AL-MAKRIFAT (mengenal Allah swt)
Istilah makrifat dipakai oleh golongan ulama’ usuluddin, feqah dan tasauf. Istilah sama tetapi maksudnya berbeza dari segi percapaian dan pengalamannya.
Definisi dan maksud makrifat dalam pandangan ulama' tasauf.
Sheikh Abdus Samad Al-Palembangi berkata makrifat adalah tujuan terakhir yang ingin diperolehi oleh ulama’ tasauf, kerana perkara itu, baginya, adalah syurga, ”barangsiapa masuk akan ia(makrifat) tiada ingat ia akan syurga di akhirat“. Oleh itu, beliau berpendapat seluruh maqamat yang terdapat diperingkat mujahadah al-maqamat dikatakan sebagai “jalan yang menyampaikan kepada makrifat Allah swt.” Allah swt berfirman, Artinya, ”barangsiapa takut kepada maqam tuhan nya akan dapat dua syurga.”(al-Rahman:46)
Ahli Tafsir berpendapat yang dimaksudkan dua syurga di sini ialah syurga dunia dan syurga akhirat. Syurga akhirat (taman indah) yang akan didiami oleh orang mukmin diakhirat kelak, manakala syurga dunia ialah makrifat dengan matahati (syuhud), yang sangat lazat, sedap, manis sehingga tidak hendak lagi akan syurga akhirat itu seperti bidadari-bidadari, makanan-makanan syurga, kota-kota, mahligai-mahligai, pelayan-pelayan muda beliau dan lain-lain lagi. Begitulah seperti dikatakan tuan guru Haji Daud, Bukit Abal, syurga makrifat tersangatlah lazat dan sedapnya.
Sheikh Al-Jurjani berkata, al-Makrifat bermaksud “Mengetahui hakikat sesuatu dan tujuan kewujudan nya, ialah makrifat didahului dengan sifat al-jahil, berbeza dengan sifat al-ilm”. Oleh kerana itu dinamakan Allah swt sebagai al-‘Alim bukan al-‘Arif.
Sheikh Ibnu ‘Athaillah berkata, ”Makrifat ialah mengetahui hakikat sesuatu dari sudut zat dan sifat serta mengetahui fungsinya”
Tuan guru Haji Daud Umar, Bukit Abal, mengatakan, makrifat tasauf ialah mengenal Allah swt melalui musyahadah matahati dan bukan melalui dalil akli dan nakli.
Mereka yang telah makrifat Allah swt itu, adalah telah wusul atau sampai kepada Allah swt, kerana seorang salik yang berada di peringkat makrifat dengan matahati itu sebagai wasilan kerana wusul nya kepada Allah swt itu merupakan makrifat dengan Nya. Ibnu ‘Athaillah berkata dalam kitab Hikamnya, "sampaimu kepada Allah itu ialah sampaimu kepada keyakinan kepada Nya, atau makrifat yang sempurna terhadap Allah (sehingga bagaikan melihat). Kalau tidak demikian, maka Maha Suci Allah untuk disambong oleh sesuatu atau bersambong dengan sesuatu"
Maksud kata-kata hikmah di atas menunjukkan al-wusul, bukanlah wusul di dalam maksudnya yang zahir tetapi al-wusul membawa kepada pengertian al-tamkin (tetap), al-sukun (tenang), al-tama’ninah (tenteram) dan al-musyahadah.
Cara untuk mencapai makrifat secara musyahadah ialah, seseorang salik itu mestilah melalui peringkat pertama makrifat dengan menetapkan kewujudan Allah swt dan sifat-sifat Nya disamping mensucikan Allah swt daripada sesuatu yang tidak layak terhadapNya. Makrifat di peringkat awal lebih bersifat akliyyah kerana ia didapati dengan cara melihat kepada dalil-dalil akliyah (lojik) dan naqliyyah (hukum syarak). Selepas itu makrifat dicapai bersifat hal, ketika berlakunya syuhud al-zauki. Maka seseorang yang arifbillah itu ialah mereka yang disaksikan oleh Allah zat, sifat, asma’ dan af’al Nya. Makrifat ahli tasauf tidak bersandar kepada akal tetapi bersandar kepada zauki.
