Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: December 2017


Search This Blog

Berkata Sidi Syaikh Ahmad bin Idris R.A

Berkata Imam Tarikat Ahmadiah Sidi Syaikh Ahmad bin Idris Rahmatullah Taala yang masyhur keramatnya (wafat 21 Rajab 1253 Hijrah - peranakan negeri Fas dalam negara Marocco):

أول طريقتي جنون، ووسطها فنون، وآخرها كن فيكون

Ertinya: Permulaan tarikatku ialah “gila” diperkatakan orang. Di pertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tak payah belajar. Dan di akhir tarikatku ialah “كن فيكون” - maksudnya datang bermacam-macam keramat jika dikehendaki.

Berkata Sidi Syaikh Ahmad bin Idris R.ASocialTwist Tell-a-Friend

YAQAZAH DALAM TAREKAT AHMADIYYAH IDRISIYYAH

YAQAZAH DALAM TAREKAT AHMADIYYAH IDRISIYYAH

Dalam tradisi keilmuwan tarekat Ahmadiyyah Idrisyyah, tarekat ini mempunyai dua bentuk silsilah iaitu silsilah muttasil dan silsilah uwaisiyyah barzakhiyyah yang menghubungkan Sayyid Ahmad ibn Idris dengan Rasulullah s.a.w (al-Sakandari ).

Silsilah uwaisiyyah barzakhiyyah berlaku melalui perjumpaan rohani Sayyid Ahmad ibn Idris dengan Nabi Muhammad s.a.w secara mushafahah dan Yaqazah.

Pertemuan ini beliau telah diberikan amalan secara khusus oleh Rasulullah s.a.w iaitu tahlil khusus, Selawat al-cAzimiyyah dan Istighfar al-Kabir (al-Jaafari 1998, Sedgwick 2005, Hamdan 1992).

Rentetan penerimaan amalan khusus ini beliau telah mendirikan sebuah Tarekat Muhammadiyyah dan dikenali sebagai Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah sehingga kini. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa tidak terdapat suatu pertikaian dalam kalangan ulama’ sezamannya termasuk Shaykh Muhammad ibn Abd al-
Wahhab (1703-1792) sendiri mengenai silsilah Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah samada silsilah muttasil mahupun silsilah Uwaisiyyah barzhakhiyyah.

Hal ini disebabkan oleh ketokohan, keilmuan dan ketinggian kerohanian Sayyid Ahmad ibn Idris yang telah diperakui dan diiktiraf oleh guru-gurunya dan ulama-ulama sezamannya (Sedgwick 2005, Hamdan 1992).

Pengiktirafan terhadap beliau dalam keilmuan dan kerohanian ini disebut di dalam kitab Jamci Karamat al-Awliya’ oleh Shaykh Yusuf bin Ismacil al-Nabhani. Di samping itu, sebelum Sayyid Ahmad ibn Idris memperkenalkan tarekat Muhammadiyyah atau dikenali selepas beliau sebagai tarekat Ahmadiyyah, beliau telah pun mempunyai asas kerohanian yang kuat sehingga mendapat keizinan mengajar dalam tiga buah tarekat sufi iaitu al-Shadhiliyyah, al-Khidiriyyah alAziziyyah dan al-Khalwatiyyah (al-Jaafari 1998, Sedgwick 2005, Hamdan 1992).

Berdasarkan kepada perkara ini, dapatlah difahami mengapa silsilah dan amalan dalam tarekat Ahmadiyyah yang diterima secara Yaqazah dan mushafahah daripada Nabi s.a.w tidak dipertikai oleh para ulama sezaman dan selepasnya. Penerimaan talqin dan amalan tarekat oleh Sayyid Ahmad bin Idris secara langsung daripada Nabi s.a.w bukan sesuatu yang baharu, tetapi ia adalah harus dan pernah berlaku pada ulama sufi terdahulu seperti yang tercatat dalam kitab-kitab sufi muktabar. Hal ini telah dibincangkan oleh Shaykh Abd al-Wahhab al-Sharani di dalam kitabnya al-Anwar al-Qudsiyyah.

