Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi


Search This Blog

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS

Tarekat dari sudut bahasa bermakna jalan. Di dalam al-Quran, kalimah tarekat ini disebut beberapa kali sahaja. Antaranya dalam surah al-Jin ayat 16 yang bermaksud: “ Dan sekiranya mereka istiqamah diatas tarekat ini (agama Islam) nescaya kami akan kurniakan mereka air yang melimpah ruah (kebaikan zahir dan batin yang terlalu banyak)”.

Semua ahli tafsir menafsirkan kalimah at-tariqah yang tersebut dalam surah al-Jin diatas dengan makna al-Islam.

Tarekat tasawuf juga mempunyai makna yang sama. Yang membezakan antara kedua-duanya ialah istilah tarekat dalam surah al-Jin itu bersifat umum manakala tarekat tasawuf bersifat khusus. Tarekat yang umum hanya didasarkan kepada dua asas sahaja iaitu beriman kepada rukun iman yang enam dan melakukan amalan soleh yang diasaskan kepada rukun Islam yang lima.

Tarekat dalam tasawuf adalah jalan syariat agama Islam yang khusus kerana ia didasarkan kepada tiga syarat iaitu:

1. Beriman kepada rukun iman yang enam.
2. Beramal soleh berasaskan rukun Islam yang lima.
3. Berzikir terus menerus sehingga hati menjadi mutmainnah.

Ketiga-tiga syarat tersebut disebutkan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:“ Mereka adalah orang-orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

Kaedah mempelajari tarekat tasawuf dan mengamalkannya juga dilakukan secara khusus, dengan syarat-syarat yang khusus, melalui tahap-tahap yang khusus, ada pimpinan yang khusus dengan tujuan yang khusus dan sebagainya lagi. Oleh itu, orang yang beramal dengan tarekat yang khusus dapat menjalani ketiga-tiga asas agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Maka berbezalah tarekat tasawuf yang bersifat khusus ini dengan tarikat yang umum, iaitu jalan syariat agama Islam yang biasa diamalkan oleh orang ramai. Tarekat atau jalan syariat agama Islam yang umum tidak terikat dengan berbagai syarat seperti yang disebutkan diatas. Oleh kerana itu, semua orang Islam bertarekat iaitu dengan tarekat yang umum. Mereka hanya dapat menghayati dua asas dari tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman sahaja. Mereka tidak dapat menghayati Ihsan melainkan mereka belajar dan beramal dengan tarekat tasawuf.

Sifat khusus tarekat dalam tasawuf dapat kita lihat lebih jelas dalam definisi yang diutarakan oleh Syeikh Mohammad Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya Al-Syari’ahWa Al-Tariqah. Katanya: “Tarekat ialah jalan (syariat agama Islam) yang membolehkan seseorang mukmin sampai ke darjat Ihsan. Tanpa tarekat yang khusus ini seorang mukmin biasanya tidak akan sampai ke darjat Ihsan, kecuali bila dapat Inayah Allah secara khusus”.

Kesimpulannya, tarekat tasawuf adalah satu kaedah atau satu aliran atau satu madrasah mujahadah golongan sufiyyah yang teratur, tersusun dan terpimpin yang membolehkan tercapainya darjat Ihsan. Ianya mempunyai berbagai prinsip. Antaranya, mesti ada syeikh mursyid, berbaiah dengan guru dan ditalkinkan oleh guru, adanya suhbah (hubungan yang erat dengan guru), ada zikir dan tafakkur, melakukan uzlah dan khalwat, ada himmah yang tinggi, bertaqwa, mencari ilmu, menjaga adab yang ditentukan dan sebagainya.

