Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Antara Para Fuqaha’ dan Golongan Sufi


Search This Blog

Antara Para Fuqaha’ dan Golongan Sufi

.
Dalam sastera Islam terdapat banyak pembahasan di antara golongan fuqaha dan ahli Sufi. Akan kita dapati pada hakikatnya, kebanyakkan dari pembahasan mereka akan berakhir dengan pengakuan golongan fuqaha ini terhadap jasa-jasa golongan sufi. Antaranya yang dapat kita saksikan adalah seperti berikut:

Pertama, dari Imam Asy-Syafi’I ra., katanya: “Aku bertemankan dengan orang-orang dari golongan sufi dan mengambil dua kalimat dari mereka, iaitu: Apabila dirimu tidak disibukkan dengan kebenaran, nescaya ia akan disibukkan dengan kebatilan, dan waktu itu laksana pedang, sekirannya engkau tidak memotongnya, maka dia akan memotongmu.”

Sedangkan Imam Ahmad bin Hanbal ra. mewasiatkan kepada puteranya agar menemui orang-orang sufi pada masanya. Dikatakan olehnya, “Sesungguhnya mereka itu mencapai, di dalam keikhlasannya, maqam yang tidak kau capai.”

Kedua, dikatakan bahawa Daud Ath-Tha-i mengikuti tasawuf kerana ucapan Imam Abu Hanifah ra. kepadanya, iaitu setelah dia belajar fiqh kepada Abu Hanifah, “Wahai Abu Sulaiman (julukan Daud Ath-Tha-i), dalam hal penyampaian, kita sudah selesai.” Kata Daud, “Lalu apa yang tersisa, ya sayyidi?” Imam Abu Hanifah ra. menjawab, “Pengalamannya.” Maka Daud melakukannya dengan penuh semangat melalui bimbingan Al-Jadd, dan tasawufnya melalui Khubaib Al-‘Ajami.

Ketiga, diriwayatkan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal ra. sedang berada di majlis Imam Asy Syafi’i ra. ketika datang Syaiban Ar Ra’i. Berkata Imam Ahmad, “Wahai Abu ‘Abdullah, aku ingin mengingatkan orang ini tentang kurangnya ilmunya, agar dia berusaha untuk menimba beberapa ilmu.” Imam Asy Syafi’i berkata, “Jangan lakukan itu!” Namum Imam Ahmad belum puas, sehingga ia bertanya kepada Syaiban, “Bagaimana pendapatmu tentang seseorang yang melupakan solat lima waktu dalam waktu sehari semalam dan tidak mengetahui mana yang dilupakannya dari yang diwajibkan atas dirinya, Syaiban?” Maka Syaiban menjawab, “Wahai Ahmad, itulah dia hati yang lalai terhadap Allah, sehingga wajiblah dia belajar agar tidak melupakan Tuhannya lagi!” Mendengar itu, Imam Ahmad jatuh pingsan sejenak. Setelah sedar kembali, Imam Asy Syafi’i berkata kepadanya, “Bukankah aku sudah katakan, jangan kau lakukan demikian?”

Syaiban Ar Ra’i termasuk golongan sufi yang ummi. Kalau keadaan yang ummi sahaja seperti itu, bagaimana pula dengan para pemimpinnya?

Keempat, dikisahkan bahawa seorang tokoh faqih yang serupa sekali dengan Asy Syibli di Jami’ Al Manshur. Dikatakan bahawa si faqih biasa dipanggil dengan sebutan Abu ‘Imran, dan pelajaran mereka terhenti kerana kata-kata Asy-Syibli.

Pada suatu hari sahabat-sahabat Abu ‘Imran bertanya kepada Asy-Syibli tentang soal haid. Tujuan mereka adalah untuk memalukannya. Mereka menyebut beberapa perkataan dalam pembahasan itu dan perbezaannya. Maka berdirilah Abu ‘Imran. Diciumnya kepala Asy-Syibli seraya berkata, “Wahai Abu Bakar, beruntunglah dalam soal ini Anda mengemukakan sepuluh kalimat yang belum pernah kudengar. Dari kalimat-kalimat yang kau katakan itu, aku hanya mengetahuinya tiga kalimat sahaja.”

Kelima, seorang faqih bernama Abu’l ‘Abbas bin Suraij menghadiri majlis Al Junaid ra. dan mendengar ucapan-ucapannya. Kemudian dia bertanya kepada Al-Junaid, “Bagaimana pendapatmu tentang perkataan seperti ini?” Al-Junaid menjawab, “Aku tidak tahu apa yang dikatakan, tetapi ku lihat perkataan itu memiliki gema yang bukan gema suara orang yang bathil.”

