Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Pandangan Ulama mengenai Yaqazah


Search This Blog

Pandangan Ulama mengenai Yaqazah


.
"Suri" juga diistilahkan sebagai "Yaqazah" oleh para ulama'.

Menurut Kamu Idris al-Marbawi[1] dan Dictionary Hans Wehr[2],
Arti yaqazah menurut bahasa ialah jaga, ingat, sedar (bukan dalam keadaan mimpi), (yaqazah-yaqiza/yaquza)
Pengertian yaqazah di sisi ilmu tasawwuf pula ialah bertemu atau berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga (bukan mimpi).

Anugerah yaqazah ini adalah daripada Allah yang tidak mustahil berlaku. Walaupun ia merupakan perkara yang bertentangan dengan adat kebiasaan (luar dari kebiasaan) pada logika manusia, namun ia masih dalam lingkungan mumkinat (harus) bagi Allah s.w.t. mengadakan atau tiadakannya. Tidaklah mustahil penanugerahan ber-yaqazah juga merupakan antara karomah sejumlah para wali-Nya.

Di antara prinsip dasar Aqidah Ahlussunah Wal Jama’ah adalah menyakini dan membenarkan adanya jenis-jenis perkara luar kebiasaan (khawariq lil-‘adah) yang boleh berlaku kepada golongan selain para rasul. Khawariq lil-‘Adah dibahagikan sebagaimana disenaraikan di bawah ini[3],

·    Khawariq lil-‘Adah yang dipuji oleh syara’
o Irhas
Perkara luarbiasa yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada para anbiya’ semasa mereka masih kecil. Contohnya seperti awan meneduhi Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda dalam perjalanan ke Syam untuk berniaga bersama bapa saudaranya, Nabi Isa a.s boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian dan seumpamanya.
o Mu’jizat
Perkara luarbiasa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada para nabi dan rasul sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan da’wah dan risalah Allah s.w.t. Contohnya mu’jizat Nabi Sulaiman a.s. yang boleh memahami bahasa semua binatang.
o Karomah
Perkara luarbiasa yang Allah s.w.t. kurniakan kepada orang-orang mukmin yang berakhlak dengan akhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam, zahir dan batin.
o Ma’unah
Perkara luarbiasa yang Allah s.w.t. kurniakan kepada sesetengah orang awam bagi menyelamatkan mereka dari ditimpa sesuatu bencana atau musibah.

·    Khawariq al-‘Adah yang dicela oleh syara’
Perkara luarbiasa yang dikeji oleh Allah s.w.t. ialah perkara luarbiasa yang berlaku atas orang biasa melalui pertolongan selain daripada Allah s.w.t. seperti pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada jin, shaytan atau sebagainya.
o Istidraj
o Ihanah
o Sihir

Maka pengalaman yaqazah ini boleh sahaja merupakan sesuatu daripada khawariq lil-‘adah yang terpuji (iaitu karomah bagi para auliya’). Antara dalil-dalil bagi mengemukan keharusan berlaku yaqazah adalah:

·    Peristiwa Isra’ Mi’raj di mana Rasulullah s.a.w. dipertemukan dengan Nabi Musa a.s. (sedangkan Nabi Musa a.s. telah wafat lebih 600 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.) sebagaimana ditafsirkan di dalam Al-Qur’an[4].
·    Riwayat mengenai Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang berjemaah dengan para rasul di malam Isra’ sebelum Baginda s.a.w. dimi’rajkan[5].

Ibnu Arabi dalam kitabnya Fara’idul Fawa’id menulis:
“Adalah harus (khususnya bagi wali Allah yang diberi karomah) untuk bertemu dengan zat Nabi baik rohnya atau jasadnya kerana Rasulullah seperti lain-lain nabi dan rasul, semuanya hidup bila mereka dikembalikan (kepada jasadnya) serta diizinkan oleh Allah keluar dari kuburnya”.