( TG Dr Hj Jahid Hj Sidek )

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUSSocialTwist Tell-a-Friend

Talqin

Talqin
Setiap murid yang telah ditalqin oleh syeikhnya, mempunyai hilqah (rantai) atau seolah-olah rantai yang bersambung dengan roh ahli silsilah yang lain. Apabila bergerak satu rantai, maka rantai yang lain juga akan bergerak dan roh-roh mereka akan saling jawab menjawab di antara satu sama lain hingga kepada Rasulullah
ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠّٰﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢ
TalqinSocialTwist Tell-a-Friend

TASAWWUF DAN TARIQAT

TASAWWUF DAN TARIQAT

Ilmu Tasawwuf dan ajaran Tariqat itu adalah merupakan ajaran Islam kerana ia bersumber daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam Hadis yang mahsyur di mana Nabi SAW telah ditanya oleh Jibril AS tentang Al-Ihsan, Nabi SAW menjawab bahawa Al-Ihsan itu ialah:

"Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, sekiranya engkau tidak melihatNya, maka (yakinlah) sesungguhnya bahawa Dia sentiasa melihat engkau."

Hadis ini menunjukkan Al-Ihsan adalah menyangkut  persoalan hati di mana peringkat pertama Al-Ihsan itu ialah seolah-olah melihat Tuhan iaitu melihat dengan mata hati yang disebut dalam ilmu Tasawwuf sebagai makam Musyahadah. Manakala peringkat kedua Al-Ihsan itu ialah meyakini dan merasai bahawa Allah sentiasa melihat kita yang disebut dalam ilmu Tasawwuf sebagai makam Muraqabah. Kedua-dua peringkat ini ada kaitan dengan hati.

TASAWWUF DAN TARIQAT SocialTwist Tell-a-Friend

Rasulullah SAW Pengasas Segala Tarekat

Rasulullah SAW Pengasas Segala Tarekat

Dakwaan segelintir yang menganggap tarekat tidak mempunyai asas hingga menolak semua ajaran Tarekat ini adalah tidak benar dan perlu diperbetulkan.

Rasulullah SAW sendiri merupakan pengasas kepada segala tarekat muktabar yang diamalkan sehingga kini menerusi hubungan yang bersambung antara para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan golongan ulama sufi.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: "(Ulul-albab) adalah orang-orang yang sentiasa berzikrullah (dalam keadaan) berdiri, duduk dan berbaring, sambil tafakur terhadap (ayat-ayat Allah) dalam kejadian di langit dan di bumi. Mereka pun berkata; Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau tidak jadikan semua kejadian ini kosong belaka, tetapi penuh dengan rahsia dan hikmah-Mu ya Allah. Maha Suci Engkau ya Allah, peliharalah kami dari api neraka." (al-Imran : 191)

Oleh itu, golongan ulul-albab yang dinyatakan dalam ayat tersebut jelasnya adalah terdiri dalam kalangan golongan sahabat yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk berzikir yang juga dikenali sebagai ashabu-suffah.

"Saidina Ali pernah menyebutkan keadaan sahabat yang beruzlah dan beriktikaf di serambi Masjid Nabi di Madinah dengan apa yang mereka sentiasa amalkan ketika berada di dalam masjid itu dengan mengatakan; "Demi Allah sesungguhnya aku dapat menyaksikan (benar-benar) para sahabat Muhammad SAW. Aku tidak nampak sesuatu (sifat manusia lain) yang serupa mereka. Sesungguhnya di pagi-pagi hari muka mereka pucat, rambut mereka kusut masai dan berdebu. Mereka kelihatan (penat) seperti (orang musafir) yang menunggu unta. Mereka berjaga malam dengan sujud dan berdiri (sentiasa bersembahyang), membaca al-Qur'an. Bila waktu Subuh mereka berzikrullah menggerakkan badan (ke kiri dan ke kanan) seperti pokok ketika di musim angin kuat. Bergenang mata mereka dengan air mata, demi Allah sampai basah pakaian mereka."

Namun, peredaran zaman semakin berkembang manakala pelbagai masalah umat Islam juga kian timbul yang menjadi faktor mendorong pintu ijtihad dibuka selepas wafatnya Rasulullah SAW sebagai rujukan utama.

Pengkhususan ilmu dan amalan Islam terpaksa dilakukan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang semakin lemah daya ingatan dan kefahaman mereka. Impaknya, Islam yang asalnya satu, utuh, lengkap menjadi berpecah, hingga mewujudkan pelbagai disiplin ilmu dan amalan yang khusus.

