SEJARAH TARIQAH AHMADIAH IDRISIAH
Al-Tariqah al-Idrisiah adalah sebuah Tariqah yang muncul dan berpusat di Asir,(Arab Saudi) pada abad ke-19 M. Ia didirikan oleh Syarif Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris 'Ali al-Mashishi al-Yamlakhi al-Hasmi radhiAllahu 'anhu.
Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf. Sekiranya kita meneliti rantaian sanad yang diperolehi oleh ulama’ dunia seperti al-Muhaddith Tuan Shaykh Yasin al-Fadani radhiAllahu 'anhu, Tuan Shaykh Sayyid Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki radhiAllahu 'anhu, al-Muhaddith Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ibn ‘Alwi al-Maliki radhiAllahu 'anhu dan ulama-ulama lain, kita akan mendapati nama Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu tertera di dalam rijal sanad mereka. Juga, beliau masyhur meriwayatkan hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali [1] misalnya sanad periwayatan di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu dan Imam al Bukhari radhiAllahu 'anhu hanya mempunyai 9 perantaraan.
Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi radhiAllahu 'anhu. Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir radhiAllahu 'anhu(Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah) radhiAllahu 'anhu.[2]
Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.[3]
Juga, diriwayatkan oleh Tuan Shaykh Muhammad bin Ali as-Sanusi radhiAllahu 'anhu bahawa sewaktu dia belajar daripada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu, beliau telah mengajarinya selain Tariqah Khidiriah juga Tariqah lain seperti Nasiriah, Naqsyabandiah, Uwaysiah, Suhrawardiah, Shadziliah, Hatimiyazamqiah dan Qadariah, sehingga Tuan Shaykh Muhammad As-SanusiradhiAllahu 'anhu menganggapnya "Qutb". [4]
Yusuf bin Ismail al-Nabhani pengarang kitab Jami' Karamat al-Auliya, menggambarkan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu sebagai orang yang berhasil menghimpun dan menguasai ilmu zahir (syari'ah) dan ilmu batin (tasawuf); memiliki kemasyhuran dalam ilmu al-Quran dan Hadiths, suatu ilmu yang diperoleh melalui Kasyf.
Al-‘Arif billah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad al-Sanusi radhiAllahu 'anhu menamakan tariqah ini dengan al-Tariqah al-Muhammadiah. Beliau berkata, “Aku meriwayatkan al-Tariqah al-Muhammadiah ini dari pelbagai sanad. Sanad tertinggi yang kami ambil ialah daripada syeikh kami Qutb al-‘Arifin Imam al-Muhaqqiqin Maulana Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu…”[5]
Dari sudut keistimewaannya, ia merupakan tariqah yang dinisbahkan kepada Nabi shallAllahu 'alaihi wasallam Semua perkara yang terkandung di dalam tariqah ini, merupakan ambilan dan cedokan daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam dan Sunnahnya.
Sementara Shaykh kami, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu pula menamakan tariqah ini dengan Ahmadiah, sempena dirinya sendiri – semoga Allah menyucikan rohaninya – kerana Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam mengkhususkan tariqah tersebut kepada beliau dengan zikir yang lengkap, doa yang penuh rintihan dan sumber yang banyak.[6]
Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam [7]. Dalam pertemuan suri di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris radhiAllahu 'anhu dengan Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam itu, Nabi Allah Khidr 'alaihis salam hadir sama. Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam telah mengarahkan Saiyidina Khidr 'alaihis salam supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam menyuruh Nabi Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr 'alaihis salam mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. [8] Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah shallAllahu 'alaihi wasallam menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda shallAllahu 'alaihi wasallam mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad radhiAllahu 'anhu tanpa perantaraan. [9]
Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris radhiAllahu 'anhu ini.
****************************************
[1] Ulama berbangga apabila mendapat sanad daripadanya misal Sayyid Muhammad Ali as Sanusi, Mufti Zabid Yaman Shaykh Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali, Qadhi Hassan ‘Akish. Imam Muhammad bin Ali Syaukani memberi pengiktirafan sedemikian sebagaimana termaktub oleh Shaykh Soleh Al Ja’afari, al-Muntaqa al-Nafis fiManaqib Qutb Dairah al-Taqdis Sayyidi Ahmad ibn Idris, ms 27
[2] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, 1354H/1935M. Majmuk, al-Ahmadiyah Press, Singapura, (Jawi), ms 13
[3] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu, (tanpa tarikh). Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rashidiyah al-Dandarawiyah, dicetak oleh Sungai Ujung Press dalam tulisan Jawi, pada Fasal Keempat ms 34
[4] Knut S. Vikor, Sufi and Scholar, hal. 120.
[5] Al-Sayyid Muhammad ibn Ali al-Sanusi al-Khattabi al-Hasani. Kitab Al-Manhal al-Rawiy al-Ra’iq fi Asanid al-‘Ulum wa Usul al-Tara’iq
[6] Al-Shaykh Al-Sayyid Ibnu Idris. Kitab Al-Raksu wal Ghanaa’ was Sima’ ‘indal Thoriqatul Shufiyyah (Tarian, Nyanyian & al-Sima’ dalam Tariqah Tasawwuf, cetakan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, ms 5
[7] Hadhihi Turjumah Sidi Ahmad, (Egypt : Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah, tanpa tarikh) ms 2-4
[8] Ibid.
[9] Shaykh Ahmad bin Muhammad Sa’id radhiAllahu 'anhu. Faraid al-Ma’thir al-Marwiyah li al Tariqah al-Ahmadiyah al-Rasyidiyah al-Dandarawiyah, dalam tulisan Jawi, ms 37
1 comments:
Membuat dakwaan bahawa nabi saw mengajarkan dzikir2 tertentu kepada Tuan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris r.h adalah satu dakwaan yang menyimpang dan pembohongan terhadap nabi saw.
1) Agama Islam telah pun lengkap sebelum kewafatan nabi saw seperti mana yang Allah Taala firmankan didlm Al Quran dan nabi saw telah menyampaikan kesemua ilmu tersebut. Tiba2 kita memdakwa nabi saw telah mengijazahkan dzikir2 tertentu kepada Tuan Syeikh r.h yang mana dzikir terdebut tidak diajarkan kepada para sahabat r.a. ini satu pembohongan terhadap nabi saw.
2) Dakwaan yang mengatakan dzikir ini sanadnya sampai kepada nabi saw juga tidak boleh diterima kerana dzikir2 tersebut tiada didapati didlm kitab2 hadith yang muktabar.
Dakwaan yang mengatakan nabi saw dan nabi khidir a.s mengajar dzikir2 tersebut adalah satu dakwaan yg sgt besar dan serius. Sewajibnya pihak yang mengaku membawa bukti akan dakwaan mereka.
Post a Comment