Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: October 2010


Search This Blog

Mengenali Tasawuf


Oleh: USTAZ HJ ALI HJ MOHAMAD

Maksud Tasawuf

Abu Muhammad al-Jurairi: "Tasawuf itu adalah memasuki diri ke dalam kebaikan dan mengeluarkan diri daripada akhlak buruk."

Abul Hasan al-Nuri: "Tasawuf ialah meninggalkan semua bahagian badan yang diperuntukkan kepada hawa nafsu cela/jahat dan melayani saja sifat terpuji (mahmudah)."

As-Syadzili: "Tasawuf itu melatih diri dalam ubudiyah (sifat kehambaan) dan mengembalikan hukum-hukum rubbubiyah (sifat ketuhanan)."

At-Tusturi: "Seorang pengamal tasauf atau sufi adalah orang yang selalu membersihkan diri daripada noda zahir dan batin, selalu bertafakur, sentiasa menghubungkan diri dengan Allah SWT dan memutuskan hubungan tidak bermanfaat dengan manusia."

Daripada 4 definisi tadi, jelaslah tasauf berkisar kepada 3 peringkat atau marhalah:
1.Bidayah
2.Mujahadah
3.Mazaqat



1.Bidayah

Bidayah bermaksud permulaan petunjuk ke jalan Allah SWT. Iaitu jalan dalam bentuk rasa pada jiwa yang merasa rindu kepada Allah SWT. Kerinduan atau cinta tadi menimbulkan makrifat atau berkenalan dengan Allah SWT. Contoh: Pertalian amal/perbuatan pada zahir dan jiwa dalam bidayah.


Perbuatan:Makan
Zahir:Sedap
Batin/Jiwa:Mensyukuri nikmat pemberian-Nya sehingga kita membaca doa "Allahuma bariklana fima rozaqtana wa kina 'adzaban nar."

Perbuatan:Melihat alam
Zahir:Indah
Batin/Jiwa:Kagum akan kuasa-Nya dan menyebut "subhanallah"

Perbuatan:Menerima rezeki
Zahir:Gembira
Batin/Jiwa:Terharu oleh pemberian-Nya sehingga menyebut "Alhamdulillah was Syukru lillah."

Perbuatan:Kuat bekerja
Zahir:Sihat
Batin/Jiwa:Bersyukur dan menunjukkan perbuatan untuk mencapai keredhaan-Nya "Radhitu billahi ra'abaa."

Bidayah
Matlamat bidayah ialah menyempurnakan jiwa sehingga terserlah kepuasan rohani dalam hubungan kepada Allah SWT (HabluminAllah) dan hubungan dengan manusia (Hablum minanNas). Caranya ialah dengan senantiasa beribadah zahir yang dihubungkan secara ikhlas demi Allah SWT semata-mata. Kepuasan rohani akan terbina secara beransur-ansur selagi ia dilakukan dengan tetap (istiqamah)


2.Mujahadah

Setiap manusia diamanahkan oleh Allah swt untuk berjuang di jalan-Nya. Inilah maksud jihad dan proses berjuang tadi dipanggil 'mujahadah'.

Sebenarnya berjuang bukan bererti berperang saja. Melaksanakan amar ma'aruf nahi munkar sudah merupakan perjuangan. Mengekang hawa nafsu terutama dalam bulan Ramadhan merupakan perjuangan.

Tetapi apa jua amalan membersihkan rohani hendaklah berteraskan syariat; tiada pengecualian dalam hal ini. Tanpa syariat, tasawuf tidak bermakna

Sekadar contoh, orang yang baik perilaku atau jiwanya yang suka menderma dan sebagainya tetapi enggan solat, zakat, berpuasa dan menunaikan haji, maka ia bukanlah lengkap sebagai seorang Muslim dalm erti kata sebenar.

Ada juga orang yang mengaku pengamal tasawuf atau sufi tetapi menyatakan tidak perlu solat, zakat, puasa dan sebagainya yang ditetapkan oleh syariat. Orang begini membahayakan kerana ia sudah sesat dan boleh menyesatkan orang lain.


3.Mazaqat

Al-Mazaqat atau hasil yang diharapkan daripada mengamalkan tasawuf. Antara matlamat utama tasawuf dalam rangka ini ialah:

1. Mencapai ma'rifatun nafs iaitu kenal diri atau jiwa. Aspek ini perlu dilalui sebelum seseorang itu mengenal Allah swt. Kita harus kenal kekurangan dan kelebihan diri kita, tahu batas susila diri sendiri. Sesungguhnya ramai orang yang kenal akan orang lain kerana sikap ilmu dan ramah mesra, tetapi tidak tahu dirinya.