Akhirnya lahirlah golongan fuqaha' yang mengkhususkan ijtihad dalam bidang fikah, mutakallimin dalam bidang tauhid, mufassirin dalam bidang tafsir Quran, muhaddithin dalam bidang hadis, sufiyyah di bidang tasawuf dan sebagainya lagi.

Rasulullah SAW Pengasas Segala Tarekat SocialTwist Tell-a-Friend

Tentera Akhir Zaman

Tentera Akhir Zaman

Kalau nak masuk jadi Askar Melayu syaratnya ialah:
Tinggi 5" 2"
Sihat tubuh badan
Lulus Bahasa Melayu

"Di akhir zaman kelak tentera Islam akan kejar yahudi selagi ada, kalau yahudi itu bersembunyi disebalik batu, batu itu akan khabarkan dibelakangnya ada yahudi.
kalau yahudi itu bersembunyi disebalik pokok, pokok itu akan khabarkan dibelakangnya ada yahudi."

Maka,
kalau nak jadi tentera akhir zaman, cer ambik batu sebijik dan letak kat telinga. Cecite apa batu tu khabar dan berzakir.

Maka, kalau nak jadi tentera akhir zaman, cer ambik daun sehelai dan letak kat telinga. Cecite apa daun tu khabar dan berzakir.

Kalau layak, sendiri tahu layak ke idak. Diam dan tunggu masanya.
Kalau tak layak, sendiri tahu diri layak ke idak. Maka anda ada tiga pilihan:
1. Usaha sampai layak.
2. Bertobat banyak2, kerana ramai akan kecundang.
3. Diam leer, usah bising banyak2.

Kalau semua orang boleh dengor, yahudi itulah orang yang dengor dulu, dia dah belah jauh dah ......

Banyak orang bila cerita akhir zaman jee, mereka gelut nak berperang. Mula cari senjata, simpan senjata dan sepertinya.

Sebaliknya fundamental peperangan pun tak ada pengetahuan, jauh sekali persediaan.

Contoh:
Tahukah anda bahawa bekalan makanan negara ini adalah 89% sustainance? Dari sudut bekalan beras, bekalan beras negara akan habis sebelum penanaman seterusnya sempat dituai. Sebab itu kita import.

Jadi kalau negara ini nak berperang atau diserang, kalau tak boleh menang sebelum musim menuai hadapan, negara ini akan kebulor.

Fakta sejarah:
1. Napoleon dengan teknologi perang tercanggih zaman beliau, kalah dengan Rusia kerana Rusia membakar segala bekalan makanan dari arah manapun napoleon tuju ke negara mereka.
2. Kominis mula kalah di Malaya, apabila British mula sekat, kawal dan catu segala bekalan makanan seluruh negara.
3. Hitler dengan teknologi kereta kebal pantzer mula kalah apabila amerika memula membakar semua bekalan minyak dari bertembung secara berhadapan di Tobruk, Turket dan Bulge, Rusia.

Isu:
Ahadith menunjukkan Imam akhir zaman dengan para al-Mahdinya akan berperang selama 7 tahun.
1. Apa nak makan?
2. Macammana nak tentukan makanan berkekalan?
3. Komer nak gi perang tak yah makan ke?
4. Anak bini tinggal kat rumah takyah makan ke?

Sesungguhnya sabar itu adalah perjuangan ..... dan peperangan.

Ada orang sabar dan dia berdiam diri.
Ada orang sabar tetapi dia tidak duduk diam, cuma dia tak bising jee.
Ada orang sabar dan dia tidak duduk diam, dia cuma bising jeee.
Ada orang tak sabar dan dia buat bising.

Bila kita anjurkan berzikir sampai setiap zarah pada diri berzikir, hingga sejadah turut berzikir, tasbih turut berzikir, lantai dan dinding turut berzikir............ ramai tak percaya. Tak sabor....

Tapi orang yang sabor tahu, faham dan mengerti.

Pada kitab2 lama, kita pernah melihat ungkapan dibawah:
Adapun yang mustahil pada adat itu jika berlaku,
Pada para Rasul, ia DIKENALI SEBAGAI mukjizat.
Pada para Nabi, ia DIKENALI SEBAGAI irhas.
Pada para aulia', ia DIKENALI SEBAGAI karamah.
Pada para orang biasa, ia DIKENALI SEBAGAI ma'unah.

