Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: ISRAK & MIKRAJ


Search This Blog

ISRAK & MIKRAJ


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
(Surah al-Isra’: 1)

Sebagaimana telah tersedia-maklum, Rasulullah s.a.w. dianugerahkan perjalanan:-
  • Isra’ dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestine (Jerusalem), dan kemudiannya.
  • Mi’raj yang melepasi langit hingga ke Sidrat al-Muntaha.

Di sini adalah beberapa isu penting yang ulama muhaqqiqin telah menukil daripada penelitian hadith-hadith mengenai Isra’ Mi’raj.
  • Telah diriwayatkan bahawa di dalam perjalanan Isra’, Rasulullah s.a.w. telah melalui kubur Nabi Musa a.s. dan melihat beliau diri bersolat di dalam kuburnya.
Daripada Anas ibn Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Aku mendatangi (di dalam riwayat Hudab) aku melewati Musa pada malam aku di Isra’kan di al-Katsib al-Ahmar dan Musa dalam keadaan berdiri sedang bersolat di kuburnya”.
(Sahih Muslim, Kitab al-Fadha’il 4379. Juga hadith serupa terdapat di Sahih al-Bukhari dan Sunan an-Nasa’i)
  • Tatkala tibanya Baginda s.a.w. di Masjid al-Aqsa, semua para anbiya’ telah berkumpul dan berkata-kata dan bersolat bersama Baginda s.a.w. sebagai imam mereka.

Firman Allah s.w.t.:
“Dan tanyalah orang-orang yang Kami utus sebelum kamu (wahai Muhammad) di antara para rasul Kami itu, adakah Kami jadikan beberapa Tuhan yang disembah selain Ar-Rahman”?
(Az-Zukhruf: 45)

Dan sebagaimana termaktub di dalam Tafsir al-Qurthubi di mana pertemuan Nabi s.a.w. ini adalah dalam keadaan jaga dan Nabi s.a.w. telah bertanya sesuatu kepada mereka di malam itu:

“Dan pada lain riwayat Ibn Abbas r.a.: Mereka mendirikan sembahyang di belakang Rasulullah di dalam tujuh saf. Para Rasul berada dalam tiga saf dan Para Nabi berada dalam empat saf. Manakala empat saf lagi untuk nabi-nabi, dan di belakang Rasulullah ialah Nabi Ibrahim Kekasih Allah, dan di sebelah kirinya ialah Nabi Ismail, dan di sebelah kirinya ialah Nabi Ishaq, kemudian Nabi Musa kemudian para rasul yang lain, dan Rasulullah telah mengimamkan mereka dua rakaat. Ketika Rasulullah beredar, Baginda berdiri dan berkata (kepada mereka): Sesungguhnya Tuhanku telah mewahyukan supaya aku bertanya kepada kamu, adakah salah seorang daripada kamu diutuskan untuk menyeru kepada beribadah kepada selain Allah? Mereka (para nabi dan rasul) menjawab: Wahai Muhammad, kami bersaksi bahawa kami semua diutuskan dengan satu utusan iaitu, Tiada Tuhan selain Allah dan apa yang disembah selain Allah adalah bathil, dan sesungguhnya kamu adalah Nabi yang terakhir dan penghulu sekelian rasul, ini sudah jelas bagi kami dengan kamu mengimamkan kami tadi, dan tiada nabi lagi selepas kamu hingga ke hari Qiyamah kecuali Isa ibn Maryam, sesungguhnya dia telah diperintahkan untuk mengikut (menjejaki) sunnahmu”.

Shaykhul Islam Ahmad bin Zaini Dahlan (seorang Mufti Makkah Mazhab Syafi’I sekitar tahun 1300H) pun membenarkan peristiwa serupa ini dengan berkata:
“… terdapat hadith yang menjelaskan bahawa para malaikat dan para nabi telah menunaikan solat berjemaah dengan Rasulullah s.a.w. di kala peristiwa Isra’ Mi’raj…”(Durarussaniyah fir raddi alal wahabiyah).
  • Kemudian tatkala Baginda s.a.w. diangkat ke langit, Baginda s.a.w. bertemu dan berdialog dengan beberapa nabi seperti Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s., dll.

Imam Muslim dalam sebuah riwayat,
“Telah berkata Anas ibn Malik r.a. Rasulullah s.a.w. telah menyebut sesungguhnya dia mendapati di langit-langit, Adam, Idris, ‘Isa, Musa dan Ibrahim, solawat Allah ke atas mereka semua”.
(Sahih Muslim, Kitab Iman 237)

Dari penelitian di atas:
  1. Darjat dan kemulian yang diberi kepada Rasulullah s.a.w. tersangat agung.
Khabar penemuan Rasulullah s.a.w. dengan para nabi terdahulu meninggikan lagi kemuliaan Baginda s.a.w. ini kerana Allah s.w.t. tidak pernah menghimpun sejumlah para nabi dan rasul di dalam sebuah peristiwa melainkan dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj manakala peristiwa Isra’ dan Mi’raj pula ialah satu pengkhususan kepada Rasulullah s.a.w. sahaja. Ini adalah satu kemuliaan kepada Rasulullah s.a.w. yang tidak diberikan Allah kepada para nabi dan rasul yang lain. Benarlah firman Allah s.w.t:
“Rasul-rasul itu Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu)…”
(Al-Baqarah: 253)