2. Tasfiah/tazkiah ialah aspek pensucian hati daripada sifat-sifat cela atau mazmudah. Sifat takbur, marah, hasad dan zalim dibersihkan.

3. Tahalli iaitu mengalung atau menyerikan diri dengan sifat mulia atau mahmumah seperti amanah, ikhlas, jujur, berilmu dalam diri.

4. Tarraqi bermakna naik kedudukan atau maqam sehingga hati sufi tadi sibuk dengan keperluan terhadap Allah swt walaupun hidup seperti manusia biasa. Ia redha/pasrah akan taqdir Allah selepas puas berikhtiar.

Jelas matlamat tasawuf, menurut ulama sufi yang muktabar, adalah mendapat keredhaan-Nya dengan membina adab dalam jiwa dan zahir.


Ujian Kebendaan

Hari ini kita hidup dikelilingi oleh semangat kebendaan. Malah yang lebih menyedihkan, ramai juga mereka yang mengutamakan kebendaan sedangkan mereka dalam keadaan lemah atau tanpa kemampuan. Sifat cinta kepada kebendaan ini memang telah di...hiaskan dalam diri setiap anak Adam sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Ali 'Imran ayat 14,"Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan pada apa-apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang".

Hidup berhutang demi mengecap kemewahan kononnya telah menarik mereka ke jurang kemiskinan. Ilmu akhlak atau Tasawuf tidak diperbesarkan berbanding dengan ilmu Tauhid dan Fikh. Pada hal, Rasulullah saw telah mengajarkan ilmu akhlak ini terlebih dahulu iaitu 11 tahun, sebelum para sahabat mempelajari perihal solat (selepas peristiwa Isra' Mi'raj), puasa dan sebagainya.

Akibatnya banyak sifat cela yang ditimbulkan dan diperbesar seolah-olah inilah yang menjadi ukuran manusia yang berjaya.

Jadi bagaimanakah ilmu akhlak dapat menyelamatkan orang yang berkuasa?

Orang yang berkuasa dapat diselamatkan oleh ilmu Tasawuf apabila ia merasa ada pertimbangan wajar yang perlu dilaksanakan terhadap golongan-golongan yang dikuasai. Hal ini senantiasa diperingatkan oleh Allah swt sebagaimana dalam Surah Ad-Dhuha ayat 11, "Apabila diberi nikmat Allah, maka hendaklah kau bersyukur".

Riya' dan takkabur telah menjatuhkan Iblis ke lembah yang terhina (ia adalah jin yang telah mendapat nikmat dalam bentuk penghormatan Allah swt sehingga dapat bersama para malaikat. Nama Iblis ketika itu ialah Azazil). Allah swt hendak menguji setiap hambanya, iaitu mereka harus buktikan ketaatan melalui perlakuan bukan sekadar ungkapan manis dari hati yang berbolak balik. Jadi, ketika Allah swt menyuruh para malaikat dan Iblis agar menyembah (memberi penghormatan) kepada Adam as, hanya Iblis saja yang enggan. Peristiwa ini dapat disingkap kembali pada firman Allah swt di Surah Al-Baqarah ayat 34, "Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat : Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis, Ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir"

Allah swt mengetahui isi hati hambanya. Namun, dalam peristiwa Iblis tadi yang ingkar tadi, Allah swt bertanya mengapa Iblis tidak menyembah Adam. Hal ini demi disaksikan oleh para malaikat dan Nabi Adam. Jawab Iblis ialah dia lagi mulia kerana dijadikan daripada api sedang Adam hanya berasal daripada tanah. Jawapan Iblis yang bongkak ini telah dirakamkan dalam Surah Al-'Araf ayat 12 ketika Allah swt bertanyakan kepada Iblis, Apakah yang menghalangimu untuk bersujud kepada Adam di waktu Aku menyuruhmu? Iblis menjawab : Saya lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan saya dari api sedangkan dia engkau ciptakan dari tanah."

Jawapan Iblis itu menunjukkan dia takkabur iaitu berbangga pada dirinya sendiri, dan bersifat riya' iaitu inginkan orang lain (Adam) menyanjungnya dan bukan sebaliknya. Lantaran itu, Allah swt telah mengeyahkan Iblis dari syurga. Jelaslah di sini Iblis merupakan makhluk yang tidak sedar diri iaitu tidak mensyukuri pemberian dan ciptaan Alllah swt.