Persoalan:
1. Istilahnya mungkin berbeza, persoalannya ialah adakah teknologinya berbeza?
2. Jika berbeza kenapa mereka yang kemudian itu dikenali sebagai 'warisatul ambia'? Apa yang mereka warisi yang orang lain tidak warisi?
3. Jika teknologinya berbeza, maka ayatnya di atas sepatutnya seperti berikut

Pada para Rasul, ia ADALAH mukjizat.
Pada para Nabi, ia ADALAH irhas.
Pada para aulia', ia ADALAH karamah.
Pada para orang biasa, ia ADALAH ma'unah.
Jelas berbeza.

Jika kita tak sabar, kita tak akan tahu dimana "passing mark"nya untuk layak sebagai al-mustaffa, atau al-mahdi itu pada tahap mana. The standard is very high.

(Sheikh Mohd Nasir Bin Ismail)

Tentera Akhir ZamanSocialTwist Tell-a-Friend

Kata-kata Hikmah Sayyid Ahmad Ibn Idris ra

Kata-kata Hikmah Sayyid Ahmad Ibn Idris ra.

Di antara kata-kata hikmah Sayyid Ahmad ibn Idris ra. yang begitu memberi kesan dalam menyampaikan cahaya manhajnya di dalam ilmu Tasawwuf dan berdakwah kepada Allah ialah:

"Tasawwuf ialah mengosongkan hati hanya untuk Allah swt dan memandang kecil selainNya."

"Makanan terpenting bagi diri ialah zikrullah."

"Benar merupakan keimanan, kerana sesiapa yang benar pada perkataannya, maka kata-katanya tidak akan ditolak. Dan tidak disifatkan al Quran sebagai mukjizat melainkan kerana kebenarannya, tidak akan didatangi sesuatu kebatilan sama ada di hadapan atau belakangnya."

"Sabar ialah sifat yang membezakan di antara hati orang yang beriman dengan yang lainnya."

"Khalwat itu jika tidak terhasil di dalamnya futuh (dibukakan oleh Allah), akan terhasil di dalamnya cahaya pada masa yang akan datang."

"Setiap perkara yang menyibukkan kamu daripada Allah, maka ia adalah celaka."

"Sesungguhnya setiap fitnah yang berlaku di dalam alam ini, sebabnya ialah kerana membelakangi perintah Allah."

"Orang yang hidup, akan terasa apabila dicucuk dengan jarum tetapi orang yang mati tidak terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. (Begitu jugalah dengan hati yang mati, tidak akan terkesan dengan sebarang peringatan walau pun banyak. Tetapi hati yang hidup akan terkesan apabila diberikan peringatan walaupun sedikit)."

"Sifat ta'sub (ekstrim); membentuk puak masing-masing dan kemudiannya menuduh sesat di antara satu sama lain sehingga seolah-olah wujud pelbagai agama yang berbeza. Perkara inilah yang tidak kami redhai dan kami tegah ke atas setiap Muslim kerana mereka adalah daripada umat yang satu yang menjadi sebaik-baik umat, mempunyai Nabi yang satu, Kitab yang satu dan Kiblat yang satu. Maka bagaimana boleh terjadi perpecahan dan ta'sub? Kami sentiasa menegah manusia daripadanya."

Beliau sering mengungkapkan kata-kata hikmah:

"Sekiranya kamu suka kapada kaum (sufi), maka ikutilah jalan mereka; Mereka tidak sampai kepada Allah melainkan dengan memutuskan hubungan selain Allah."

