Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: FENOMENA TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM ERA MASA KINI


Search This Blog

FENOMENA TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM ERA MASA KINI

.
Sesungguhnya, pada dekad mutakhir ini banyak tohmahan yang dilemparkan terhadap tasawwuf, sama ada daripada kelompok aliran sekular mahu pun individu yang hidup dipasung kebendaan. Berlandaskan kepada keadaan ini, mereka memandang dan menganggap bahawa tasawwuf hanya menyeru kepada sikap negatif, pesimis, malas, meminggirkan diri dan sebagainya.

Terjahan aliran pemikiran moden, sedikit demi sedikit telah merenggut dan mengheret umat Islam jauh daripada roh Islam. Fenomena ini, menjadikan golongan yang terjebak merasa terasing dengan Islam yang hakiki dan secara tidak langsung, jadilah Islam yang sebenar itu asing pada mereka. Islam tidak lagi dilihat sebagai jalan terbaik untuk memandu kehidupan yang sempurna.

Natijahnya, terlalu ramai di kalangan ahli masyarakat yang telah berada jauh dari agama. Perkataan tasawwuf dan sufi menjadi suatu benda yang asing dan ganjil. Mereka melihat kehidupan melalui kacamata madiyyah (kebendaan) semata-mata.

Ahli sufi meyakini bahawa seseorang manusia tidak akan dapat keluar dari penjara kebendaan, melainkan dengan kembali kepada kejernihan hati, kemantapan rohani dan nilai-nilai positif lain; yang menjadi bahan pentarbiahan ahli sufi kepada anak-anak murid mereka selama ini.

Tasawwuf berpegang kepada roh agama dan permata aqidah. Bersesuaian dengan perkara tersebut, Dr. Sa’duddin Sayyid Soleh menulis suara hatinya Musykilaat al Tasawwuf al Mu’asar, di dalam kitabnya

Kami amat memerlukan kepada tasawwuf Islam yang terbit dari al-Quran dan Sunnah, terutamanya pada zaman materialistik ini; yang melazimkan kita menghadapinya dengan pemikiran yang lebih cenderung kepada tuntutan rohani daripada tuntutan jasmani.


Keperluan kepada tasawwuf :

1. Menularnya gaya pemikiran dan tabiat mementingkan kebendaan dalam kehidupan manusia. Seseorang tidak akan dapat keluar dari kemelut ini, melainkan jika dia menghadapinya dengan gaya pemikiran sebaliknya, di samping memperkuatkan rohani, memantapkan suluk dan merebahkan keinginan syahwat dengan jalan tasawwuf dan suka untuk melakukan ketaatan agama.

2. Tasawwuf mengamalkan konsep kejernihan dan kesucian hati dari sebarang kekotoran serta menggalakkan individu menghiasi diri dengan perhiasan akhlak yang mulia dan mujahadah melawan nafsu.

3. Sesungguhnya, 90% daripada umat Islam dalam beberapa kurun yang lalu mempunyai hubungan yang rapat dengan tasawwuf dan ahlinya. Penumpuan terhadap tasawwuf sama ada dengan belajar atau mengadakan hubungan dengan ahlinya akan menyampaikan seseorang murid kepada persekitaran dan kedudukan yang tidak mampu dicapai oleh orang lain.

4. Sistem pentarbiahan Islam amat dituntut dan diperlukan pada masa kini. Tidak disyaki lagi, bahawa ahli sufi merupakan orang yang berpengalaman dalam arena pentarbiahan, sebagaimana tasawwuf yang mampu memainkan peranan membentuk seorang Muslim yang sempurna dalam setiap aspek.

Malah pada zaman ini, peranan tasawwuf amat penting dalam mendepani arus materialistik. Sejajar dengan itu, Ustaz Said Hawwa mengemukakan di dalam kitabnya Tarbiyatuna al Ruhiyyah H:13 dengan katanya:

Sesungguhnya zaman kami ini adalah zaman kesyahwatan, kerosakkan dan kebendaan yang mesti dibanteras denan alternatif yang lain. Dengan tegasnya saya menyatakan sesungguhnya hanyalah pentarbiahan tasawwuf yang boleh dijadikan alternatif untuk mengatasi permasalahan ini. Syahwat tidak akan dapat dibanteras dengan nasihat atau kata-kata sahaja, tetapi ia mesti dibanteras dengan penampilan sikap, persekitaran yang baik dan pentarbiahan. Manakala kecintaan kepada kebendaan tidak akan dapat dipadamkan dengan kata-kata sahaja tetapi hendaklah dipadamkan dengan perasaan dan kemanisan iman. Penderhakaan dan pelampauan tidak dapat diubati hanya dengan kata-kata tetapi ia dapat diubati dengan merendahkan diri kepada Allah, ketaqwaan, kewara’an dan adab. Inilah jalan amali (praktikal) iaitu tasawwuf.


Pengertian Tasawwuf

Al-Sya’rani mendefinisikan tasawwuf sebagai ”Ilmu yang terbit di dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan al-Quran dan al-Sunnah. Sebagaimana ilmu yang terbit daripada ulama-ulama fiqh, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menerbitkan pelbagai ilmu, adab-adab, rahsia-rahsia, dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan, dengan syarat jika amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak-kehendak hawa nafsu”.

Definisi ini timbul sebagaimana wujudnya definisi ilmu. Ianya hanya terbit selepas pesatnya perkembangan ilmu Islam, cabang-cabang dan rangkaiannya.

