.
— 18/10/2011 2:08 pm
— 18/10/2011 2:08 pm
PARA NABI BUKAN MANUSIA BIASA
Oleh: Panel Penyelidik Yayasan Sofa
Meskipun para nabi dari kalangan manusia; yang juga makan, minum, kadangkala sihat, kadangkala sakit, menikahi perempuan-perempuan, berjalan-jalan di pasar-pasar, terdedah kepada gejala-gejala penyakit yang biasa dialami oleh manusia biasa seperti lemah, tua dan juga kematian, tetapi sesungguhnya mereka berbeza dengan pelbagai keistimewaan dan sifat-sifat agung serta mulia. Sifat-sifat itu pula merupakan suatu yang amat lazim dan penting bagi mereka. Sifat-sifat mulia tersebut, secara ringkasnya adalah seperti berikut, Siddiq (jujur), Tabligh (menyampaikan amanah), Amanah, Fatonah (bijaksana), Bebas daripada keaiban yang membuatkan manusia lari daripadanya, ‘Ismah(terpelihara daripada melakukan dosa).
Di sini, kita tidak menjelaskan secara terperinci mengenai sifat-sifat ini. Ia telah pun dijelaskan dengan terperinci di dalam kitab-kitab Tauhid. Kita akan bicarakan di sini, tentang sifat-sifat dan keistimewaan Penghulu segala Rasul, Muhammad SAW untuk membuktikan bahawa walaupun Baginda SAW adalah manusia tetapi sekali-kali tidaklah sama dengan manusia biasa. Kerana kesuntukan ruang, kita hanya akan menyentuhnya dengan ringkas sahaja.
1. Rasulullah SAW Melihat Orang Yang Berada Di Belakangnya, Seperti Melihat Orang Yang berada Di Hadapannya.
Diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) daripada Abu Hurairah t, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Adakah kamu dapat melihat Kiblatku di sini? Demi Allah! Ruku’ dan sujud kamu tidak sekali-kali terselindung daripada penglihatanku. Sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku.”
2. Rasulullah SAW Melihat dan Mendengar Apa Yang Kita Tidak Dapat Lihat dan Dengar
Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu tidak lihat dan aku mendengar apa yang kamu tidak dengar. Langit merintih dan memang ia mempunyai hak untuk merintih. Tidak ada padanya (langit itu) walau selebar empat jari melainkan ada malaikat meletakkan dahinya sujud kepada Allah. Demi Allah! Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, pasti kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis, kamu tidak akan bersedap-sedap dengan isteri-isteri di atas ranjang dan kamu pasti akan keluar menuju ke jalan-jalan untuk tunduk memohon pertolongan kepada Allah.”
3. Nabi Muhammad SAW Terpelihara Daripada Menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh, dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta Ibnu Sa’ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap sama sekali.”
4. Peluh Nabi SAW Yang Mulia.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas RA berkata: “Rasulullah SAW pernah datang kepada kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku datang membawa sebuah botol kaca lalu menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?” Dia menjawab, “Peluh ini akan kita jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang paling harum!”
5. Ketinggian Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh Ibnu Khaithamah di dalam Tarikhnya, Imam Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda SAW kelihatan berperawakan sederhana jika berjalan sendirian. Tiada seseorang yang berjalan bersama Rasulullah SAW (kelihatan) lebih tinggi, melainkan Baginda SAW melebihi ketinggian mereka. Jika ada dua orang lelaki yang tinggi bersamanya, Baginda SAW tetap kelihatan lebih tinggi daripada mereka. Tetapi, jika mereka berpisah darinya, Rasulullah SAW kelihatan berketinggian sederhana.
6. Bayang-bayang Rasulullah SAW
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang; sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan.”
7. Terhindar Daripada Lalat
Al-Qadhi ‘Iyadh RH menyebut di dalam al-Syifa, dan al-‘Azafi di dalam Maulidnya: “Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak pernah menghinggapi Baginda SAW.” Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu’ dalam al-Khasa’is, dengan lafaz: “Sesungguhnya lalat tidak pernah hinggap pada pakaiannya.”Beliau menambah: “Sesungguhnya di antara keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah menggigitnya.”
8. Darah Rasulullah SAW
Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al Zubair: “Bahawa dia pernah datang menemui Rasulullah S ketika sedang dibekam. Setelah selesai dibekam, Rasulullah S pun bersabda, ”Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di suatu tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu.” Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang, Rasulullah SAW bertanya, “Wahai Abdullah! Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap darahku itu)?” Jawabnya, “Aku telah meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada pengetahuan orang.” Rasulullah SAW bersabda, “Kemungkinan kamu telah meminumnya.” Kataku, “Ya!” Rasulullah SAW bersabda, “Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.” Maka mereka berpendapat kekuatan Abdullah RA adalah disebabkan dari darah yang diminumnya itu.”
9. Tidur Rasulullah SAW
Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Sayyidah Aisyah RA bertanya kepada Baginda SAW: “Wahai Rasulullah! Adakah kamu akan tidur sebelum solat witir?” Maka jawab Rasulullah SAW, “Wahai Aisyah! Kedua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur.”
Kesimpulan yang kita perolehi dalam perbincangan ini, ternyata keistimewaan Nabi Muhammad SAW adalah sangat banyak. Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada hadith yang dipetik dalam bab ini diperselisihkan oleh ulama’, kerana sebahagian mereka menilai bahawa hadith-hadith mengenainya adalah sohih dan sebahagian ulama’ yang lain melihat ia tidak sohih. Oleh yang demikian, ia termasuk di dalam permasalahan khilafiah. Tetapi jika dinilai secara menyeluruh masih tidak menafikan kesimpulan bahawa Nabi kita SAW dan para Nabi AS adalah manusia-manusia yang istimewa dan bukannya manusia biasa.
http://yayasansofa.com/v1/?p=405
1 comments:
Katakanlah (Hai Muhammad): "Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwakan bahwa sesungguhnya (hanya) kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar". (QS. 62:6)
Dan Kami tidak mengutus kamu (Hai Muhammad), melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahu (QS. 34:28)
Katakanlah (Hai Muhammad pada umatmu): Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang (membedakan hanya karena) diwahyukan kepadaku: "Bahwa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa". Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya (QS. 18:11)
Post a Comment