"Beri'tiqad benarlah kamu, kamu akan mendapatkan keuntungan, dan masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (agama Islam), kamu akan memperolehi keselamatan."
Kata-kata Hikmah Sayyid Ahmad Ibn Idris raSocialTwist Tell-a-Friend

Kisah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dengan Syaitan

Kisah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dengan Syaitan

Syaikh 'Abdul Qadir Al-Jailani ra. berkata, Dalam salah satu pengembaraanku, aku pernah merasa kepanasan yang hebat sampai hampir mati kehausan. Tiba-tiba awam hitam melindungiku dan angin dingin berhembus ke arahku sampai-sampai nyaris mengalir air liurku. Selanjutnya aku mendengar suara memanggilku, "Hai 'Abdul Qadir, aku adalah tuhanmu." Aku bertanya kembali, "Adakah Engkau Allah, yang tidak ada tuhan selain diri-Mu?" Lalu terdengar panggilan buat kali keduanya, "Hai 'Abdul Qadir, aku adalah tuhanmu, dan telah kuhalalkan bagimu segala apa yang kuharamkan atas dirimu." Maka aku berkata, "Pendusta! Engkau tak lain hanyalah syaitan!" Tiba-tiba awam hitam itu hilang, sementara aku mendengar suara dari belakangku, "Hai 'Abdul Qadir, engkau selamat dariku kerna ilmu fiqh dalam agama yang kau miliki. Ketahuilah bahwa aku berhasil menipu tujuh puluh orang dengan cara ini."

Kemudian ditanyakan kepada Syeikh 'Abdul Qadir Al-Jailani, "Bagaimana engkau tahu bahawa dia adalah syaitan?" Dia menjawab, "Dari perkataannya, '...telah kuhalalkan bagimu segala apa yang kuharamkan atas dirimu,' sebab sepeninggalnya Rasulullah saw tidak ada lagi penghalalan atau pengharaman."

Di samping itu, Syeikh 'Abdul Qadir mengetahui bahwa dia adalah syaitan kerana ia berkata, "Aku adalah tuhanmu," dan bukan, "Aku adalah Allah." Kata 'Rabb' bermakna luas dan dapat dipakai dalam berbagai segi, misalnya, rabb ad daar, rabb al maal. Sedangkan lafazh Jalalah adalah khusus bagi Allah yang Maha Pencipta, sehingga iblis tidak dapat berkata-kata dengan lafazh Jalalah.

Berdasarkan ini, Ibnu Taimiyyah berkata, "Tidaklah agung Syeikh 'Abdul Qadir Al Jailani kecuali karena pandangannya tentang qadar dan kisahnya dengan setan."

Kata Ibnu Taimiyyah selanjutnya, "Syaikh 'Abdul Qadir dan tokoh-tokoh syeikh semacamnya pada zaman mereka memerintahkan berdasarkan syari'at tentang perintah dan larangan, mendahulukannya daripada perasaan dan kehendak peribadi, serta merupakan syeikh yang paling agung dalam memerintahkan untuk meninggalkan hawa nafsu dan kehendak jiwa."

Kisah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dengan SyaitanSocialTwist Tell-a-Friend

73 Golongan 1 Masuk Syurga

Terpecahnya 73 firqah dan hanya satu yang masuk syurga:

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, bersabda:

Artinya: "Bahwasanya Bani Israil telah berfirqah-firqah sebanyak 72 millah (firqah) dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya masuk neraka kecuali satu". Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya: "siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?" Nabi menjawab: "Yang satu itu ialah orang yang berpegang (beri'tiqad) sebagai peganganku (i'tiqadku) dan pegangan sahabat-sahabatku"
[Hadits Riwayat Imam Tirmidzi]

Diantara 73 golongan (firqah-firqah) itu ada satu yang benar, iaitu golongan kaum Ahlussunnah wal Jama'ah yang selalu berpegang kepada Sunnah Nabi dan Sunnah Khalifah Rasyidin.

72 firqah yang sesat itu adalah berdasarkan pada 7 firqah ini:

1. Kaum Syiah, kaum yang berlebih-lebihan memuja Saidina 'Ali Kw. Mereka tidak mengakui Khalifah-khalifah Abu Bakar, Umar dan Utsman, Radhiyallahu'anhum.
Kaum Syi'ah kemudian berpecah menjadi 22 aliran.

2. Kaum Khawarij, iaitu kaum yang berlebih-lebihan membenci Saidina 'Ali Kw. bahkan ada di antaranya yang mengkafirkan Saidina 'Ali. Firqah ini berfatwa bahwa orang-orang yang membuat dosa besar menjadi kafir.
Kaum Khawarij kemudian berpecah menjadi 20 aliran.