Keenam, dikatakan kepada ‘Abdullah bin Sa’id bin Kilab, “Engkau adalah orang yang mampu berbicara dengan orang ramai. Di sini ada seseorang yang bernama Al-Junaid. Cubalah kau lihat apakah engkau dapat melawan dia atau tidak.” Maka orang itu datang di majlis ilmu Al-Junaid dan menanyakan soal tauhid kepadanya. Setelah dijawab, ‘Abdullah bin Sa’id menjadi hairan dan berkata, “Cuba ulangilah apa yang kau katakana.” Al-Junaid mengulangi jawapannya, tetapi tidak seperti yang pertama. Kata ‘Abdullah, “Ini adalah suatu yang lain yang tidak kuhafal. Ulangilah sekali lagi.” Al-Junaid mengulanginya tetapi dengan cara yang lain lagi. Maka berkatalah ‘Abdullah, “Tidak mungkin aku menghafal apa yang kau katakan. Jelaskanlah kepada kami.” Al-Junaid berkata, “Kalau engkau menggolongkannya, aku akan mencatitkannya.” ‘Abdullah berdiri dan mengakui keunggulan serta ketinggian nilainya.

Ketujuh, pernah terjadi perdebatan yang indah antara seorang faqih bernama Ibnu Basyar dengan Imam Asy-Syibli dari golongan sufi. Ibnu Basyar dan kawan-kawannya dari kalangan fuqaha’ menolak golongan sufi pada zaman itu, termasuk di dalamnya Asy-Syibli. Pada suatu kesempatan, Ibnu Basyar menjumpai Asy-Syibli dan membahas sesuatu daripada ilmu. Apabila bertemu, Ibnu Basyar bertanya, “Berapa yang ada di dalam seekor unta?” Asy-Syibli cuma diam sahaja, sehingga Ibnu Basyar mengulangi pertanyaannya. Akhirnya Asy-Syibli bertanya lagi, “Apakah yang kau maksudkan itu zakatnya?” Dia menjawab, “Benar.” Maka berkatalah Asy-Syibli, “Yang diwajibkan oleh syari’at ialah satu ekor kambing, dan yang diharuskan atas orang seperti kita ialah seluruhnya.” Ibnu Basyar bertanya kembali, “Apakah engkau mempunyai contoh tentang hal itu?” Jawab Asy-Syibli, “Ya. Abu Bakar As-Siddiq. Dia mengeluarkan seluruh hartanya pada jalan Allah.” Ketika Rasulullah saw. Bertanya, “Apa yang kau tinggalkan untuk keluargmu?” Dia menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.” Maka pulanglah Ibnu Basyar kepada teman-temannya bersama fuqaha’ dengan raut wajah yang berbeza. Dia berkata kepada mereka “Ternyata golongan sufi telah membawa kebaikan seluruhnya, sedangkan kita membuang sia-sia usia kita dalam perdebatan.”

Kelapan, Imam Asy-Sya’rani mengisahkan sebuah cerita lucu. Konon seorang faqih bernama Ibnu Suraij mengingkari Imam Abu’l Qasim Al-Junaid. Kepada Al-Junaid, dia berkata, “Tarekat kami melahirkan ahli-ahli dalam fiqh dan membawa kami jalan yang paling dekat kepada Allah daripada tarekat kamu, iaitu yang dituju oleh orang-orang sufi.” Al-Junaid berkata, “Engkau harus membawa bukti tentang hal itu.” Kata Ibnu Suraij, “Engkaulah yang harus membawa kami bukti.” Maka berkatalah Al-Junaid, “Hai fulan, pungutlah batu itu lalu lemparkanlah ketengah-tengah golongan orang-orang fakir.” Setelah batu dilemparkan, orang-orang fakir itu berseru, “Allah… Allah… Allah…!” Kemudian Al-Junaid berkata lagi, “Sekarang lemparkan batu itu ketengah-tengah golongan fuqaha’.” Setelah batu dilemparkan, maka para fuqaha’ itu berteriak, “Haramlah kamu! Buat kami terperanjat sahaja!” Ibnu Suraij bangun lalu mencium kepala Al-Junaid serta mengakui keutamaannya. Maka Al-Junaid berkata kepadanya, “Sebenarnya pada diri kamulah keutamaan itu, sebab pokok dasar tarekat kami adalah ilmu yang ada pada kamu.” Namun Ibnu Suraij menjawab, “Bukan, kamulah yang lebih utama. Kamu menambah bagi kami kebaikan mu’amalah dengan Allah.”

Berita-berita tentang golongan sufi seperti ini sangat banyak. Untuk pembahasan kita, cukuplah sampai disini.
Antara Para Fuqaha’ dan Golongan SufiSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.