Dalam bab Sanad al-talqin al-sufi beliau telah meriwayatkan bahawa penerimaan amalan secara Yaqazah dan mushafahah ini telah berlaku kepada beberapa guru beliau seperti Shaykh Ibrahim al-Matbuli dan Shaykh Ali al-Khawwas , Shaykh Abu Madyan, Shaykh cAbd al-Rahim al-Qanawi, Shaykh Musa al-Zawli, Shaykh Abu Hassan al-Shadhili, Shaykh Abu cAbbas al-Mursi, Shaykh Abu Sacud bin Abi al-cAshacir, dan Shaykh Jalal al-Din al-Suyuti. Shaykh Ali al-Khawwas berpendapat bahawa seseorang itu tidak sampai kepada martabat Arif bilAllah sehingga berjumpa dan bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w secara Yaqazah
dan mushafahah (al-Shacrani, t.th ; 1988).

Walaupun begitu, bukan kesemua ahli sufi yang pernah mengalami pengalaman secara Yaqazah dan menerima amalan daripada Rasulullah s.a.w. menubuhkan sebuah tarekat baru seperti Sayyid Ibrahim Rashidi, Sayyid Muhammad al-Dandarawi dan Shaykh Soleh bin Muhammad al-Jacafari. Sebaliknya, mereka terus menjadi pengikut setia dan pemimpin yang mengamalkan Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah.

YAQAZAH DALAM TAREKAT AHMADIYYAH IDRISIYYAHSocialTwist Tell-a-Friend

Kata-Kata Hikmah Sayyid Ahmad Ibn Idris

Di antara kata-kata hikmah Sayyid Ahmad ibn Idris ra. yang begitu memberi kesan dalam menyampaikan cahaya manhajnya di dalam ilmu Tasawwuf dan berdakwah kepada Allah ialah:

"Tasawwuf ialah mengosongkan hati hanya untuk Allah swt dan memandang kecil selainNya."

"Makanan terpenting bagi diri ialah zikrullah."

"Benar merupakan keimanan, kerana sesiapa yang benar pada perkataannya, maka kata-katanya tidak akan ditolak. Dan tidak disifatkan al Quran sebagai mukjizat melainkan kerana kebenarannya, tidak akan didatangi sesuatu kebatilan sama ada di hadapan atau belakangnya."

"Sabar ialah sifat yang membezakan di antara hati orang yang beriman dengan yang lainnya."

"Khalwat itu jika tidak terhasil di dalamnya futuh (dibukakan oleh Allah), akan terhasil di dalamnya cahaya pada masa yang akan datang."

"Setiap perkara yang menyibukkan kamu daripada Allah, maka ia adalah celaka."

"Sesungguhnya setiap fitnah yang berlaku di dalam alam ini, sebabnya ialah kerana membelakangi perintah Allah."

"Orang yang hidup, akan terasa apabila dicucuk dengan jarum tetapi orang yang mati tidak terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. (Begitu jugalah dengan hati yang mati, tidak akan terkesan dengan sebarang peringatan walau pun banyak. Tetapi hati yang hidup akan terkesan apabila diberikan peringatan walaupun sedikit)."

"Sifat ta'sub (ekstrim); membentuk puak masing-masing dan kemudiannya menuduh sesat di antara satu sama lain sehingga seolah-olah wujud pelbagai agama yang berbeza. Perkara inilah yang tidak kami redhai dan kami tegah ke atas setiap Muslim kerana mereka adalah daripada umat yang satu yang menjadi sebaik-baik umat, mempunyai Nabi yang satu, Kitab yang satu dan Kiblat yang satu. Maka bagaimana boleh terjadi perpecahan dan ta'sub? Kami sentiasa menegah manusia daripadanya."

Beliau sering mengungkapkan kata-kata hikmah:

"Sekiranya kamu suka kapada kaum (sufi), maka ikutilah jalan mereka; Mereka tidak sampai kepada Allah melainkan dengan memutuskan hubungan selain Allah."