3. Kaum Mu'tazilah, iaitu kaum yang berfahaman bahwa Tuhan tidak mempunyai sifat, bahwa manusia membuat pekerjaannya sendiri, bahwa Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata dalam syurga, bahwa orang yang mengerjakan dosa besar diletakkan di antara dua tempat, dan mi'raj Nabi Muhammad hanya dengan ruh sahaja, dan lain-lain.
Kaum Mu'tazilah berpecah menjadi 20 aliran.

4. Kaum Murjiah, iaitu kaum yang memfatwakan bahwa membuat maksiat tidak memberi mudarat kalau sudah beriman, sebagai keadaannya membuat kebajikan tidak memberi manfaat kalau kafir.

5. Kaum Najariyah, iaitu kaum yang memfatwakan bahwa perbuatan manusia adalah makhluk, iaitu dijadikan Tuhan tetapi mereka berpendapat bahwa sifat Tuhan tidak ada. Kaum Najariyah pecah menjadi 3 aliran.

6. Kaum Jabariyah, iaitu kaum yang memfatwakan bahwa manusia "majbur", artinya tidak berdaya apa-apa. Tidak ada usaha sama sekali, Kaum ini hanya 1 aliran.

7. Kaum Musyabbihah. iaitu kaum yang memfatwakan bahwa ada keserupaan Tuhan dengan manusia, umpamanya bertangan, berkaki, duduk di kerusi, naik tangga, turun tangga dan lain-lainnya.
Kaum ini hanya 1 aliran saja.

Jadi jumlahnya adalah 72 aliran;
Kaum syiah 22 aliran
Kaum Khawarij 20 aliran
Kaum Mu'tazilah 20 aliran
Kaum Murjiah 5 aliran
Kaum Najariah 3 aliran
Kaum Jabariah 1 aliran
Kaum Musyabihah 1 aliran

Ditambah dengan 1 aliran lagi dengan faham kaum Ahlussunnah wal Jama'ah, maka cukuplah menjadi 73 firqah, sebagai yang diterangkan oleh Nabi Muhammad Saw. dalam hadits yang diriwayatkan Imam Tirmidzi.

Adapun Kaum Qadariyah termasuk golongan kaum Mu'tazilah, kaum Bahaiyah dan Ahmadiyah Qad-yan masuk golongan kaum Syi'ah, kaum Ibnu Taimiyah masuk dalam golongan kaum Musyabbihah dan kaum Wahabi termasuk kaum pelaksana dari faham Ibnu Taimiyah.

73 Golongan 1 Masuk SyurgaSocialTwist Tell-a-Friend

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin Idris

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin Idris – (1757-1835) radhiAllahu 'anhu

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dilahirkan di Maisur iaitu sebuah perkampungan di dalam daerah ‘Arayish, yang terletak di kota Fez (Morocco) pada bulan Rejab tahun 1163 H (1749-50 Masihi). Namun ada riwayat pula yang menyebut bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1172H (1757-58 Masihi).[1]

Nama penuh beliau adalah Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn ‘Ali [2] ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn ‘Abdul Jabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn ‘Ali ibn Hurmah ibn ‘Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris al-Asghar ibn Idris [3] al-Akbar  ibn ‘Abdullah al-Kamil ibn al-Hassan al-Muthanna ibn Saiyyidina Hassan al-Sibt ibn Saiyyidina ‘Ali dan Saiyyidatina Fatimah al-Zahra’ binti Habibuna Saiyyidina Muhammad Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam . Beliau merupakan ahli keluarga Syarif Hasani Idrisi [4] yang masyhur di Morocco kerana keturunan Imam Idris ibn ‘Abdullah al-Mahd [5] pernah mempunyai kerajaan dinasti di Fez (788-974).

Pada pandangan ahli sufi, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dianggap sebagai seorang wali yang telah mencapai maqam Qutub iaitu martabat yang tertinggi dalam pimpinan kaum sufi dan juga dikatakan meraih maqam Sultan Salatin al-Awliya [6]. Selain daripada itu, beliau juga terkenal sebagai seorang ulama pembaharu (mujadid). Beliau telah banyak menggembara dan berdakwah di jalan Allah serta menyebarkan ajaran Tariqahnya ke merata tempat hingga ke Makkah, Madinah, Mesir, Sudan, Yaman, etc.

