itu adalah seperti kadar dunia dan akhirat, dan apa yang terkandung di dalam kedua-duanya, dan yang digandakan pula [kadarnya] beberapa gandaan . . .”
Kemudian Rasulullah SAW telah mengajarku selepas itu, dengan tiada perantaraan (wasitah). Baginda telah mengimlakkan (dictated) kepadaku [beberapa waktu kemudian] al-Mahamid Al Thamaniah, al-Ahzab dan al Solawat (Selawat 14). Maka aku telah menuliskannya seperti mana yang telah diajarkan kepadaku, dan aku telah membahagikanAl Ahzab dan Al Solawat kepada tujuh bahagian untuk dibacakan satu bahagian pada setiap hari - dengan khusyuk dan perendahan diri (khuduk) bagi orang yang belum sampai, dan dengan kehadiran hati (Hudur) dan rasa (dzauq) dan penyaksian (musyahadah) bagi orang yang sudah sampai.
Maka jadilah aku pula mengajar murid-muridku seperti yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW kepadaku, dan aku telah iktibarkan pula perkara-perkara yang tersebut itu daripada beberapa syarat . . . .
Dan pada suatu waktu yang lain pula, telah berkata asy-Syaikh Ahmad ibn Idris:-
Para penghulu bagi tarekat ini telah mengambil cara mereka melalui perantara-perantara, tetapi aku telah mengambil tarekat ini langsung daripada baginda Rasulullah SAW (yakni melalui jalan rohani), tanpaadanya seorang perantara.
Maka tarekatku ini adalah Muhammadiah Al Ahmadiah, awalnya dan akhirnya adalah Nur Muhammad . . . .
Telah bercerita lagi asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris:
Setiap nabi mempunyai satu doa yang diperkenankan [oleh Allah], dan setiap wali mempunyai satu permintaan di sisi an-Nabi SAW yang diperkenankan [oleh an Nabi SAW].
Tatkala sampai waktunya, aku telah membuat permintaan kepada Rasulullah SAW agar memberikan penjagaan kepada para sahabatku dengan zat (yakni rohaniah) baginda yang khas, di dalam urusan bantuan rohani (madad).
Maka baginda telah berkata, “Sesiapa yang menisbahkan dirinya kepadamu (yakni mengambil tarekat yang berasal daripada asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris), tiada akan aku serahkan dia untuk penjagaan yang lain daripadaku, dan tiada akan aku jadikan dia tanggungjawab bagi yang lain daripadaku. Akulah yang menjadi penjaganya dan yang akan bertanggungjawab ke atasnya.”
Telah berkata asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris bahawa Rasulullah SAW telah berkata kepadanya:
Sesiapa yang mengambil tarekat ini dan bersungguh-sungguh di dalamnya, akan dituliskan dia di dalam daftar Allah yang tertinggi, yang tidak akan diubahkan dan tidak akan digantikan [nama-nama di dalam kandungannya].
Telah berkata lagi asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris:
Tarekatku ini, tiadalah keadaannya melainkan pada langkah yang pertama di sini, dan pada langkah yang kedua [sudah pun berada] di sisi Allah.
Telah berkata lagi asy-Syaikh Ahmad ibn Idris:
Anak-anakku (yakni anak-anak murid atau para pengikut asy-Syaikh Ahmad ibn Idris) akan terlepas daripada fitnah-fitnah di akhir zaman.
0 comments:
Post a Comment