Allah swt telah menjadikan Nabi Sulaiman as sebagai manusia paling perkasa kerana dapat menguasai angin, jin, mengetahui bahasa binatang (termasuk serangga) dan memiliki kekayaan yang tiada terkira. Tetapi bagaimanakah Sulaiman as menanggapi segala keistimewaan itu? Beliau menyatakan bahawa "Ini adalah kurnia daripada Tuhanku sebagai dugaan sama ada aku bersyukur atau kufur"

Maksud kufur dalam konteks ini bukanlah menafikan Allah swt, tetapi menidakkan nikmat atau anugerah Ilahi.


Ilmu Batin

Dua lagi sifat Iblis ialah hasad (menaruh perasaan iri dan benci) dan dengki (tergamak mengenakan). Jadi dapatkah sifat-sifat syaitaniah ini dibasmi? Jawapannya ialah tentu saja boleh. Ia boleh dilakukan dengan menguasai ilmu Tasawuf atau ilmu batin yang bertujuan membersihkan jiwa (nafi'a)

Sering kita tidak menyedari bahawa perlakuan kita adakalanya menyerupai syaitan. Contohnya, ketika bercermin, kita merasa diri kita kacak dan wajar orang lain juga merasa demikian. Merasa kacak dan berbangga itu dipanggil takkabur. Manakala mengharapkan orang lain mengiktiraf kehebatan itu pula dipanggil riya'.

Satu lagi contoh ialah, ketika bersolat sendirian, sering kita lalai dari segi ketertiban. Tetapi apabila kita bersolat di masjid atau di khalayak ramai, kita bersungguh-sungguh melakukannya kerana merasa banyak mata melihat kita - iaitu sifat riya'.

Mengapakah ini terjadi?

Perlu diingatkan bahawa sebelum dinyahkan dari syurga, Iblis mendapat izin Allah swt bagi dua perkara:

Pertama, untuk terus menduga Adam as dan keturunannya (manusia) dari semua sudut;

Kedua, diizinkan hidup sampai akhir zaman (akhirat). Tujuannya semata-mata untuk menghalangi manusia dari mengikuti jalan yang lurus. Iblis terus berkata sebagaimana tercatit pada ayat 17 Surah Al-'Araf, "Kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur"

Bagi perkara pertama, Allah swt berkata Iblis dan pasukannya tidak akan dapat mempengaruhi hambanya yang ikhlas beriman. Ini jelas dinyatakan oleh Allah swt dalam Surah Saad ayat 82 ketika Iblis menjawab, "Demi kekuasaanMu aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka."

Oleh itu, jika kita melakukan sesuatu demi orang lain dan bukan kerana Allah, maka kita dikatakan tidak Ikhlas.

Tasawuf ialah mengenai keikhlasan atau melakukan sesuatu kerana hendak mendapat keridhaan Allah swt.

tasawuf = pembersihan sifat cela, ikhlas

Berbalik kepada soal solat dan riya' tadi, hal ini ada dijelaskan dalam peringatan Allah swt pada keseluruhan surah Al-Ma'un yang bermaksud, "Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, Dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka celakalah bagi orang-orang yang salat, iaitu orang-orang yang lalai dari salatnya, orang-orang yang riya dan enggan mengeluarkan zakat."


Maksud Ihsan

Ikhlas juga dimaksudkan sebagai ihsan. Makna 'ihsan' terpapar dalam sebuah hadis yang amat terkenal, iaitu ketika Jibril as yang menyamar sebagai seorang lelaki datang dan duduk bertemu lutut di depan Nabi saw dalam suatu majlis yang disaksikan para sahabat. Jibril as bertanyakan apakah makna Islam, Iman dan Ihsan.

Mengenai 'ihsan', Nabi saw menyatakan ialah "apabila seorang Muslim beribadat ia seolah-olah melihat Allah swt dan jika ia tidak dapat melihatnya, ia mengetahui bahawa Allah swt melihatnya."

Maksud 'melihat' ialah satu persaksian iaitu apa jua urusan kita hendaklah ditujukan kepada Allah swt. Demi mendapatkan keridhaan atau disukai Allah swt, maka segala kerja yang kita buat hendaklah memenuhi suruhan-Nya dan mematuhi larangan-Nya. Amalan inilah yang menjadikan kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh hingga ia mencapai taraf sempurna (bahasa Arabnya, kamil).

Bagaimana kita melihat sesuatu itu 'kamil'?

satu-satunya makhluk yang telah mencapai darjat atau maqam kamil adalah Rasulullah saw, Segala ilmu dan peristiwa di dunia dan keseluruhan alam telah dilihatkan (dipersaksi) Allah swt kepada Baginda. Misalnya, Nabi saw merupakan manusia pertama yang dibedah secara cahaya, diangkat ke langit, dilihatkan peristiwa terdahulu dan pada hari kemudian.

