Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: January 2011


Search This Blog

Manaqib Tuan Shaykh Muhamad Said al-Linggi radhiAllahu 'anhu


(Gambar Makam Shaykh Haji Muhammad Said Al-Linggi dan keluarga)



Petikan daripada Akhbar Islam (5 ZUlhijjah 1407 / 31 Julai 1987) issue 13, ditulis oleh Imam Al-Soouti :

Manaqib Tuan Shaykh Muhamad Said al-Linggi radhiAllahu 'anhu

Keadaan sebuah bukit kecil yang terletak di tepi jalan hendak ke Jelebu dari bandar Seremban sunyi sepi saja. Suasananya tenang dan damai. Cuma sesekali ketenangan itu dipecah oleh derauan kereta yang meluncur laju sama ada menempuh bandar Seremban ataupun menuju ke Jelebu.

Burung-burung berterbang riang. Berkicauan dan menyanyi memuji dan memuja Allah. Berzikir menyatakan keagungan Allah. Dari dahan ke ranting, burung-burung itu terbang penuh gembira dan riang ria. Tetapi sayang, semua sebutan zikir itu tidak terdengar oleh telinga hamba yang lemah.

Untuk naik ke bukit itu disiapkan tangga. Kira-kira dua atau empat minit meniti anak-anak tangga itu, kita kan sampai di puncaknya. Sesampai di puncak kita akan terpegun sejenak. Melihat satu pagar kecil di dalamnya berdiri sebuah wakaf kecil.

Di dalam pagar itu berdiri niasan-niasan kaku. Dua batang pokok tanjung yang merimbun di pinggir pagar itu terus menggugurkan bunganya menyebabkan kawasan itu menjadi harum semerbak. Berdiri di pagar (makam) itu kita berasa sebuah ketenganan turut berdiri dalam diri kita.

Di dalam pagar kecil itulah merupakan rumah terakhir (makam) Al-marhum Tuan Shaykh Muhammad Sa’id bin Tuan Shaykh Jamaluddin al-Linggi radhiAllahu 'anhu, seorang ulama dan guru tariqah yang terbesar di Negeri Sembilan. Allahyarham kembali menemui Allah pada 12 Rabiulawal dalam usia 62.

Allahyarham Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu merupakan seorang guru pengembang Tariqah Ahmadiah, bukan sahaja di negerinya (Negeri Sembilan) tetapi di seluruh Malaysia termasuk juga beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Pattani, Singapura dan Kampuchea.

Keterkenalan dan ketinggian ilmu yang terkandung dalam tubuh badan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu sebenarnya tidak perlu disebut dan cerita lagi. Masyarakat yang sezaman dengannya tahu mengenai itu semua. Malahan, kehebatan itu masih lagi disebut-sebut sampai ke hari ini, walaupun Allahyarham meninggalkan kita sudah lebih setengah abad.

Sememangnya, Allahyarham bukan calang-calang orang. Sebelum beliau menjadi guru, beliau telah berguru dengan berbagai guru. Dikatakan bahawa guru beliau tidak kurang 50 orang dan beliau juga pernah belajar agama di negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Makkah dan juga Madinah.

Ulama besar yang menjadi guru kepada Allahyarham adalah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi radhiAllahu 'anhu iaitu murid kanan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim al-Rashid radhiAllahu 'anhu yang berasal dari Sudan kemudian mangkat di Maa’la di Makkah. Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu telah menyambung bai’ah Tariqah Ahmadiah terus dari gurunya, iaitu Tuan Shaykh Muhammad ad-Dandarawi radhiAllahu 'anhu.

Dalam usahanya menyebarkan ajaran Islam dan ilmu mengenai Allah melalui Tariqah Ahmadiah, Almarhum telah memilih Ampangan Seremban sebagai pusatnya. Pada mulanya ajaran itu kurang mendapat sambutan, tetapi lama-kelamaan ajaran itu berkembang subur.

Oleh kerana keyakinan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu kepada ilmu Allah, beliau dikurniakan Allah beberapa kelebihan. Segala kelebihan dan keistimewaan yang dipunyai itu, tidak mudah dipercayai oleh orang awam. Apalagi kalau seseorang itu tidak mempunyai ilmu yang banyak serta keyakinan yang kuat kepada kekuasaan Allah.

Sebagai seorang yang mengasihi Allah, yang rindu dan sentiasa cintai Allah, melalui zikirnya, sholatnya serta gerak geri kehidupannya, maka Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu dianugerahi oleh Allah itu semua.

Antara kelebihan dan keistimewaan yang terdapat kepada Almarhum Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu ialah beberapa koramah. Misalnya beliau boleh menyelam dalam air seberapa lama yang beliau mahu, tanpa menggunakan bantuan oksigen dan sebagainya.

Pernah terjadi keganjilan ini dan disaksikan oleh orang ramai. Ketika itu beliau mahu menyemberang Sungai Kelantan tatkala di tebing sebelah bandar Kota Bharu. Kebetulan perahu (motor bot) yang hendak ditumpang itu penuh. Tuan empunya motor bot tidak membenarkan Allahyarham naik kerana takut karam apabila muatan terlebih. Menyedari itu, Allahyarham tidak jadi naik motor bot itu. Tuan empunya motor bot itu terus menghidupkan enjin dan mengemudikan motor botnya. Sesampai saja di tebing sebelah sana, alangkah terperanjat mereka melihat Sidi Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu telah pun berada di tebing itu. Rupanya sebaik sahaja motor bot itu bergerak, Sidi Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu terus terjun ke dalam sungai dan dalam sekelip mata saja beliau sudah berada di tebing sana tanpa dibasahi setitik air pun.