"Beri'tiqad benarlah kamu, kamu akan mendapatkan keuntungan, dan masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (agama Islam), kamu akan memperolehi keselamatan."

Kata-Kata Hikmah Sayyid Ahmad Ibn IdrisSocialTwist Tell-a-Friend

KARAMAH SIDI AHMAD IBNI IDRIS

KARAMAH SIDI AHMAD IBNI IDRIS

Telah bercerita Sidi Ibrahim Ar Rashidi :

Seorang lelaki telah membeli daging dan di letakkan dalam pakaian nya. Di dalam perjalanan pulang dia telah singgah di masjid dan bersolat dibelakang Sidi Ahmad Ibni Idris. Setelah solat dia pun pulang ke rumahnya membawa daging tersebut

Setibanya di rumah dia telah meletakan daging tersebut dalam kuali dan menyalakan api. Tetapi kuali tersebut tidak mahu panas. Dia menambahkan lagi api agar semakin besar, namun tidak mendatangkan sebarang kesan kepada daging tersebut.

Berita ini di sampaikan kepada Sidi Ahmad Ibni Idris, beliau berkata "berikanlah khabar gembira, sesiapa yang bersolat bersama kami tidak akan di makan oleh api"

KARAMAH SIDI AHMAD IBNI IDRISSocialTwist Tell-a-Friend

KELEBIHAN AURAD SIDI AHMAD IBNI IDRIS

KELEBIHAN AURAD SIDI AHMAD IBNI IDRIS

Wirid-wirid yang telah diajarkan oleh asy-Syaikh Ahmad ibn Idris kepada murid-murid beliau mempunyai satu keistimewaan, yakni ia adalah hasil daripada apa yang telah diajarkan kepada beliau oleh rohaniah Rasulullah SAW sendiri .
Telah bercerita asy-Syaikh Ahmad ibn Idris di dalam kitab yang berjudul Kunuz al-Jawahir an-Nuraniyyah Fi Qawa‘id TarÏqah asy-Syazhiliyyah:

Selepas aku mencapai penetapan di dalam tarekat ini di atas tangan guruku Abi al-Qasim al-Wazir, semoga beliau dirahmati Allah SWT, dan naik melalui bimbingannya sehingga sampai ke alam al-ghaib, dan dengan itu aku telah menjadi seorang mukmin yang sebenar-benarnya, maka aku telah bertemu selepas kematiannya, semoga beliau dirahmati Allah Taala, dengan Rasulullah SAW (yakni berlakunya perkara ini di alam al-arwah dan bukan di alam nyata).

Turut serta di dalam perhimpunan suri (yakni perhimpunan yang bukan berbentuk fizikal) itu ialah al-Khaidir ‘alaihissalam. Rasulullah SAW telah menyuruh al-Khaidir ‘alaihissalam mengajarku segala zikir Tareqah Ad Sayidzilliah, maka dia pun mengajarku di hadapanRasulullah SAW.

Setelah itu, Rasulullah SAW telah menyuruh al-Khaidir ‘alaihissalam mengajarku amalan yang dapat menghimpunkan segala zikir dan selawat dan istighfar, dan yang terlebih besar pahalanya, dan terlebih banyak bilangannya (yakni yang terlebih tinggi nilainya).
Dia (yakni al-Khaidir ‘alaihissalam) telah bertanya kepada baginda (yakni Rasulullah SAW), “Apakah ia, wahai Rasulullah SAW?”

Maka baginda telah mengajarku Zikir Al Makhsus yang telah diulangi oleh baginda sebanyak tiga kali. Aku juga telah disuruh mengulangi bacaan itu, maka aku pun melakukannya.
Setelah itu, baginda telah membaca pula selawat Al Azhimiah, dan aku telah mengulangi bacaan baginda itu. Kemudian, baginda telah membaca pula Istighfar Al Kabir , dan aku telah mengulangi bacaan baginda itu . . . .

Aku telah dipakaikan dengan beberapa cahaya serta kekuatan yang bersifat Muhammadiah, dan telah direzekikan juga kepadaku beberapa penglihatan yang bersifat ilahiyyah.

