Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: (SIRI 5) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRIS


Search This Blog

(SIRI 5) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

SIRI 5: PUJIAN ULAMA’ TERHADAP AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris adalah seorang ulama’ yang menjadi sebutan di kalangan ulama’ yang lain. Mereka telah merakamkan biografi al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris dalam bahan-bahan penulisan mereka.Tidak kurang pula, yang mencatatkan saat-saat keemasan dan pengalaman yang begitu bermanfaat ketika bersama al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris.

Di antara mereka ialah al ‘Allamah Sayyid Muhammad ibn Ali ibn ‘Uqail. Beliau pernah berkata:

“Saya mengenali Sayyid Ahmad ibn Idris semenjak berhijrah ke Makkah pada tahun 1234H. Saya dapati beliau merupakan seorang ulama’ besar yang mempunyai ilmu ma’rifah, syariah dan hakikat yang tiada tolok bandingannya.”

Kehebatan ilmu makrifah al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris yang mendalam turut diperakui oleh ulama’ syari’e pada zaman ini seperti Sayyid Abdur Rahman al Ahdal (Mufti Zabid, Yaman) dan Qadhi Abdur Rahman al Bahlaqi yang menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Majlis Ulama’ Feqah di Yaman. Ulama’ Yaman dan Syam yang seangkatan dengannya juga sering memujinya.

Di antaranya, Qadhi Muhammad ibn Ali al Syaukani. Beliau sering memuji al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris dan menggalakkan orang ramai agar tekun belajar dengan beliau. Begitu juga ulama’ yang lain seperti al Hafiz Sayyid Abdullah ibn Muhammad al Amir, saudaranya seorang ulama’ Muhaqqiqin Qasim ibn Muhammad dan anak saudaranya, al Allamah Yusuf ibn Ibrahim.

Mufti Zabid Yaman, Syeikh al Islam, Sayyid Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdal berkata:

“Kedatangannya kepada saya diibaratkan seperti kedatangan kesejahteraan kepada orang yang sakit dan penyembuh kepada orang yang luka.”

Seorang ulama’ Muhaqqiqin, al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali As Sanusi menyebut:

“Saya telah menimba banyak ilmu pengetahuan daripada al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris. Saya juga telah mempelajari daripadanya tentang kehalusan dan kesempurnaan ilmu hadith, tafsir, tasawuf dan lain-lain lagi dengan penerangannya yang unik.”

Sayyid Muhammad Uthman al Mirghani berkata:

“Sekiranya kedua-dua belah telinga kamu mendengar ketinggian kata-katanya yang menyentuh tentang hakikat-hakikat yang dalam atau pun pintu hati kamu diketuk dengan kebesaran kata-katanya tentang Hadharat Tuhan yang halus, nescaya kamu akan berkata:“Saya bersumpah dengan nama Allah dan kemuliaan Rasulullah bahawa tiada seorang pun dari kalangan Auliya’ yang dijadikan sepertinya dan tiada seorang pun ahli makrifah yang dikurniakan makrifah ketuhanan yang setanding dengannya, sepertimana yang telah saya saksikan.”

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 5) KENALI AL IMAM AHMAD IBN IDRISSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.