·    Dipetik daripada Sahih al-Bukhari[6],
حدثنا عبدان أخبرنا عبد الله عن يونس عن الزهري حدثني أبو سلمة أن أبا هريرة قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول من رأني في المنام فسير اني في اليقضة ولا يتمثل الشيطان بي
Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku dengar Nabi bersabda:
“Sesiapa yang melihat aku di dalam mimpi, maka dia akan melihat aku di dalam yaqazah (keadaan jaga) dan shattan tidak boleh menyerupai diriku.”

Berkata Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Musnid Saiyyid Dr. Sheikh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki (Az-Zakho’ir Al-Muhammadiyah m/s 147):
                                              
“Tentang hadis tersebut (Sahih al-Bukhari yang dinukilkan sebelum ini), para ulama’ mengatakan bahawa: yaqazah itu bermaksud, di dunia secara qat’ie walaupun ketika hendak mati (sakaratul maut).”

“Adapun bagi pihak yang mentakwilkannya sebagai melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah di akhirat, maka jawapan para ulama’ terhadap mereka: Sesungguhnya di akhirat, setiap orang yang beriman akan melihat Baginda s.a.w. samada yang pernah mimpi berjumpanya di dunia mahupun yang tidak pernah bermimpi berjumpa dengan Nabi s.a.w. seperti yang dijelaskan dalam banyak hadis-hadis sahih yang lain.”

Hal ini menyebabkan, tiada pengkhususan antara mereka yang pernah melihat Nabi s.a.w. di dalam mimpi mahupun tidak, sedangkan di dalam hadis tersebut menceritakan tentang pengkhususan terhadap mereka yang pernah bermimpi bertemu Nabi s.a.w. dengan mereka yang tidak pernah bermimpi berjumpa Nabi s.a.w., iaitu: “…dia akan melihatku secara yaqazah...”

Al-‘Allamah Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah juga menjelaskan perihal hadis tersebut (Al-Bayan m/s161):
“… Hadis tersebut menceritakan tentang kebolehan (keharusan) seseorang melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah di semasa hidupnya di dunia…”

Pihin Datuk Seri Maharaja Datuk Seri Utama, Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei Darussalam[7] pada masalah “Adakah Harus dan Boleh Menerima Zikir dan Doa daripada Rasulullah s.a.w. pada masa sekarang, waktu yang menerimanya itu jaga atau waktu tidur dalam mimpi”? menulis:
“… Maka nyata dari kata-kata ulama yang di atas ini, bahawa berjumpa dengan Nabi s.a.w. waktu tidur atau waktu jaga, dan Nabi s.a.w. mengajar akan sesuatu ilmu, suatu doa, suatu selawat dan suatu zikir, adalah harus dan boleh, bagaimana telah berlaku pada ulama-ulama, ahli ilmu Islam, wali-wali Allah dan orang-orang solehin, kita berkata perkara seperti ini termasuk di bawah erti kata “fadhoilul ‘amal”.

Adapun perkara halal dan haram telah tertutup dengan terhenti wahyu kepada Nabi s.a.w. kita dan dengan wafat Nabi kita s.a.w. sebagaimana kita telah sebutkan di awal-awal rencana ini.

Sila baca kitab-kitab berkenaan wali-wali Allah s.w.t. seperti Syawahidul Haq karangan Syeikh Yusuf Anbahani dan kitab Lathoifulminan karangan Al-Arifbillah Tajuddin ibn ‘Athaillah As Sakandari yang mati tahun 709 Hijrah dan Jami’u karamatil Auliya’ karangan Syeikh Anbahani dan Hilyatul Auliya’ oleh Al Hafiz Abu Na’im dan karangan Al-‘Allamah Dr. Abdul Halim Mahmud, Mesir dan lain-lain…”