Jelaslah apabila hati kita ikhlas / ihsan, maka kita tidak mudah digoda oleh pesona zahir seperti harta atau kekayaan, seks atau wanita dan pangkat atau takhta. Hal ini menjelaskan betapa relevannya Tasawuf dalam melengkapkan seseorang - dari seorang pekerja biasa sehingga pemimpin agung - dalam menghadapi dugaan dunia yang dicetuskan oleh Iblis dan pasukannya. Apabila hati telah disucikan dengan ikhlas dan ihsan, segala tindak-tanduk kita akan membawa kebaikan di dunia dan mendapat balasan baik di akhirat.

Sering kita tidak menyedari DIRI KITA sendiri sedang melakukan syirik atau menyekutukan Tuhan walaupun kita bersolat dan menjalankan pelbagai ibadah. Ini berlaku dengan pelbagai keadaan, misalnya seseorang itu senantiasa mengharapkan kerja atau usahanya dengan ganjaran dalam bentuk harta dan pangkat dan bukan keridhaan Allah swt. Syirik sedemikian disebut syirik khafi (syirik yang tidak disedari/tidak ketara). Tetapi syirik yang lebih besar atau syirik jali/kabir ialah bertindak menyekutukan Allah swt secara terang-terangan seperti mengamalkan fahaman komunis, menyembah berhala, menyatakan Tuhan ada ibu bapa dan anak.


Akal dan Taqwa

Antara peringatan Allah swt kepada kita ialah semua manusia adalah sama tetapi yang membezakan darjat / kedudukan atau maqamnya di sisi-Nya ialah aspek taqwa. Firman Allah swt dalam Surah Al-Hujuraat ayat 13, "Sesungguhnya orang yang palingmulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di sisi kamu".

Erti taqwa ialah mengikuti suruhan Allah swt dan takut melanggar perintah-Nya. Sering taqwa dianggap sebagai 'takut'. Misalnya, kita berhentikan kereta ketika lampu trafik merah kerana takut disaman, Tetapi 'takut' kita kepada Allah swt tentulah jauh lebih hebat lagi - takut kerana tidak mendapat keberkahan-Nya di dunia, atau takut kerana mendapat seksa neraka. Jadi apa jua perbuatan kita hendaklah kerana-Nya atau lillahi ta'ala

Apa itu akal?

Otak yang ada di kepala itu bukanlah akal. Tetapi otak adalah organ untuk memperoses data wadah daya peringatan.

Tanpa akal, tidak sah ibadah seorang Muslim. Salah satu syarat pokok ibadat ialah berakal. Jika orang itu gila, maka ibadah tidak sah. Bahkan jika dia membunuh kerana tidak berakal, perbuatannya boleh dikira tidak berjenayah.

Yang membezakan manusia dengan haiwan yang lain ialah kerana manusia berakal. Haiwan pula bernaluri seperti makan, minum, kahwin dan sebagainya. Sekiranya manusia tidak mampu memanfaatkan akalnya, maka ia diibaratkan Allah swt sebagai haiwan, bahkan lebih buruk lagi darinya.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-'Araf ayat 179, "Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakannya untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Taqwa tidak akan teguh jika akal tidak disucikan atau tasfiah daripada sifat-sifat cela yang terdapat pada syaitan dan juga binatang (buas dan tidak mengenal hubungan kelamin).

Contohnya: Seorang hartawan dikatakan bijak kerana berjaya mengumpul harta walaupun dalam keadaan kemelesetan. Dari segi Tasawuf, kebijaksanaan orang ini hanya bersifat zahir. Ia tidak melambangkan taqwa.

Untuk meraih taqwa, hartawan itu hendaklah menyalurkan hartanya sebagai sedekah zakat. Terlebih dulu, hartanya pula hendaklah diperolehi dengan jalan halal.


Sempurna dan Menyeluruh

Manusia Islam adalah insan yang menyeluruh atau kaffah. Ertinya berkaitan rapat dengan konsep insan kamil atau manusia sempurna yang telah dicapai oleh Rasulullah saw. Istilah kaffah atau keseluruhan dalam mempraktikkan Islam telah diperintahkan oleh Allah swt dalam firman-Nya Surah Al-Baqarah ayat 208, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata."

