Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS


Search This Blog

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS

Tarekat dari sudut bahasa bermakna jalan. Di dalam al-Quran, kalimah tarekat ini disebut beberapa kali sahaja. Antaranya dalam surah al-Jin ayat 16 yang bermaksud: “ Dan sekiranya mereka istiqamah diatas tarekat ini (agama Islam) nescaya kami akan kurniakan mereka air yang melimpah ruah (kebaikan zahir dan batin yang terlalu banyak)”.

Semua ahli tafsir menafsirkan kalimah at-tariqah yang tersebut dalam surah al-Jin diatas dengan makna al-Islam.

Tarekat tasawuf juga mempunyai makna yang sama. Yang membezakan antara kedua-duanya ialah istilah tarekat dalam surah al-Jin itu bersifat umum manakala tarekat tasawuf bersifat khusus. Tarekat yang umum hanya didasarkan kepada dua asas sahaja iaitu beriman kepada rukun iman yang enam dan melakukan amalan soleh yang diasaskan kepada rukun Islam yang lima.

Tarekat dalam tasawuf adalah jalan syariat agama Islam yang khusus kerana ia didasarkan kepada tiga syarat iaitu:

1. Beriman kepada rukun iman yang enam.
2. Beramal soleh berasaskan rukun Islam yang lima.
3. Berzikir terus menerus sehingga hati menjadi mutmainnah.

Ketiga-tiga syarat tersebut disebutkan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:“ Mereka adalah orang-orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

Kaedah mempelajari tarekat tasawuf dan mengamalkannya juga dilakukan secara khusus, dengan syarat-syarat yang khusus, melalui tahap-tahap yang khusus, ada pimpinan yang khusus dengan tujuan yang khusus dan sebagainya lagi. Oleh itu, orang yang beramal dengan tarekat yang khusus dapat menjalani ketiga-tiga asas agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Maka berbezalah tarekat tasawuf yang bersifat khusus ini dengan tarikat yang umum, iaitu jalan syariat agama Islam yang biasa diamalkan oleh orang ramai. Tarekat atau jalan syariat agama Islam yang umum tidak terikat dengan berbagai syarat seperti yang disebutkan diatas. Oleh kerana itu, semua orang Islam bertarekat iaitu dengan tarekat yang umum. Mereka hanya dapat menghayati dua asas dari tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman sahaja. Mereka tidak dapat menghayati Ihsan melainkan mereka belajar dan beramal dengan tarekat tasawuf.

Sifat khusus tarekat dalam tasawuf dapat kita lihat lebih jelas dalam definisi yang diutarakan oleh Syeikh Mohammad Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya Al-Syari’ahWa Al-Tariqah. Katanya: “Tarekat ialah jalan (syariat agama Islam) yang membolehkan seseorang mukmin sampai ke darjat Ihsan. Tanpa tarekat yang khusus ini seorang mukmin biasanya tidak akan sampai ke darjat Ihsan, kecuali bila dapat Inayah Allah secara khusus”.

Kesimpulannya, tarekat tasawuf adalah satu kaedah atau satu aliran atau satu madrasah mujahadah golongan sufiyyah yang teratur, tersusun dan terpimpin yang membolehkan tercapainya darjat Ihsan. Ianya mempunyai berbagai prinsip. Antaranya, mesti ada syeikh mursyid, berbaiah dengan guru dan ditalkinkan oleh guru, adanya suhbah (hubungan yang erat dengan guru), ada zikir dan tafakkur, melakukan uzlah dan khalwat, ada himmah yang tinggi, bertaqwa, mencari ilmu, menjaga adab yang ditentukan dan sebagainya.

( TG Dr Hj Jahid Hj Sidek )

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUSSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.