Ungkapan “kata-kata ulama yang di atas ini” merujuk kepada perbahasan panjang oleh sejumlah besar ulama’ yang dimuatkan di dalam fatwa beliau itu, namun kami telah ringkaskan seperti berikut:
·    Sayyid Abdul Qadir ibn Abdullah al-Idrus dalam kitabnya An-Nurus Safir ‘An Akhbaril Qur’anil ‘Asyir.
·    Imam Al Hafiz As-Sayuthi di dalam kitabnya Khususiyyatu Yaumil Jum’ah.
·    Al-‘Allamah Shaykh Zakaria ibn Muhammad al Mahalli asy-Syafie.
·      Shaykh Najmuddin al-Ghazzi dalam kitabnya al-Kawakibus Saairah.
·    Sayyid Umar ibn Abdul Rahman Al-‘Attas sebagaimana dipetik daripada Fathu Rabbin Nas yang telah dihimpunkan oleh Maulana Al-‘Arif Sayyid Hussin ibn Almarhum Al-‘Allamah Sayyid Abdullah ibn Muhammad ibn Muhsin ibn Hussin Al-‘Athas dalam bahasa Melayu pada tahun 1342 Hijrah.
·    Imam Abu Abdullah Al-Qastalani sebagaimana dikupas dari kitab Al-Wasaailu Syafi’ah oleh Imam Muhaddith Sayyid Muhammad ibn Ali Khidr.
·    Sayyid ‘Alawi ibn Thahir Al Haddad (Mufti Kerajaan Johor dahulu) dalam kitabnya ‘Uqudul Almaasi Bimanaaqibi Syaikhil Thoriqah Wa Imaamil Haqiiqah.
·    Shaykh Muhammad ibn ‘Audh bin Muhammad Bafadhlu dalam kitab Manaaqibil ‘Arifbillah Al-Habib Ahmad ibn Hussin Al-‘Athas.
·    Imam Sufyan ath-Thauri sebagaimana termaktub dalam Kitab Uqudul Almaasi yang diriwayatkan oleh Imam Abu Na’im (pengarang kitab Haliyaatul Auliya’) dan Ibnu Basykuwal.
·    Muhadissud-Dunya Sayyid As-Shaykh Abdullah As-Siddiq Al-Ghamaari dalam kitabnya Fadhailun Nabiyyi fil Quranil Illahiyatu Fissolah ‘Ala Khairil Bariyyah.

Imam Al-‘Allamah An-Nafrawi berkata[8]:
“… Diharuskan seseorang berjumpa atau melihat Nabi secara yaqazah atau secara mimpi, menurut kesepakatan para huffaz (ahli hadis). Mereka Cuma berselisih tentang adakah orang yang melihat tubuh Nabi itu dalam bentuk sebenar, secara hakiki atau dalam bentuk contoh (gambaran) sahaja?”

“Sebahagian ulama’ berpegang dengan pendapat pertama (di mana seseorang yang bertemu dengan Nabi secara yaqazah melihat tubuh Baginda secara hakiki). Sebahagian ulama’ pula berpegang dengan pendapat yang kedua (iaitu: melihat Nabi secara yaqazah dalam bentuk imej, gambaran seperti pantulan di cermin dan sebagainya, wallahua’lam), di antara mereka (yang berpegang dengan pendapat kedua adalah): Imam al-Ghazali, Imam al-Qarafi, Imam al-Yafi’e dan sebagainya.”