Tasawwuf itu adalah seperti amalan. Perkembangannya seiringan dengan Islam kerana ia umpama intipati dan hakikat sebenar Islam. Tasawwuf adalah menepati maqam ihsan. Hal ini berdasarkan hadis :

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّـهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ: بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوْسٌ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللَّـهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لاَ يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلاَ يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ، حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّـهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، أَخْبِرْنِي عَنِ الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّـهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الإِسْلاَمُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهِ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَتُقِيْمَ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيْلاً. قَالَ: صَدَقْتَ. فَعَجِبْـنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِيْمَانِ. قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ، وِتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ. قَالَ: صَدَقْتَ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ. قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّـهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ. قَالَ: مَاالْمَسْؤُوْلُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا. قَالَ: أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُوْنَ فِي البُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ، أَتَدْرِي مَنِ السَّائِلُ؟ قُلْتُ: اللَّـهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِيْنَكُمْ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ

Daripada Saidina Umar r.a. beliau berkata, ”Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah s.a.w. Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah s.a.w. dan meletakkan dua tapak tanganya di atas dua peha Rasulullah lantas berkata, ”Wahai Muhammad! Ceritakan kepadaku tentang Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika kamu mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata, benarlah kamu! Kami merasa hairan terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.


Lelaki itu berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang iman. Baginda s.a.w. bersabda, bahawa kamu beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari Qiamat dan kamu beriman dengan Qadar baik dan buruk-Nya. Lelaki itu berkata, Benarlah kamu!

Dia berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang ihsan. Baginda s.a.w. menjawab, Bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu”.

Lelaki itu berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang qiamat. Baginda menjawab: ”Tidaklah orang yang ditanya mengenainya (Qiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak mengetahui tentang bila berlaku Qiamat).

Lelaki itu berkata lagi; ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda menjawab, apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan. Kemudian lelaki itu pun pergi. Maka akupun menunggu beberapa ketika. Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, wahai Umar! Tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu? Aku menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu”.(Riwayat Muslim)

Maqam Ihsan di dalam hadis inilah yang menjadi perhatian dan diterjemahkan secara praktikal oleh golongan tasawwuf. Ini kerana tasawwuf menghidupkan semangat muhasabah diri di dalam jiwa setiap manusia sehinggalah mereka dapat beramal dengan ikhlas kerana Allah. Semangat muhasabah diri ini difahami daripada ayat al-Quran berikut:

Yang bermaksud : Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(Surah an-Nahl : 128)

Yang bermaksud : Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya (Surah al-Kahfi : 30)


Juga daripada firman Allah s.w.t.

Yang bermaksud : (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.(Surah al-Baqarah : 112)

Yang bermaksud : Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Luqman:22)

Hadith ini juga menjelaskan tentang penetapan rukun dalam agama. Berikut diterangkan, ketiga-tiga rukun agama tersebut :

1.Rukun Islam
Berhubung dengan aspek amalan iaitu amal ibadat, mu’amalat dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan pengabdian (ubudiyyah) kepada Allah yang dilakukan oleh anggota jasad yang zahir. Ulama’ telah mengistilahkannya sebagai syariat. Ahli profesional bidang ini terdiri dari kalangan penghulu ahli Feqah.

2.Rukun Iman
Berkaitan dengan aspek i’tiqad hati iaitu beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Akhirat, Qadha’ dan Qadar. Ahli profesional dalam bidang ini ialah penghulu ulama’ Tauhid.

3.Rukun Ihsan
Berkaitan dengan aspek roh hati, iaitu : Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka sekiranya kamu tidak melihatNya, maka Allah memandang kamu.

Al Harawi (wafat 481 H) berkata di dalam kitabnya Manazil al Saairin, bahawa hadith di atas menghimpunkan intipati konsep yang terdapat di dalam mazhab tasawwuf ini.

Al- Hafiz Ibnu Qayyim al Jauziyyah (691 H – 751 H) mensyarahkan perkataan al Harawi di atas dengan katanya: Asal tariqat ialah untuk menyempurnakan makrifat, melazimkan muraqabah kepada Allah dalam setiap gerak geri, hembusan nafas dan langkah sehingga hati dikuasai oleh kebenaran dan terputus darinya segala hubungan keduniaan.

Dari sini, dapat difahami bahawa Ihsan mengandungi dua maqam; iaitu maqam muraqabah dan maqam musyahadah. Di dalam hadith di atas, maqam musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka Allah memandang kamu). Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan maqam musyahadah melebihi maqam muraqabah.

Tasawwuf diasaskan berdasarkan mengikut prinsip-prinsip tertentu yang perlu dipegang oleh setiap murid sehingga matlamat yang ingin dituju itu tercapai, prinsip-prinsip itu ialah :
1.Perjanjian (al-’Ahd)
2.Mengikut Pimpinan Syeikh
3.Persaudaraan
4.Zikir

Rujukan;
1.Tafsir Al-Quran dan Hadis
2.Kitab Hubungan Tasawwuf Dengan Sunnah
Oleh : Al-Faqir ilallah al Ghani Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki
3.Buku Prinsip-Prinsip Tasawwuf Islam
Karangan Sheikh Abdul Hafiz Faraghli Ali Al-Qarani

Dipanjangkan oleh;
(YB. DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD)
Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus.
22 J.Awal, 1429 / 28 Mei, 2008

Sumber: www.muftins.gov.my
FENOMENA TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM ERA MASA KINISocialTwist Tell-a-Friend

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.