Setelah itu, bersabda baginda kepadaku, “Wahai Ahmad, telah aku berikan kepadamu kunci-kunci tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan ia adalah Zikir Al Makhsus dan Selawat Al Azhimiah  dan Istighfar Al Kabir. Satu kali membacanya itu adalah seperti kadar dunia dan akhirat, dan apa yang terkandung di dalam kedua-duanya, dan yang digandakan pula [kadarnya] beberapa gandaan . . .”

Kemudian Rasulullah SAW telah mengajarku selepas itu, dengan tiada perantaraan (wasitah). Baginda telah mengimlakkan (dictated) kepadaku [beberapa waktu kemudian] al-Mahamid Al Thamaniah, al-Ahzab dan al Solawat (Selawat 14). Maka aku telah menuliskannya seperti mana yang telah diajarkan kepadaku, dan aku telah membahagikanAl Ahzab dan Al Solawat kepada tujuh bahagian untuk dibacakan satu bahagian pada setiap hari - dengan khusyuk dan perendahan diri (khuduk) bagi orang yang belum sampai, dan dengan kehadiran hati (Hudur) dan rasa (dzauq) dan penyaksian (musyahadah) bagi orang yang sudah sampai.

Maka jadilah aku pula mengajar murid-muridku seperti yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW kepadaku, dan aku telah iktibarkan pula perkara-perkara yang tersebut itu daripada beberapa syarat . . . .

Dan pada suatu waktu yang lain pula, telah berkata asy-Syaikh Ahmad ibn Idris:-
Para penghulu bagi tarekat ini telah mengambil cara mereka melalui perantara-perantara, tetapi aku telah mengambil tarekat ini langsung daripada baginda Rasulullah SAW (yakni melalui jalan rohani), tanpaadanya seorang perantara.
Maka tarekatku ini adalah Muhammadiah Al Ahmadiah, awalnya dan akhirnya adalah Nur Muhammad . . . .

Telah bercerita lagi asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris:
Setiap nabi mempunyai satu doa yang diperkenankan [oleh Allah], dan setiap wali mempunyai satu permintaan di sisi an-Nabi SAW yang diperkenankan [oleh an Nabi SAW].

Tatkala sampai waktunya, aku telah membuat permintaan kepada Rasulullah SAW agar memberikan penjagaan kepada para sahabatku dengan zat (yakni rohaniah) baginda yang khas, di dalam urusan bantuan rohani (madad).

Maka baginda telah berkata, “Sesiapa yang menisbahkan dirinya kepadamu (yakni mengambil tarekat yang berasal daripada asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris), tiada akan aku serahkan dia untuk penjagaan yang lain daripadaku, dan tiada akan aku jadikan dia tanggungjawab bagi yang lain daripadaku. Akulah yang menjadi penjaganya dan yang akan bertanggungjawab ke atasnya.”

Telah berkata asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris bahawa Rasulullah SAW telah berkata kepadanya:
Sesiapa yang mengambil tarekat ini dan bersungguh-sungguh di dalamnya, akan dituliskan dia di dalam daftar Allah yang tertinggi, yang tidak akan diubahkan dan tidak akan digantikan [nama-nama di dalam kandungannya].

Telah berkata lagi asy-Syaikh Ahmad Ibn Idris:
Tarekatku ini, tiadalah keadaannya melainkan pada langkah yang pertama di sini, dan pada langkah yang kedua [sudah pun berada] di sisi Allah.

Telah berkata lagi asy-Syaikh Ahmad ibn Idris:
Anak-anakku (yakni anak-anak murid atau para pengikut asy-Syaikh Ahmad ibn Idris) akan terlepas daripada fitnah-fitnah di akhir zaman.