Satu lagi kelebihan Almarhum adalah bersahabat dengan buaya. Terdapat satu sungai di negeri Kedah yang tidak digunakan oleh sesiapa pun kerana buaya di dalam sungai itu sungguh garang. Suatu hari dalam perjalanan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu merasa letih dan mahu mandi. Beliau berhajat untuk mandi di sungai itu tetapi dilarang oleh penduduk kampung itu. Namun kerana mahu mandi juga, Allahyarham tidak mempedulikan larangan itu. Beliau terus terjun ke dalam sungai itu dan beberapa ekor buaya yang dikatakan garang mengelilinginya. Digosoknya buaya itu seekor demi seekor. Orang kampung yang tadi cemas mula kehairanan dengan melihat kejadian itu.

Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu memang menpunyai banyak kisah-kisah koramah. Satu lagi kisah yang berlaku ke atasnya ialah ketika Allahyarham dan anak muridnya sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk berdakwah. Matahari saat itu sungguh terik, menjadikan semua ahli rombongan panas dan dahaga. Air yang hendak diminum sudah tiada, apalagi kedai untuk membelinya. Salah seorang ahli rombingan itu ada membawa cerek air yang tidak berair. Melihat itu, Allahyarham mengambilnya dan meminta ahli rombingan itu berhenti rehat untuk minum air. Masing-masing berasa hairan, dari mana guru mereka itu hendak mendapatkan air. Tetapi oleh kerana Allahyarham suruh berhenti, maka masing-masing pun berhenti. Allahyarham mengambil cerek kosong itu dan lantas menuangnya seperti cerek yang berair. Air keluar dari cerek itu seperti cerek yang memang mempunyai air. Telah disaksikan oleh semua ahli rombingan itu dengan hairan sambil seorang demi seorang minum dari cerek itu.

Selain dari dikurniakan oleh Allah beberapa kelebihan dan keistimewaan yang jarang didapati oleh orang lain, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu juga merupaka seorang dari ahli kashifeen, di mana beliau boleh mengetahui sesuatu yang ghaib.

Kebolehan Allahyarham ini terbukti bila suatu ketika, tiga orang pergi berjumpa dengan Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu untuk bertanya beberapa masalah. Kebetulan saat itu waktu Maghrib tiba. Tuan Shaykh Muhammad Sa’id terus sholat berjemaah bersama tiga orang pemuda itu. Selepas berwirid dan doa, tanpa tiga orang pemuda itu mengajukan pertanyaan, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu terus menjawab soalan-soalan yang hendak dikemukakan satu persatu. Mendengar penjelasan itu, ketiga orang pemuda itu kehairanan kerana Allahyarham tahu akan soalan dan masalahnya.

Demikianlah kelebihan ilmu yang Allah kurniakan kepada kekasihnya yang mengembangkan Tariqah Ahmadiah itu.

Dalam amalan dan ajaran Tariqah Ahmadiah, Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu sangat menekankan kepada penyucian diri melalui tiga perkara –

1.selawat
2.zikrullah
3.membaca talqin khas Ahmadiah.

Penekanan kepada tiga perkara itu dalam Tariqah Ahmadiah adalah penting untuk membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah bagi membolehkan seorang itu menduduki martabat tertinggi dalam hidupnya.

Walaupun Tuan Shaykh Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu telah meninggal dunia lebih satu abad, tetapi segala ilmu yang diajar dan diturunkan kepada anak-anak muridnya terus berkembang dan diamalkan.

Berkat itu semua menyebabkan nama ulama itu masih segar dalam kepala seluruh umat Islam di negara ini, apalagi kepada mereka yang mahu menghampiri diri kepada Allah melalui ilmu hakikat dan ma’rifat.

Penerusan ilmu Allahyarham terus sambung menyambung dan kalau diibaratkan kepada sungai, ianya mengalir terus. Beberapa orang anak-anak Allahyarham serta cucu-cucunya telah mewarisi ilmu yang dimiliki beliau.

Boleh dikatakan semua anak-anak Allahyarham muncul sebagai ulama dan menjadi guru. Antara anak-anak Allahyarham yang turut menjejaki langkahnya ialah Tuan Shaykh Abdullah radhiAllahu 'anhu , Tuan Shaykh Ahmad radhiAllahu 'anhu , Tuan Shaykh Mansor radhiAllahu 'anhu, Tuan Shaykh Muhammad Nur radhiAllahu 'anhu ,Tuan Shaykh Mahdi radhiAllahu 'anhu, Tuan Shaykh Ibrahim radhiAllahu 'anhudan Tuan Shaykh Rashid radhiAllahu 'anhu. Namun, kesemuanya telah meninggal dunia. Cucu yang tertua dan terkehadapan pula adalah Tuan Shaykh Murtaza bin Shaykh Ahmad yang pada masih ini adalah Mufti Negara Kerajaan Negei Sembilan Darul Khusus.

Sumber: http://www.ahmadiah-idrisiah.com/article1.php





Manaqib Tuan Shaykh Muhamad Said al-Linggi radhiAllahu 'anhuSocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.