  1. Anbiya’ (Nabi dan Rasul) berhidup setelah kewafatan mereka dan badan-badan mereka tidak hancur.
Daripada Aus ibn Aus r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya di antara hari-hari kamu yang paling afdhal ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah ke atas aku solawat, sesungguhnya solawat kamu dibentangkan kepadaku. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pula solawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan kamu telah menjadi debu? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas bumi jasad-jasad para nabi, solawat Allah atas mereka..”
(Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Kitab Solat pada Fasal Istighfar 1308)

Juga terdapat di sisi
  • Sunan Dairami, Kitab Solat Fasal Fadhilat Hari Jumaat 1526:
Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad-jasad para nabi.
  • Sunan Ibn Majah, Bab Pada Mengatakan Jenazah 1627:
Dan selepas mati, sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad-jasad para nabi, nabi Allah hidup diberi rezeki.
  • Sunan an-Nasa’i, Kitab Jumaat, 1357:
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad-jasad para nabi, kesejahteraan ke atas mereka.
  • Ibn Hibban, Al-Hakim, Al-Baihaqi dengan sanad sahih.
  • Ibn Qayim, Kitab al-Ruh: “… Adalah wajib diketahui bahwa jasad Nabi s.a.w. di bumi, lembut dan lembab (seperti dalam hidup) dan ketika sahabat menanyakan: Bagaimana dengan salam kami padamu sesudah engkau menjadi debu?” Rasul menjawab, “Allah menjaga bumi dari memakan jasad para nabi…”

  1. Sekalipun para anbiya’ telah wafat (namun beralih hidup di alam yang lain), mereka dapat dilihat dalam keadaan terjaga yakni yaqazah (bukan mimpi) dan berdialog.

Ketika Rasulullah s.a.w. diperjalankan pada Isra’ & Mi’raj, Baginda dipertemukan dengan Nabi Musa a.s. sedangkan Nabi Musa a.s telah wafat lebih 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Jika diperhatikan, Nabi Musa a.s. telah “hadir” di beberapa tempat serentak atau dalam masa yang singkat tatkala Rasulullah s.a.w. diperjalankan semasa Isra’ dan Mi’raj di atas Buraq.
  • Di dalam kubur bersolat (agak-agak 20 batu luar Bait al-Maqdis – Jerusalem)
  • Di Masjid al-Aqsa bersolat sebagai makmum bersama Rasulullah s.a.w. (di dalam kota Bait al-Maqdis – Jerusalem)
  • Di salah satu tingkatan langit
Oleh kerana besarnya peristiwa ini maka Allah s.w.t. rakamkan di dalam Al-Qur’an. Perhatikanlah tafsir Ma’alim at-Tanzil oleh Imam Baghawi pada Surah al-Sajadah Ayat 23:
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa kitab Taurat, maka janganlah engkau ragu-ragu perjumpaannya (menyambut dan menerimanya) dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayat petunjuk bagi kaum Bani Israil”… yakni: Dan janganlah kamu (Rasulullah) syak tentang pertemuan bersama Nabi Musa pada malam Mi’raj, sebagaimana dikatakan oleh Ibn Abbas r.a. dan selainnya”.

Lanjutan daripada itu,
  1. Tidak dapat dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat para anbiya’ lain dalam keadaan jaga tatkala Isra’ Mi’raj. Begitu juga adalah harus bagi seorang itu untuk melihat Rasulullah s.a.w. walaupun Baginda s.a.w. telah wafat.
  2. Diharuskan bagi Rasulullah s.a.w. berpergian atau berziarah, dan memperlihatkan dirinya dengan orang-orang Islam di merata tempat seperti mana para anbiya’ telah hadir di Palestine (Masjid al-Aqsa) pada malam Isra’ Mi’raj.
  3. Tidak mustahil bagi Rasulullah s.a.w. berdialog bersama orang-orang yang tertentu di dalam keadaan jaga (yaqazah). Para anbiya’ telah berdialog dan memberi nasihat kepada Rasulullah s.a.w. seperti mana Nabi Musa a.s. menasihati Baginda s.a.w. supaya meminta dikurangkan jumlah solat yang dianugerahkan kepada ummat Nabi s.a.w. dan Nabi Adam a.s. berpesan supaya menggesa ummat memperbanyakkan tasbih-tahlil-takbir[1], dan sebagainya.
  4. Perhatikan bahwa MASA dan TEMPAT adalah makhluk jua. Allah s.w.t. berkuasa mengeluarkan sesiapa daripada adat MASA dan TEMPAT sebagaimana Dia berkehendak. Maka Nabi Musa a.s. telah dianugerahkan “yaqazah” di lebih daripada satu tempat dalam masa yang singkat dan tempat jauh berbeza. Begitu juga, tidaklah mustahil dan harus bagi Rasulullah s.a.w. menghadiri beberapa tempat dan suasana yang berbeza walaupun Baginda s.a.w. tetap berada di permakaman di al-Madinah al-Munawwarah (berjawab salawat dan salam daripada para pengunjung dan pencinta Rasul s.a.w!).
[1]. Hadits riwayat At-Tirmidziy dalam sunannya kitab Al-Da’awaat ‘an Ar-Rasul, bab Ma Ja’a Fi Fadhl at-Tasbiih wa at-Tahlil wa at-Takbir wa at-Tahmid no.3462 dan dikuatkan dengan riwayat lain dari hadits Abu Ayub al-Ansoriy yang ada dalam Musnad Ahmad ibn Hanbal 5/418
Dipetik daripada laman web www.ahmadiah-idrisiah.com

ISRAK & MIKRAJSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.