KELEBIHAN AURAD SIDI AHMAD IBNI IDRISSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 6) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

SIRI 6: KARYA AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris mempunyai kitab karangan yang banyak. Ada di antara kitabnya dibawa oleh anak-anak muridnya yang ditugaskan untuk berdakwah di tempat-tempat lain di serata dunia Islam. Ada yang telah terbakar ketika berlaku kebakaran di dalam biliknya selepas kewafatannya dan yang masih tinggal hanyalah beberapa buah kitab yang dikumpulkan. Sebahagian daripadanya telah dicetak, manakala sebahagian yang lain masih kekal dalam bentuk manuskrip.

Di antara kitab karangannya yang masih tinggal dalam bentuk cetakan dan manuskrip ialah:

1. Tafsir Basmalah
2. Tafsir Surah al Fatihah
3. Tafsir Hizib yang pertama daripada surah al Baqarah
4. Tafsir ayat (إِنَّ المُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ)
5. Al ‘Iz al Masun fi Tafsir surah al Tin wa al Zaitun
6. Tafsir Surah al Dhuha dan al Insyirah
7. Tafsir Surah al Kauthar
8. Tafsir potongan ayat-ayat al Quran
9. Al Nafahaat al Rabbaniyyah fi Syarh Hadith al Sunnah al Muhammadiyyah “al Ma’rifah Ra’su Mali”
10. Al Nafahaat al Kubra
11. Risalah Kaimiya’ al Yaqin
12. Syarah ‘Aqidah Imam al Syafi’i
13. Syarh Husul al Haqiqah bi Nuzm Usul al Tariqah li al ‘Arif Billah Salman ibn Abi al Qasim al Ahdali
14. Risalah al Asas
15. Risalah al Qawa’id
16. Risalah Perbincangan Sayyid Ahmad ibn Idris dengan Fuqaha’ Najd
17. Risalah mengenai Khalwat
18. Syarah hadith: (صَلِّ صَلَاةَ المُوَدِّع)
19. Syarah empat buah hadith iaitu:
- الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ
- إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
- الحلَالُ بَيِّنٌ وَالحَرَامُ بَيِّنٌ
- مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَركُهُ مَا لَا يَعْنِيْهِ
20. Syarah Qasidah Imam Junaid al Baghdadi  di dalam ilmu tasawwuf iaitu:
تَوَضَّأ بِمَاءِ الغَيْبِ إِنْ كُنْتَ ذَا سِرٍّ..
21. Al ‘Iqd al Nafis fi Nuzum Jawahir al Tadris (kitab yang mengandungi jawapan-jawapan yang dijawab oleh al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris  dalam majlis pengajiannya)
22. Risalah Mengenai Zikir
23. Risalah penolakan terhadap orang yang menggunakan pendapat akal semata-mata
24. Khutbah Nikah
25. Khutbah Dua Hari Raya dan Minta Hujan
26. Risalah mengenai Tasawuf dan Suluk
27. Ruh al Sunnah (kitab ini mengandungi hadith-hadith pilihannya)

Ini merupakan kitab-kitab al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris  sebagaimana yang dinyatakan oleh cicitnya Sayyid Ahmad Mustafa. Beliau juga menyimpan koleksi surat-surat al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris yang dihantar kepada sahabat-sahabat dan murid-muridnya. Semua surat tersebut mengandungi jawapan bagi soalan-soalan ilmiah yang dihantar kepadanya sebagai salah satu jalan untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada muridnya.

Disediakan oleh:

Markaz Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

Gambar: Prof Dr Sayyid Abdul Wahab al Tazi, Syeikh Masyaikh Tarekat al Ahmadiyyah al Idrisiyyah Dunia merangkap Penasihat Kehormat Institut al Imam Ahmad ibn Idris Malaysia

(SIRI 6) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRISSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 5) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

SIRI 5: PUJIAN ULAMA’ TERHADAP AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris adalah seorang ulama’ yang menjadi sebutan di kalangan ulama’ yang lain. Mereka telah merakamkan biografi al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris dalam bahan-bahan penulisan mereka.Tidak kurang pula, yang mencatatkan saat-saat keemasan dan pengalaman yang begitu bermanfaat ketika bersama al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris.