“Golongan yang berpegang dengan pendapat yang pertama berhujah bahawa: Nabi Muhammad umpama cahaya hidayah dan mentari keilmuan, boleh dilihat dari jauh seperti orang boleh melihat matahari dan cahaya dari jauh… Tubuh Baginda tidak meninggalkan kubur, tetapi seseorang yang melihat Nabi secara yaqazah dibuka oleh Allah hijab (jarak) antaranya dengan Rasulullah lantaran itu, dia dapat melihat Rasulullah samada dia berada di timur mahupun barat…”

“Ada juga yang berpendapat, seseorang melihat Nabi secara yaqazah dengan mata hati, bukan dengan mata kepala, kerana boleh jadi juga, orang yang buta juga diberi anugerah melihat Baginda secara jaga, dengan mata hatinya…”

“Ibn Abi Hamzah dan sebahagian daripada mereka (para ulama’) menceritakan bahawa mereka pernah melihat Nabi secara jaga…”

“Adapun mereka yang mengingkarinya, maka hukumnya haram, kerana kalaulah dia mengingkarinya kerana dia seorang yang mengingkari tentang karomah para wali, maka untuk berbahas dengan mereka sememangnya sia-sia, kerana dia sendiri telahpun mendustai apa yang dithabitkan di dalam sunnah (yakni mengenai karamat para wali atau mengenai bertemu Nabi secara yaqazah)…”

Dalam kitab Al-Khasoisul Kubra oleh Imam As-Sayuthi dan di dalam Syarah Muslim oleh Imam Nawawi ditulis:
“Jikalau seseorang berjumpa Nabi (dalam mimpi atau jaga), baginda menyuruh akan sesuatu perbuatan (sunat), melarang satu larangan, menegah atau menunjukkan suatu yang baik, maka tiada khilaf ulama’ bahawa adalah sunat hukumnya mengamalkan perintah itu.”

Dr. Al-Qaradhawi telah pun menjelaskan[9] bahawa:
“… Semuanya (apa yang dikatakan oleh Nabi di dalam mimpi tersebut) hendaklah dibentangkan terlebih dahulu kepada syariat yang ma’sum. Jika ia bertepatan, maka ia boleh diterima, tetapi jika sebaliknya, yang menjadi hujjah tetap syariat (bukan perkataan dalam mimpi tersebut)”.

Oleh yang demikian, jika terdapat sesuatu yang disampaikan oleh Nabi s.a.w., samada sewaktu tidur mahupun secara yaqazah, maka perlulah dinilai dengan syariat terlebih dahulu. Sekiranya tidak bercanggah dengan syariat (seperti lafaz-lafaz zikir tertentu yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam), maka ianya boleh diterima. Adapun jika ianya bertentangan dengan syariat (seperti melakukan ibadah haji di Singapura, menambah rakaat pada solat subuh, dan sebagainya), maka sudah tentu ianya tertolak.

Adapun adzkar yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada seseorang dalam mimpi atau secara yaqazah setelah kewafatan Nabi s.a.w., bukanlah salah satu bentuk penambahan syariat, atau salah satu bentuk menentukan hukum, ia sekadar salah satu bentuk khabar gembira (mubasyyirat) di mana Nabi s.a.w. sudi bertemu dengannya dan menyampaikan doa kepadanya. Adapun lafaz-lafaz dzikir atau doa. Maka sesiapa yang mendakwa penyampaian dzikir-dzikir oleh Rasulullah s.a.w. secara mimpi mahupun yaqazah itu menggambarkan syariat tidak sempurna, jelaslah pendapatnya salah dan berbentuk sesuatu kekeliruan samada tidak memahami apa itu syariat dalam konteks yang sebenar, atau tidak mengetahui hakikat bertemu Nabi s.a.w. secara yaqazah. Pendapat begini menyalahi pendapat majoriti Ulama’ Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Sebagaimana telah dibentangkan di atas, maka adalah jelas bahawa perbahasan yaqazah adalah disokong oleh ulama Salfussoleh yang terdahulu dan ulama’ kini seperti Mufti Mesir Dr. Ali Jum’ah, Al-Muhaddith Sayyid Muhammad ibn Alawi Al-Maliki, Dr. Umar Abdullah Kamil, Dr. Yusuf Qaradhawi dan sebagainya.
Renungilah kitab ulama’ yang membahaskan mengenai masalah yaqazah:
·    Imam Ibn Hajar dalam Fathul Bari iaitu syarah terhadap Sahih al-Bukhari.
·    Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim.
·    Imam Ibn Hajar Al-Haithami dalam buku fatwa beliau.
·    Syeikh Yusuf an Nabhani di dalam Kitab Afdalul Salawat dan Kitab Sa’adah ad-Daraini.
·    Imam al-Ghazali di dalam Kitab Al-Munziqu minal Dzalal.
·    Imam Abdul Wahab Asy-Sy’arani di dalam Kitab Al-Mizan. Beliau meriwayatkan ucapan Imam Suyuthi, Imam Abu Hassan Asy-Syazili dan Imam Abu Abbas Al-Mursi mengenai pertemuan mereka dengan Rasulullah s.a.w. secara yaqazah (sedar terjaga).
·    Husain Hasan Tomai pada bukunya bertajuk “Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya”, Pustaka Aman Press Sdn. Bhd, Kota Bharu, Kelantan, 1989.
·    Imam As-Suyuti di dalam kitab Tanwir Al-Halak fi Imkan Ru’yatu An-Nabi wa Al-Malak. Beliau berkata dalam “pendahuluan” pada m/s 10 percetakan Dar Jawamik Al-Kalim:

