Talqin dan Bai'ah
Talqin ialah peringatan seorang guru kepada muridnya sedangkan bai'at yang juga dinamakan ahad ialah kesanggupan dan kesetiaan seorang murid di hadapan gurunya untuk mengamalkan dan mengerjakan segala amalan dan kebajikan yang diperintahkan oleh guru.
Terdapat banyak sekali hadis yang menerangkan peristiwa Nabi ﷺ mengambil ahad pada waktu membai'at sahabat-sahabat beliau.
Diriwayatkan oleh Ahmad at Tabrani dan Syaddad ibn Aus r.a bahawa Rasulullah ﷺ pernah mentalqinkan sahabat-sahabat beliau secara berkumpulan dan juga secara perseorangan.
“Pada suatu ketika kami berada dekat Nabi ﷺ dan beliau bersabda, bermaksud: “Adakah dalam kalangan kalian orang asing, iaitu Ahli Kitab?” Kami menjawab, “Tidak ada, wahai Rasulullah ﷺ! Maka Rasulullah ﷺ menyuruh menutup pintu dan bersabda, “Angkatlah tangan-tangan kalian dan sebutlah: (لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ) Maka kami pun mengangkat tangan kami seketika dan menyebut: (لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ). Kemudian, Rasulullah ﷺ bersabda, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengutusku dengan kalimah ini dan menyuruhku dengannya, Engkau juga telah berjanji denganku ke atasnya (orang yang menyaksikannya) syurga dan Engkau tidak sesekali memungkiri janji.” Kemudian, Rasulullah ﷺ bersabda, “Bergembiralah kalian kerana sesungguhnya Allah telah mengampunkan kalian.”
Seterusnya Allah ﷻ berfirman:
فَا سْتَـبْشِرُوْا بِبَيْعِكُمُ الَّذِيْ بَايَعْتُمْ بِهٖ ۗ وَذٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمُ
“Maka bergembiralah kamu dengan bai'atmu, yang kamu telah lakukan itu adalah kejayaan yang agung.” (QS. At-Taubah 9:111)
Tentang bai'ah perseorangan pula terdapat di dalam hadis riwayat at Tabrani dan al Bazzar yang menjelaskan cara Rasulullah ﷺ membai'atkan Saiyidina Ali r.a;
Sesungguhnya Ali Karramallahu Wajhah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan perkataan: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepada saya jalan yang paling dekat kepada Allah, paling mudah untuk hambaNya dan paling afdhal di sisi; Allah ﷻ.” Maka sabda Rasulullah ﷺ, “Wahai Ali, hendaklah kamu sentiasa berzikir mengingati Allah secara sembunyian dan terang-terangan.” Berkata Ali r.a, “Setiap manusia berzikir, tetapi saya ingin kamu mengkhususkan saya dengan sesuatu.” Bersabda Rasulullah ﷺ, “Marilah wahai Ali! Ucapan yang paling afdhal yang telah saya ucapkan dan juga nabi-nabi sebelum saya ialah: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ (Tiada Tuhan melainkan Allah). Sekiranya tujuh petala langit dan bumi berada pada satu timbangan dan kalimah لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ berada pada satu timbangan lagi, nescaya akan lebih berat dengan mereka timbangan kalimah: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ.” Kemudian, Rasulullah ﷺ, bersabda, “Wahai Ali! Tidak akan berlaku Kiamat selagi masih ada di atas muka bumi ini orang yang mengucapkan kalimah: لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ.” Kemudian, berkata Ali r.a, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya saya hendak berzikir?” Maka sabda Rasulullah ﷺ, “Pejamlah kedua-dua matamu dan dengar daripada saya kalimah: (لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ) sebanyak tiga kali. Kemudian, kamu sebutkannya sebanyak tiga kali dan saya pula mendengarnya.” Maka Rasulullah ﷺ pun menyebutnya dengan mengangkat suaranya sambil memejamkan kedua belah matanya. Kemudian, Ali r.a pula menyebutnya sebanyak tiga kali sambil memejamkan mata dan Rasulullah ﷺ mendengarnya.”
0 comments:
Post a Comment