Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: (SIRI 2) KENALI UMDAH TAREKAT

Search This Blog

(SIRI 2) KENALI UMDAH TAREKAT

SIRI 2: KEILMUAN AL IMAM AHMAD IBN IDRIS

Tokoh ulama’ besar ini, semenjak kecil lagi telah ditanam dan diasuh dengan didikan agama yang mantap. Semasa berada di peringkat awal pendidikannya lagi, beliau telah menghafaz al Quran dan sebahagian daripada matan-matan ilmu. Beliau mempelajari ilmu-ilmu asas secara talaqqi sewaktu dipelihara oleh saudaranya yang mulia iaitu Sayyid Muhammad ibn Idris dan Sayyid Abdullah.

Di kota kelahirannya, Fas, beliau belajar secara talaqqi di Masjid al Qarawiyyin daripada ramai ulama’. Beliau begitu tekun dan bersungguh-sungguh melazimi majlis pengajian ahli-ahli ilmu sehingga sanggup mengharungi pelbagai keperitan dan kepayahan demi mendapatkan ilmu-ilmu dan sanad-sanad yang amat besar manfaatnya.

Di antara tokoh ulama’ besar yang pernah menjadi gurunya ialah:

1. Syeikh al Muhaqqiq Sayyid Muhammad al Tawudi ibn Sudah al Murri (wafat 1209H).

2. Syeikh Muhammad Abdul Karim ibn Ali al Zahabi (masyhur dengan gelaran al Yaziqni, wafat 1199H)

3. Al Allamah Abu Muhammad Abdul Qadir ibn Syaqrun (wafat 1219H)

4. Al Allamah al Lughawi Muhammad al Mujaidiri al Syanqiti

5. Al Qutb al Muammar Sayyid Abdul Wahab al Tazi al Hasani (Syeikhnya pada peringkat penutup di Fas yang menyebabkan suluknya menjadi sempurna dan kedudukannya menjadi tinggi. Beliau juga merupakan sandaran bagi segala riwayatnya)

6. Syeikh Abu al Qasim al Fasi (gelarannya al Wazir)
Melihat kepada latar belakang pendidikan al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu; sama ada hadith, tafsir, fiqh, tasawwuf dan lain-lain.

Beliau juga banyak meriwayatkan Hadith Musalsal (hadith yang didatangkan oleh seseorang perawi dengan gaya sifat perawi sebelumnya sama ada pada perkataan atau perbuatan) dan mempunyai sanad ‘Aali (sanad yang tinggi dan mempunyai rijal yang sedikit) sehingga mendapat pengiktirafan daripada Syeikh Muhammad ibn Ali al Syaukani, pengarang kitab Nail al Autar yang masyhur kerana mempunyai sanad yang ‘Aali pada zamannya.

Sebagai contoh, di antara al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari hanya mempunyai 9 perantaraan. Ulama’ pada zamannya berbangga apabila mendapat sanad daripadanya. Di antara mereka ialah al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi, Mufti Zabid Yaman Sayyid Abdur Rahman bin Sulaiman al Ahdali, Qadhi Hasan ‘Akish dan lain-lain lagi.

Disediakan oleh:
Markaz al Buhuth wal Dirasat
Institut al Imam Ahmad ibn Idris

(SIRI 2) KENALI UMDAH TAREKATSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.