Sasaran utama makrifat Allah swt ialah Zat Ilahiah (Zat Allah) samada dari sudut sifat, asma’ (nama-nama) dan af’al Nya, seterusnya apa juga yang ada kaitan dengan zat ilahiyyah. Makrifat Allah swt dari sudut ilmu tasauf adalah sesuatu yang amat sukar dan rumit untuk diketahui secara detil tentang kedudukan maudu’ nya. Terutama bagi mereka yang tidak beramal dengan amalan tarekat sufi. Ini kerana setiap hakikat yang terbuka kepada seorang salik ketika sedang berkhalwat atau berwirid dengan auradul tarekat, merupakan bersifat zauki dan mukasyafah.
Bukti dari al-Quran yang menunjukkan zauki ini wujud dan dikurnia kepada ahli suluk dan ibadah ada dalam surah al-Anfal, ayat 2, yang bermaksud, “Sesunggohnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah swt.gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menambahkan bagi mereka keimanan dan kepada tuhan merekalah, mereka berserah diri.”
Dari maksud firman Allah swt itu, menunjukkan terdapat perbezaan hati seorang mukmin dengan yang lain nya dalam memahami makrifat. Bila ada zauk, apabila disebutkan kepada mereka tentang Allah (zat, sifat, af’al), barulah gementar hati nya. Sedangkan ada dikalangan umat manusia yang tidak merasa gementar sekali pun disebutkan kepada mereka tentang Allah. Ini membuktikan zauk seorang salik yang arif itu tidak dapat dikongsi di dalam memahami sesuatu hakikat yang terbuka kepada nya. Begitu juga, jika kita tidak ada apa-apa perasaan (zauk) terhadap seorang wanita itu, tentulah rasa cinta terhadap nya tidak akan muncul. Oleh itu, jika ada zauk barulah gementar hati seseorang itu, apabila disebut nama Allah swt. Itulah, buktinya.
Makrifat terhadap Allah swt telah wujud sejak semulajadi (fitrah) lagi. Allah swt berfirman, Artinya, ”Dan (ajarlah wahai Muhammad) ketika Tuhan mu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari tulang belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Ia bertanya dengan firman Nya): “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab ”Benar (Engkaulah Tuhan kami). Kami menjadi saksi yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak” sesunggohnya kami adalah lalai (diberi peringatan) tentang hakikat tauhid ini.” (al-‘Araf:172)
Ruh yang diciptakan oleh Allah swt telah pun mengaku rububiyyah dan uluhiyyah Allah swt.
Sheikh Ibnu ‘Athaillah berkata, dalam kitab Hikam nya, “Allah memperlihatkan zat Nya kepada mu, sebelum Ia menuntut kepada mu harus mengakui kebesaran Nya, sehingga nyata mengakui ketuhanan Nya, segala makhluk yang lahir dan nyata hakikat keesaan Nya di dalam hati dan sir perasaan”
Dari kata-kata hikmah itu, nyatalah ruh pada asal nya, telah mendapat makrifat dari Allah swt. Ini disebabkan ruh nya adalah suci bersih sehingga Allah menunjukkan (tajalli) kebesaran, kehebatan dan kesempurnaan wahdaniyyah Nya kepada setiap ruh yang diciptakan Nya.
Makrifat manusia terhadap Allah swt yang telah dialami semenjak di alam arwah itu boleh menjadi terlupa dan terhijab dengan sifat-sifat kemanusiaan yang terdapat pada diri seorang yang salik dan dosa-dosa yang mereka lakukan. Ruh berasal dari alam arwah, seni, halus, bebas dan cemerlang. Setelah dimasukkan kedalam jasad, maka ia menjadi terlupa kerana memasuki jasad yang gelap, terbelenggu dan kasar. Untuk mengingatinya kembali, seorang itu perlu bermujahadah bagi membersihkan hati nya, seperti firman Nya, “Dan orang yang berkerja keras didalam ugama kami, sesunggohnya kami akan pimpin mereka dijalan-jalan kami dan sesunggohnya Allah berserta orang-orang yang berbuat kebaikan.”(al-Ankabut:69)
Allah swt akan mengajar manusia, setelah manusia itu bersunggoh melaksanakan ugama Allah swt dengan jalan diperkenalkan Diri Nya, kepada manusia itu. Sila rujuk surah Albaqarah, ayat 282 sebagai bukti nya. Allah swt akan mengajar manusia, jika ia bertakwa. Itu janji Allah swt.
Rujukan:
MUHAMMAD HIZAM AL-AHMADI IDRISI. Soal jawab ILMU TASAUF & TAREKAT.
0 comments:
Post a Comment