“Telah banyak yang mempersoalkan mengenai sebahagian ahli rabbani yang melihat Nabi secara yaqazah ini. Adapun suatu golongan yang mengingkarinya pada zaman ini merupakan mereka yang tidak mempunyai latar belakang ilmu (yang cukup dalam bidang agama), sehingga menyebabkan mereka mengingkarinya dan berasa pelik mengenainya sehingga mendakwa bahawa ianya mustahil. Kini saya mengarang penulisan ini mengenai perbahasan tersebut…”



Rujukan:
[1]. Kamus Idris Al-Marbawi, karangan Sheikh Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi, Darul Nu’man, halaman 401.
[2]. Arabic-English Dictionary The Hans Wehr, edited by JM Cowan, 4th edition, halaman 1298. (awakening, waking, wakefulness, sleeplessness, vigilance, alertness, keenness of mind)
[3]. Rumusan daripada nota DPI Pergas-Kolej UNITI (modul DIA2113) bab Aqidah II halaman 41-45.
[4]. Surah as-Sajadah: 23
[5]. Sila rujuk kepada artikel Isra’ Mi’raj di lelaman web kami (www.ahmadiah-idrisiah.com) untuk keterangan lanjut.
[6]. Matan yang serupa terdapat di dalam Sunan Abi Dawud namun berbeza sanad perawinya, yakni
حدثنا أحمد بن صالح حدثنا عبد الله بن وهب قال أخبرني يو نس عن ابن شهاب قال أخبرني أبو سلمة بن عبد الر حمن أن أبا هريرة
Juga, hadith serupa yang menjadi hujjah bagi membenarkan melihat Nabi di dalam mimpi terdapat di sisi Imam Muslim, Imam Tirmidziy, Imam Ibn Majah, Imam Ahmad, Imam Ad-Dairami.
[7]. Kitab ‘Fatwa’ jilid 2 bilangan 63 (1988), Pejabat Mufti, Kementerian Hal Ehwal Agama, Negara Brunei Darussalam pada 14 Jamadil Awal 1408H, 4 Januari 1988.
[8]. Kitab Al-Fawakih Ad-Diwani karangan Imam An-Nafrawi, jilid 3, m/s 360.
[9]. Buku yang diterjemah: Ilham, Kasyaf dan Mimpi daripada kitab Syaikh Al-Qaradhawi berjudul Mauqif al-Islam minal Ilham wal Kasyf war Ru’a wa minat Tama’imi Kahanah war Ruqa’, Maktabah Wahbah, 1415-H, Al-Qahirah Mishr.

Dipetik daripada laman web www.ahmadiah-idrisiah.com
Pandangan Ulama mengenai YaqazahSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.