Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Mengenai sambutan Hol


Search This Blog

Mengenai sambutan Hol

.
Surat yang dikirimkan oleh Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim al-Rasyid kepada muridnya Shaykh Ismail al-Bilyah ada mengandungi beberapa penerangan mengenai persoalan amalan Tariqat Ahmadiah [1].

Antaranya adalah satu kupasan yang padat mengenai sambutan Hol. Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim ar-Rasyid telah menulis :

“… majlis hol ini merupakan amalan yang dikerjakan oleh penduduk Hijaz [2]. Sedangkan setiap manusia yang mengadakan majlis ini adalah untuk memberikan sedekah kepada orang yang telah mati selepas setahun demi setahun kematiannya. Majlis ini tidak diadakan melainkan kerana kasihnya seseorang kepadanya dan kami pula, tidak ada seorang pun yang lebih kami kasihi daripada Sayyid Ahmad ibn Idris [3].

Kelebihan bagi orang yang mengadakan majlis hol ini dan orang-orang yang datang membantu dan penyebab terjadinya majlis ini, di sisi Allah tidak terkira pahalanya. Kelebihannya juga tidak boleh dimuatkan di dalam kitab-kitab, tidak boleh tejangkau oleh akal melainkan dengan keimanan kepada Allah.

Orang yang mengadakan majlis hol ini pula, pada sisi Sayyid Ahmad ibn Idris , seolah-olah telah berbudi kepadanya. Ahlullah adalah orang yang mempunyai maruah dan kemuliaan yang tinggi. Mereka akan membalas kebaikan kepada orang-orang yag melakukan kebaikan kepada mereka dengan berlipat kali ganda mengikut maqam kedudukan mereka.

Sesiapa yang melakukan suatu sunnah yang baik, maka diberikan balasan baginya dan balasan bagi orang-orang yang beramal dengannya hingga hari Kiamat ...”

Memperingati kewafatan adalah sesuatu perkara yang Rasulullah sendiri telah melaksanakan. Baginda telah menziarahi perkuburan isteri, bapa saudaranya dan ibubapanya secara rutin. Imam Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah menziarahi perkuburan syuhada Uhud tiap-tiap tahun secara rutin – “ ‘ala ra’si kulli hawl”. Juga diriwayatkan oleh Imam Baihaqi bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya pada setiap hari Jumaat, diampunkan baginya dan dia dicatat sebagai anak yang berbakti. - (Man zaara qabra abawayhi aw ahadihima fi kulli Jumu`ah, ghufira lahu wa kutiba barran) [4]. Maka tidak diduga bahawa Rasulullah sendiri adalah yang paling layak sebagai anak yang paling berbakti. Juga, al-Bazzar meriwayatkan bahawa Rasulullah menziarahi Jannat al-Ma’la di Mekkah di mana terletaknya perkuburan Saiyidatina Khatijah dan Baginda telah ungkapkan : “Ni’ma al-maqbarah Hadhihi”.

Imam Ja’afar as-Sodiq meriwayatkan daripada sanadnya daripada al-Hassan bin ‘Ali bahawa Saiyidatina Fatimah (anak Rasulullah ) sering menziarahi kubur bapa saudaranya Saiyidina Hamza bin ‘Abd al-Mutalib pada setiap hari Juma’at, di mana beliau telah menandakan kuburnya dengan sebuah batu supaya dapat dikenalinya, dan di sana beliau berdoa dan menangis [5].

Menurut Tuan Shaykh Sayyid Soleh al-Ja’afari , hol adalah sesuatu ibadat yang berkaitan dengan sedekah-sedekah yang dihadiahkan kepada orang yang telah mati. Dan mengikut segolongan besar ulama, sedekah sebegini sampai kepada orang mati pada bila-bila masa.

Saiyyiduna Sa’ad telah sedekahkan kebunnya dengan maksud menghadiahkan pahalanya kepada ibunya yang telah meninggal dunia. Maka Rasulullah telah memperakui perbuatannya itu dan menyuruh Sa’ad bersedekah air untuk dihadiahkan pahalanya kepada ibunya [6]. Perkara ini telah disyarahkan oleh Shaykh Habibullah al-Syanqiti di dalam kitabnya Zad al Muslim.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis tatkala Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam suasana aman. Baginda bersabda : “ Ia adalah sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Maka terimalah sedekahnya.” [7]. Al-Qurtubi mengatakan : “Asal kepada bab ini ialah sedekah yang tidak ada pertikaian pendapat dikalangan ulamak. Sebagaimana pahala sedekah sampai kepada si mati maka begitu jugalah pahala membaca al-Qur’an sampai kepada si mati. Ini kerana semua itu termasuk dalam erti kata sedekah. Sedekah bukan terbatas kepada harta benda sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah ketika Baginda ditanyakan tentang solat qasar dalam keadaan aman.”

Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepada si mati beserta dalilnya)[8] mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…”

Shaykh Ibn Taimiyyah mengatakan [9] : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau,“ Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya”

Mengenai ungkapan Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim al-Rasyid ,

“… tidak ada seorang pun yang lebih kami kasihi daripada Sayyid Ahmad ibn Idris …”,

Tuan Shaykh Sayyid Soleh al-Ja’afari menerangkan bahawa ini adalah perkataan yang baik dan benar. Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim al-Rasyid tidak keseorangan di dalam perkara ini, kerana ia turut diperkatakan oleh Sayyid Uthman al-Mirghani , Sayyid Muhammad ibn Ali al-Sanusi , Shaykh Muhammad ibn Sulaiman al-Ahdal (Mufti Zabid, Yaman) dan diperkatakan juga oleh orang-orang yang pernah mengambil tariqah daripada Sayyid Ahmad ibn Idris dan orang yang pernah mengambil wiridnya hingga hari ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

[1] Dirumuskan daripada manaqib Sayyid Ibrahim Al Rashid karangan Shaykh Muhammad Fuad bin Kamaludin, cetakan kedua 2004, ABNAK Productions.
[2] Penduduk Hijaz menyambut ulang tahun kewafatan seseorang dengan bersedekah. Pahala sedekah tersebut dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Manakala di Mesir pula, mereka menyambut hari ulang tahun kelahiran seseorang wali (bukan ulang tahun kewafatannya), namun tujuannya adalah sama.
[3] Sebenarnya ungkapan itu bermaknanya : Tidak ada yang lebih kami kasihi selepas Allah, Rasulullah dan ahli baitnya serta sahabat-sahabatnya daripada Sayyid Ahmad ibn Idris.
[4] Al-Bayhaqi also narrated in Shu`ab al-Imaan (6:201 #7901)
[5] Narrated by al-Hakim (1990 ed. 1:533, 3:30) who declared its chain sound, al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra (4:78), and Ibn `Abd al-Barr in al-Tamhid (3:234). `Abd al-Razzaq in his Musannaf (3:572) sebagai riwayat munqati’ di mana Ja’afar bin Muhammad daripada bapanya tanpa menyebut al-Hassan
[6] Hadith ini terdapat di dalam kitab al Muwatta’, Sahih Bukhari dan lain-lain lagi.
[7] Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim, hlm 478 juz 1
[8] Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159
[9] Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324

Sumber: http://www.ahmadiah-idrisiah.com
Mengenai sambutan HolSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.