Beliau telah wafat pada malam Sabtu di antara waktu Maghrib dan Isya’ pada tanggal 21 Rejab. Anak muridnya Saiyyid al-Soleh Ahmad Uthman al-‘Uqaili [7] dilantik untuk memandikannya dan jenazah beliau telah disembahyangkan oleh al-‘Allamah al-Wali Saiyyid Yahya ibn Muhsin al-Ni’ami al-Hasani radhiAllahu 'anhu [8] . Beliau dikebumikan pada pagi itu, 21 Rejab 1837 Masihi (1253 H)[9] di Sabya. Kota Sabya yang pada masa itu berada di Tanah Yaman, namun sekarang adalah di bawah kuasa Kerajaan Saudi.

*************************************

[1] Kedua-dua tarikh telah disebut oleh Tuan Shaykh Salih al-Ja’afari radhiAllahu 'anhu. A’tar azhar aghsan hazirat al-taqdis fi karamat al-alim … al-sayyid Ahmad b Idris radhiAllahu 'anhu (Cairo, 1394/1974), ms 55 dan 34. Namun, tarikh 1163H dimenangkan oleh keturunan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu di Omdurman (Sudan); interview, Shaykh Idris b Muhammad b ‘Abd al-‘Aal / oleh Ali Salih Karrar, May 1977.

[2] Nasab hingga ke ‘Ali ibn Ahmad termaktub oleh Hamdan Hassan, Tarekat Ahmadiyah Di Malaysia Suatu Analisis Secara Ilmiah, (1990) cetakan Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka, ms 24

[3] Nasab yang berkait dari ‘Ali ibn Ahmad ke Idris al-Akbar, sila rujuk Tuan Shaykh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Sayyid Ahmad ibn Idris al-Hasani, (2007) radhiAllahu 'anhu terbitan SOFA Production, ms 2. Selanjutnya nasab daripada Imam Idris ke Hasan al-Sibt termaktub oleh Tuan Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, 1354H/1935M. Majmuk, al-Ahmadiyah Press, Singapura, (Jawi), ms 16. Juga lihat Pauzi Haji Awang, Tariqah Ahmadiyyah History and Development, 2001, cetakan Persatuan Ulama Malaysia, dalam bahasa Inggeris ms 39.

[4] J.S. Trimingham, The Sufi Orders in Islam, (Oxford At The Clarendon Press, 1971), dalam bahasa Inggeris ms 114

[5] Khairudin al-Zurkaly, (Beirut :1969) al-‘Alam, Jilid 1, Cetakan ke-III, hlm 90

[6] Ahmad bin Idris, (tanpa tarikh), al-Ahzab al-Irfaniyah al-Awrad. ms 1

[7] Muhammad al Yamani, Risalah al Aurad al Idrisiyyah, ms 78-79

[8] Ibid

[9] The Encyclopedia of Islam, vol I, (1960) ms 177

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin IdrisSocialTwist Tell-a-Friend

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAH

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAH

Al-Tariqah al-Idrisiah adalah sebuah Tariqah yang muncul dan berpusat di Asir,(Arab Saudi) pada abad ke-19 M. Ia didirikan oleh Syarif Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris 'Ali al-Mashishi al-Yamlakhi al-Hasmi radhiAllahu 'anhu.

Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf. Sekiranya kita meneliti rantaian sanad yang diperolehi oleh ulama’ dunia seperti al-Muhaddith Tuan Shaykh Yasin al-Fadani radhiAllahu 'anhu, Tuan Shaykh Sayyid Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki radhiAllahu 'anhu, al-Muhaddith Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ibn ‘Alwi al-Maliki radhiAllahu 'anhu dan ulama-ulama lain, kita akan mendapati nama Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu tertera di dalam rijal sanad mereka. Juga, beliau masyhur meriwayatkan hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali [1] misalnya sanad periwayatan di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dan Imam al Bukhari radhiAllahu 'anhu hanya mempunyai 9 perantaraan.

Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi radhiAllahu 'anhu. Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir radhiAllahu 'anhu(Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah) radhiAllahu 'anhu.[2]

Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.[3]

Juga, diriwayatkan oleh Tuan Shaykh Muhammad bin Ali as-Sanusi radhiAllahu 'anhu bahawa sewaktu dia belajar daripada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, beliau telah mengajarinya selain Tariqah Khidiriah juga Tariqah lain seperti Nasiriah, Naqsyabandiah, Uwaysiah, Suhrawardiah, Shadziliah, Hatimiyazamqiah dan Qadariah, sehingga Tuan Shaykh Muhammad As-SanusiradhiAllahu 'anhu menganggapnya "Qutb". [4]

Yusuf bin Ismail al-Nabhani pengarang kitab Jami' Karamat al-Auliya, menggambarkan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu sebagai orang yang berhasil menghimpun dan menguasai ilmu zahir (syari'ah) dan ilmu batin (tasawuf); memiliki kemasyhuran dalam ilmu al-Quran dan Hadiths, suatu ilmu yang diperoleh melalui Kasyf.

Al-‘Arif billah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad al-Sanusi radhiAllahu 'anhu menamakan tariqah ini dengan al-Tariqah al-Muhammadiah. Beliau berkata, “Aku meriwayatkan al-Tariqah al-Muhammadiah ini dari pelbagai sanad. Sanad tertinggi yang kami ambil ialah daripada syeikh kami Qutb al-‘Arifin Imam al-Muhaqqiqin Maulana Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu…”[5]

Dari sudut keistimewaannya, ia merupakan tariqah yang dinisbahkan kepada Nabi shallAllahu 'alaihi wasallam Semua perkara yang terkandung di dalam tariqah ini, merupakan ambilan dan cedokan daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam dan Sunnahnya.

Sementara Shaykh kami, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu pula menamakan tariqah ini dengan Ahmadiah, sempena dirinya sendiri – semoga Allah menyucikan rohaninya – kerana Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam mengkhususkan tariqah tersebut kepada beliau dengan zikir yang lengkap, doa yang penuh rintihan dan sumber yang banyak.[6]

Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam [7]. Dalam pertemuan suri  di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dengan Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam itu, Nabi Allah Khidr 'alaihis salam hadir sama. Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam telah mengarahkan Saiyidina Khidr 'alaihis salam supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam menyuruh Nabi Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. [8] Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu tanpa perantaraan. [9]

Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu ini.

****************************************

[1] Ulama berbangga apabila mendapat sanad daripadanya misal Sayyid Muhammad Ali as Sanusi, Mufti Zabid Yaman Shaykh Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali, Qadhi Hassan ‘Akish. Imam Muhammad bin Ali Syaukani memberi pengiktirafan sedemikian sebagaimana termaktub oleh Shaykh Soleh Al Ja’afari, al-Muntaqa al-Nafis fiManaqib Qutb Dairah al-Taqdis Sayyidi Ahmad ibn Idris, ms 27

[2] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, 1354H/1935M. Majmuk, al-Ahmadiyah Press, Singapura, (Jawi), ms 13

[3] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, (tanpa tarikh). Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rashidiyah al-Dandarawiyah, dicetak oleh Sungai Ujung Press dalam tulisan Jawi, pada Fasal Keempat ms 34

[4] Knut S. Vikor, Sufi and Scholar, hal. 120.

[5] Al-Sayyid Muhammad ibn Ali al-Sanusi al-Khattabi al-Hasani. Kitab Al-Manhal al-Rawiy al-Ra’iq fi Asanid al-‘Ulum wa Usul al-Tara’iq

[6] Al-Shaykh Al-Sayyid Ibnu Idris. Kitab Al-Raksu wal Ghanaa’ was Sima’ ‘indal Thoriqatul Shufiyyah (Tarian, Nyanyian & al-Sima’ dalam Tariqah Tasawwuf, cetakan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, ms 5

[7] Hadhihi Turjumah Sidi Ahmad, (Egypt : Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah, tanpa tarikh) ms 2-4

[8] Ibid.

[9] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu. Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rasyidiyah al-Dandarawiyah, dalam tulisan Jawi, ms 37

SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAHSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.