Kaffah atau total person ini melihat segala usahanya untuk kebaikan sejati seluruh alam. Kehadirannya menguntungkan semua pihak, termasuk sekitaran. Dalam tindak tanduknya sebagai pemimpin negara, panglima perang, bapa, suami, sahabat dan manusia biasa, Rasulullah saw memberikan contoh bagaimana setiap usaha dilakukan untuk kebaikan menyeluruh. Oleh itu, seseorang itu perlu menguasai ilmu dunia dan juga memiliki sifat-sifat mulia secara batiniah dalam melakukan setiap pekerjaan agar mencapai hasil yang sempurna.

Dalam peristiwa Isra' Mi'raj, aspek pembersihan hati yang dilalui oleh Rasulullah saw iaitu hatinya dibedah dan dibersihkan dengan air zamzam oleh Jibril as, kemudian diperkuatkan dengan ilmu, iman, kelembutan, makrifah. Kesucian hati Baginda telah membawanya berjumpa dan berdialog dengan Allah swt. Pada hal ketika Musa as minta untuk melihat Allah swt, hanya dengan suara yang memuji Allah swt yang menghancurkan sebahagian gunung Tursina itu sahaja telah mengakibatkan Musa as pengsan.

Sesungguhnya Tasawuf adalah disiplin untuk hati tempat terletak ruh Islam. Kelemahan umat Islam kerana ruhnya dan kita berkewajipan untuk membersihkan ruh tadi untuk kembali semula ke jalan fitrah, jalan menuju kepada Allah swt.


Teras Pertalian Ihsan

IHSAN merupakan satu konsep yang dapat disusur daripada salah satu hadis yang masyhur. Ketika dikelilingi oleh para sahabatnya, Nabi Muhammad saw telah didatangi oleh seorang lelaki yang sungguh baik keadaannya, berpakaian kemas, tetapi tidak dikenali. Lelaki itu sebenarnya adalah Malaikat Jibril as dalam penampilannya sebagai 'manusia'. Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah saw di tengah persaksian para sahabat, apakah makna Islam, Iman dan Ihsan.

Nabi saw menjelaskan erti Islam ialah menjalankan rukun yang lima iaitu perakuan kalimah syahadat, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadhan dan mengerjakan haji. Kemudian Nabi saw menerangkan erti iman iaitu percaya kepada Allah, para malaikat, para nabi, kitab-kitab Allah, hari akhirat serta qada' dan qadar. Mengenai ihsan pula, Nabi saw mendefinisikan dengan maksud bahawa seorang hendaklah melaksanakan ibadatnya seolah-olah ia melihat Allah, dan jika ia tidak merasa dapat melihat Allah SWT, ia hendaklah menyedari bahawa Allah melihatnya.

Ketiga-tiga unsur; Islam, Iman dan Ihsan mesti ada dalam diri seorang mukmin iaitu orang yang beriman kepada Allah.

Daripada maksud hadis tadi, jelas Nabi saw memberikan takrif ihsan yang khususnya berbeza dengan Islam dan Iman. Ihsan menegaskan kehadiran kita di depan Ilahi - seolah-olah kita melihat dan dekat kepadanya.

Erti lihat atau musyahadah, dan dekat atau muraqabah merupakan teras hubungan antara manusia dengan Penciptanya.

Allah swt menegaskan hal ini dalam firmannya yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (An - Nisaa ayat 1)

Apabila dua konsep ini diterapkan sepenuhnya dengan sedar dalam jiwa (hati atau qalb), maka apa yang kita lakukan adalah kerana Allah (lillahi ta'ala).

Musyahadah dan muraqabah juga menjurus kepada erti ikhlas. Di sinilah terpapar persamaan antara ihsan dan ikhlas. Kewujudan manusia di muka bumi ini adalah semata-mata bertujuan mempersembahkan pengabdian yang sempurna terhadap Allah swt.

Kenyataan ini jelas terkandung dalam firman Allah swt Surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, "Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu."

Pada urutan usaha awalnya, manusia itu harus berjalan di atas tuntutan Syariat dengan matlamat akhir mengenal Penciptanya, menyerahkan diri, menghidupkan rasa cinta dan redha terhadap Allah swt. Namun, segala usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah swt, atau mendayakan kesampaian persembahan pengabdian itu tidak akan berjaya kecuali ia ditimbulkan dari dasar ikhlas.

Sekiranya manusia berkeupayaan mengikhlaskan pengabdiannya kepada Allah swt, memusatkan seluruh kehidupannya dalam lingkaran penghambaan yang jujur, dan mengujudkan pengertian seperti yang ia sebut setiap hari: Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan, maka Allah swt menjanjikan bahawa syaitan tidak akan memperoleh suatu jalan pun untuk sampai kepadanya.
Mengenali TasawufSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.