Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Benci Dengan Maksiat, Bukan Dengan Pembuat Maksiat


Search This Blog

Benci Dengan Maksiat, Bukan Dengan Pembuat Maksiat


Tertarik dengan ucapan yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah Habib Ali al-Jifri hafizahullah berkenaan “Pandangan” . Saya terfikir kalau semua orang dapat amalkan seperti apa yang disampaikan oleh Syaikhuna al-Allamah sudah tentu akan wujudnya berbaik sangka dan berlapang dada dengan semua orang.

Kisah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israel yang tidak pernah melakukan maksiat selama hampir 500 tahun . Hebatnya beliau sehingga bilamana berjalan di bawah terik matahari maka beliau akan dilindungi awan. Namun disebabkan ada rasa takabbur di dalam diri bilamana bertemu dengan seorang ahli maksiat. Maka nikmat tersebut terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut. Mengapa boleh terjadi sedemikian? Ya, hanya kerana si lelaki ahli maksiat tersebut punya rasa rendah diri bilamana bertembung dengan ahli ibadah tersebut. Rasa tidak layak bilamana dirinya yang hina bertembung dengan seorang abid yang mulia. Manakala si abid, merasa jijik bilamana bertembung dengan ahli maksiat tersebut. Disebabkan sisi pandangan yang berbeza antara satu sama lain, maka ini menyebabkan nikmat yang Allah taala berikan kepada si abid iaitu dilindungi awan setiap kali berjalan terus berpindah kepada si lelaki ahli maksiat tersebut.

MasyaAllah, inilah sari pati ilmu Tasawuf yang diperjuangkan oleh para ulama Ahlusunnah Wal Jamaah. Tidak merasakan diri lebih daripada orang lain. Tidak merasakan bahawa hanya diri ini yang layak masuk ke Syurga Allah taala. Bilamana melihat seseorang yang tergelincir daripada jalan Allah taala, terus ditempelak dan dicaci maki zat si pembuat maksiat tersebut. Seolah-olah si ahli maksiat sudah tidak punya peluang untuk bertaubat. Kekadang lupa, kemungkinan orang yang kita caci maki kerana maksiat yang dilakukan olehnya mungkin bisa menjadi seorang yang lebih baik daripada si pencaci. Allah taala berhak membolak-balikkan hati seseorang.

BENCI MAKSIAT, BUKAN SI PEMBUAT MAKSIAT

Ini yang perlu ada pada seorang muslim yang sejati. Kita membenci maksiat dan kesalahan yang dilakukan bukannya zat pembuat maksiat tersebut.
Perumpamaannya mudah:

“ Kita membenci bau busuk pada bangkai tersebut, bukannya pada bangkai itu sendiri. Ya kemungkinan bangkai tersebut adalah binatang peliharaan yang paling kita sayangi sebelum rohnya dicabut. Namun bilamana rohnya sudah dicabut, serta berlalunya waktu tertentu menyebabkan mayat tersebut berubah baunya menjadi busuk. Adakah dengan sebab bau busuk pada bangkai tersebut menyebabkan kita terus mencaci maki binatang kesayangan kita sendiri?”

Ya begitu juga dengan maksiat. Kita ibaratkan ianya sebagai bau busuk yang ada pada seseorang. Bau busuk tidak akan hilang jika semua hanya pandai mencai maki semata-mata. Namun apa yang sepatutnya kita lakukan adalah dengan menunjukkan kepada seseorang yang punya bau busuk tersebut cara yang terbaik untuk mengeluarkan dirinya daripada bau busuk itu.

Dipetik dari ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah.
Benci Dengan Maksiat, Bukan Dengan Pembuat MaksiatSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.