Ahmad Rifaie Al Ahmadi Idrisi: Wasiat Sayyid Ahmad ibn Idris


Search This Blog

Wasiat Sayyid Ahmad ibn Idris

Berkata Sayyid Ahmad ibn Idris r.a

Hendaklah kamu mengamalkan wasiat ini, kerana nilainya lebih tinggi dan hebat daripada emas dan perak. Dengannya, kamu akan dapat mengalahkan penunggang kuda yang pantas di gelanggang perlumbaan. Bahkan, akan menyampaikan kamu dengan izin Allah kepada apa yang kamu impikan sehingga  kepada suatu  perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terlintas di benak hati manusia. Inilah wasiatnya:

Jika kamu hendak membaca Salawat 'Azimiah atau salawat  al Ahmadiyah yang lain, hendaklah kamu membacanya dalam keadaan berwudhu', duduk berlutut sambil mengadap Kiblat, merendahkan pandangan dengan menghadapkan hati dan ruh kepada Nabi saw sambil membayangkan gambaran Baginda saw dengan pandangan yang hakiki. Dengan cara ini, akan menghapuskan hijab di antara kamu dan yang dilihat iaitu Nabi saw. Maka Baginda saw melihat kamu sebagaimana kamu melihat Baginda saw. Baginda saw mengasihi kamu sepertimana kamu mengasihi Baginda saw dan Baginda saw melimpahkan kepadamu pandangannya yang tinggi dan ruhnya yang jernih bercahaya. Lantas ruh kamu akan bergetar seperti bergetarnya dahan yang hijau apabila disirami air. Lebih-lebih lagi, jika dilakukan di tempat yang sunyi selepas solat Subuh, atau pada pertengahan malam.

Jika dizahirkan sesuatu kepada kamu, maka jangan kamu ceritakan kepada seorang pun melainkan syeikh kamu telah kamu mengambil tariqat di tangannya. Tetapi, jika kamu tidak melihat apa-apa, maka bersabarlah hingga sempurna bagi kamu perkara tersebut, darjat kamu meningkat dan kamu layak untuk menerimanya.

Firman Allah:

"Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami berikan kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Yusuf: 22)

Hendaklah kamu memelihara faedah istimewa yang bernilai tinggi ini. Lebih-lebih lagi, jika kamu berada di dalam Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah kerana tempat itu lebih afdhal, lebih cepat terhasil dan lebih dekat dengan apa yang kamu inginkan. Rasulullah saw adalah tempat tujuan yang paling utama dan tinggi; yang akan menyampaikan kepada Musyahadah Ilahiyyah; perkara yang berada di sebalik aqal dan pancaindera manusia.

Telah diriwayatkan oleh al Bukhari daripada Anas ra, bahawa Nabi saw telah bersabda:

"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada dirinya, kedua ibu bapanya dan manusia seluruhnya."

Dengan kecintaan ini, akan mendekatkan kamu dengan pertolongan dan kehendak Allah kepada peningkatan tajalliyaat. Dengannya, kamu akan sampai kepada apa yang telah dikecapi oleh ahli Arifin, kamu akan menceduk apa yang telah diceduk oleh mereka dan kamu akan meminum apa yang telah diminum oleh mereka di dunia dan akhirat. Firman Allah saw:

"Dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci, (serta dikatakan kepada mereka), "Sesungguhnya (segala pemberian) ini untuk kamu sebagai balasan, usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)." (Al Insaan: 21-22)

Betapa aku merinduimu, wahai kekasihku, wahai Rasulullah saw!

Wahai murid! Wajib ke atas kamu sentiasa dan selama-lamanya mengkoreksi dan melihat ke dalam hatimu sejauh mana kecintaanmu terhadap Rasulullah saw, dan menimbangnya dengan neraca al Quran dan al Sunnah; adakah Baginda saw lebih kamu cintai daripada diri kamu, anak-anakmu dan kedua ibu bapamu? Adakah hati kamu merindui Baginda saw? Adakah air matamu pernah mengalir dek menanggung kerinduan terhadap Baginda saw? Adakah lidah kamu pernah memujinya kerana pujian kepadanya adalah ibadah?  Adakah kamu berusaha membanyakkan salawat dan salam ke atas Baginda saw? Adakah hati kamu suka dan redha mengikuti Sunnah Baginda saw?

Jika jawapannya, "Ya", maka bergembiralah kamu dengan dua kegembiraan di dunia dan akhirat.

Wasiat Sayyid Ahmad ibn IdrisSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Popular Posts

Segala bahan bacaan disini adalah untuk umum dan HAK CIPTA ITU MILIK ALLAH SEMUANYA. Anda boleh ambil sebagai bahan rujukan ataupun bahan posting di blog-blog atau website anda TANPA PERLU MEMBERI SEBARANG KREDIT KEPADA BLOG INI.