Di antara mereka ialah al ‘Allamah Sayyid Muhammad ibn Ali ibn ‘Uqail. Beliau pernah berkata:

“Saya mengenali Sayyid Ahmad ibn Idris semenjak berhijrah ke Makkah pada tahun 1234H. Saya dapati beliau merupakan seorang ulama’ besar yang mempunyai ilmu ma’rifah, syariah dan hakikat yang tiada tolok bandingannya.”

Kehebatan ilmu makrifah al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris yang mendalam turut diperakui oleh ulama’ syari’e pada zaman ini seperti Sayyid Abdur Rahman al Ahdal (Mufti Zabid, Yaman) dan Qadhi Abdur Rahman al Bahlaqi yang menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Ulama’ Feqah di Yaman. Ulama’ Yaman dan Syam yang seangkatan dengannya juga sering memujinya.

Di antaranya, Qadhi Muhammad ibn Ali al Syaukani. Beliau sering memuji al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris dan menggalakkan orang ramai agar tekun belajar dengan beliau. Begitu juga ulama’ yang lain seperti al Hafiz Sayyid Abdullah ibn Muhammad al Amir, saudaranya seorang ulama’ Muhaqqiqin Qasim ibn Muhammad dan anak saudaranya, al Allamah Yusuf ibn Ibrahim.

Mufti Zabid Yaman, Syeikh al Islam, Sayyid Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdal berkata:

“Kedatangannya kepada saya diibaratkan seperti kedatangan kesejahteraan kepada orang yang sakit dan penyembuh kepada orang yang luka.”

Seorang ulama’ Muhaqqiqin, al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali As Sanusi menyebut:

“Saya telah menimba banyak ilmu pengetahuan daripada al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris. Saya juga telah mempelajari daripadanya tentang kehalusan dan kesempurnaan ilmu hadith, tafsir, tasawuf dan lain-lain lagi dengan penerangannya yang unik.”

Sayyid Muhammad Uthman al Mirghani berkata:

“Sekiranya kedua-dua belah telinga kamu mendengar ketinggian kata-katanya yang menyentuh tentang hakikat-hakikat yang dalam atau pun pintu hati kamu diketuk dengan kebesaran kata-katanya tentang Hadharat Tuhan yang halus, nescaya kamu akan berkata:“Saya bersumpah dengan nama Allah dan kemuliaan Rasulullah bahawa tiada seorang pun dari kalangan Auliya’ yang dijadikan sepertinya dan tiada seorang pun ahli makrifah yang dikurniakan makrifah ketuhanan yang setanding dengannya, sepertimana yang telah saya saksikan.”

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 5) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRISSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 4) KENALI UMDAH TAREKAT

SIRI 4: MURID-MURID AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Di antara barisan anak murid yang berada di bawah pentarbiahannya ialah:

1. Sayyid Muhammad ibn Ali As Sanusi (Khalifah Utama al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani)

2. Sayyid al Tayyib ibn Muhammad ibn Idris

3. Sayyid Muhammad Uthman al Mirghani

4.Sayyid Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali

5. Syeikh Ibrahim al Rasyid ibn al Qadhi Soleh

6. Qadhi al Hasan ibn Ahmad al Dhamdi

7. Al ‘Allamah Ahmad ibn Muhammad al Sowi

8. Syeikh Muhammad al Madani

9. Syeikh Muhammad al Majzub al Sawakini

10. Syeikh Muhammad ‘Abid al Sindi dan lain-lain lagi.

Disediakan oleh:

Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 4) KENALI UMDAH TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 3) KENALI UMDAH TAREKAT

SIRI 3: KEPERIBADIAN AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris tergolong dalam kalangan lelaki yang segak dan tampan serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia. Memiliki ketinggian yang sederhanan, berkulit putih kemerah-merahan, bermata luas dan dua bulu keningnya bercantum, janggutnya nipis dan terdapat banyak uban. Beliau juga memiliki lisan yang fasih dan hatinya yang kuat.

Beliau diperakui memiliki kecerdikan yang sempurna, sentiasa berlapang dada sehingga orang yang duduk bersamanya tidak pernah berasa jemu. Terkenal sebagai seorang yang pemurah, banyak berdiam melainkan ketika berzikir dan menyampaikan ilmu, petah dan tepat dialeknya.

Sayyid Muhammad al Hasan al Mirghani pernah berkata mengenai ketampanannya: “Kecantikannya bak emas yang berkilauan.”

Pada kebiasaannya, beliau memakai serban di atas ketayapnya dengan meninggalkan ekor di bahagian belakang. Labuh baju yang dipakainya berada di atas buku lali kerana mengikut sunnah Nabi. Beliau merupakan seorang yang wara’ lagi bertakwa. Pada waktu malam, beliau sentiasa bangun malam dan memanjangkan solatnya. Manakala pada waktu siang, beliau sentiasa bergelumang dengan dunia ilmu dan pengajarannya.

Fikirannya sentiasa karam dalam solat yang dikerjakannya hingga beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekitarnya. Apabila berdiri untuk mengerjakan solat, badannya menggigil lantaran berasa gerun untuk menghadap Allah dalam keadaan solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Kekhusyukan solatnya disebut oleh muridnya, al Qadhi Hasan ‘Akish dalam kitabnya yang bertajuk, al Dibaj al Khasrawani, ‘Uquq al Durar dan Hadaiq al Zahr sebagaimana katanya:
“Fikiran Sayyid Ahmad ibn Idris karam dan tenggelam dalam solat yang dikerjakannya ketika bangun malam. Beliau menghadap Allah dengan sepenuh penghadapan sehinggakan beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Apabila hendak berdiri mengerjakan solat, beliau sentiasa menggigil kerana takut hendak menghadap Allah dalam keadaadn solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya. ”

Anak-anak muridnya meriwayatkan, bahawa pernah sekali ketika al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris mengerjakan solat secara berjemaah di rumah, suatu benda di dalam rumahnya telah terjatuh dan kedengaran bunyi yang kuat. Setelah selesai solat, mereka berkata kepada al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris, “Telah terjatuh sesuatu daripada atap rumah ini.” Kata al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Mereka menjawab: “Kami mendengar bunyi suatu benda yang terjatuh.” Maka beliau berkata: “Maha Suci Allah! Ketika kamu sedang solat, kamu boleh mendengarnya ?”

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 3) KENALI UMDAH TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 2) KENALI UMDAH TAREKAT

SIRI 2: KEILMUAN AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Tokoh ulama’ besar ini, semenjak kecil lagi telah ditanam dan diasuh dengan didikan agama yang mantap. Semasa berada di peringkat awal pendidikannya lagi, beliau telah menghafaz al Quran dan sebahagian daripada matan-matan ilmu. Beliau mempelajari ilmu-ilmu asas secara talaqqi sewaktu dipelihara oleh saudaranya yang mulia iaitu Sayyid Muhammad ibn Idris dan Sayyid Abdullah.

Di kota kelahirannya, Fas, beliau belajar secara talaqqi di Masjid al Qarawiyyin daripada ramai ulama’. Beliau begitu tekun dan bersungguh-sungguh melazimi majlis pengajian ahli-ahli ilmu sehingga sanggup mengharungi pelbagai keperitan dan kepayahan demi mendapatkan ilmu-ilmu dan sanad-sanad yang amat besar manfaatnya.

Di antara tokoh ulama’ besar yang pernah menjadi gurunya ialah:

1. Syeikh al Muhaqqiq Sayyid Muhammad al Tawudi ibn Sudah al Murri (wafat 1209H).

2. Syeikh Muhammad Abdul Karim ibn Ali al Zahabi (masyhur dengan gelaran al Yaziqni, wafat 1199H)

3. Al Allamah Abu Muhammad Abdul Qadir ibn Syaqrun (wafat 1219H)

4. Al Allamah al Lughawi Muhammad al Mujaidiri al Syanqiti

5. Al Qutb al Muammar Sayyid Abdul Wahab al Tazi al Hasani (Syeikhnya pada peringkat penutup di Fas yang menyebabkan suluknya menjadi sempurna dan kedudukannya menjadi tinggi. Beliau juga merupakan sandaran bagi segala riwayatnya)

6. Syeikh Abu al Qasim al Fasi (gelarannya al Wazir)
Melihat kepada latar belakang pendidikan al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu; sama ada hadith, tafsir, fiqh, tasawwuf dan lain-lain.

Beliau juga banyak meriwayatkan Hadith Musalsal (hadith yang didatangkan oleh seseorang perawi dengan gaya sifat perawi sebelumnya sama ada pada perkataan atau perbuatan) dan mempunyai sanad ‘Aali (sanad yang tinggi dan mempunyai rijal yang sedikit) sehingga mendapat pengiktirafan daripada Syeikh Muhammad ibn Ali al Syaukani, pengarang kitab Nail al Autar yang masyhur kerana mempunyai sanad yang ‘Aali pada zamannya.

Sebagai contoh, di antara al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari hanya mempunyai 9 perantaraan. Ulama’ pada zamannya berbangga apabila mendapat sanad daripadanya. Di antara mereka ialah al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi, Mufti Zabid Yaman Sayyid Abdur Rahman bin Sulaiman al Ahdali, Qadhi Hasan ‘Akish dan lain-lain lagi.

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 2) KENALI UMDAH TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

(SIRI 1) KENALI UMDAH (SANDARAN) TAREKAT

SIRI 1: MENELUSURI KEHIDUPAN AL IMAM AL A’ZAM AL MUHADDITH  SAYYID AHMAD IBN IDRIS AL HASANI

NAMA DAN NASABNYA

Al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris merupakan ulama’ yang unggul pada zamannya. Berasal dari keluarga Penghulu Adarisah yang masyhur dan mulia di Maghribi dan berketurunan Sayyiduna Hasan ibn Ali ibn Abu Talib.

Nama lengkapnya ialah Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn Ali ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn Abdul Kabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn Ali ibn Hurmah ibn Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris (digelar al Asghar) ibn Idris (digelar al Akbar) ibn Abdullah (digelar al Kamil) ibn al Hasan al Muthanna ibn Sayyidina Hasan ibn Sayyidina Ali dan Fatimah al Zahra’ binti Maulana Muhammad Rasulullah.

Sekali pun al Imam al A’zam berketurunan mulia, beliau tidak suka bermegah-megah dengan kemuliaan nasab keturunannya. Hal ini dapat dilihat ketika muridnya, al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi meminta beliau menulis tentang nasabnya, beliau dengan tegas berkata:

نَسَبِي الكِتَابُ وَالسُّنَّةُ أُنْظُرْ إِلَيَّ فَإِنْ وَجَدْتَنِي عَلَى الكِتَابِ وَالسُّنَّةِ فَقُلْ: أَحْمَدُ بْنُ إِدْرِيسَ عَلَى الكِتَابِ وَالسُّنَّةِ فَهَذَا نَسَبِي. يَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: اليَوْمَ أَضَعُ أَنْسَابَكُمْ وَأَرْفَعُ نَسَبِي أَلَا وَهُوَ التَّقْوَى.

Nasab saya adalah Kitab dan Sunnah. Lihatlah kepada saya, jika kamu dapati saya berada di atas landasan Kitab dan Sunnah, maka katakanlah, “ Ahmad ibn Idris berada di atas landasan Kitab dan Sunnah.” Maka inilah nasab saya. Allah berfirman, “Pada hari ini, Aku merendahkan nasab-nasab kamu dan meninggika nasabKu iaitu taqwa.”

(Lihat al ‘Iqd al Nafis fi Nuzum Jawahir al Taqdis karangan Sayyid Ahmad ibn Idris. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al Mukminun ayat 101:

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat bertanya satu sama lain)

Beliau dilahirkan pada 21 Rejab 1163 Hijrah bersamaan 1750 Masihi di sebuah kampung yang terletak di Maisur, berdekatan ibu kota Fas di tepi laut Maghribi.

(SIRI 1) KENALI UMDAH (SANDARAN) TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.